KELUARGA bahagia... Dari kiri: Putra Ahmad Merrah, Putri Aleefa Antasha, Awie, Putra Ahmad Andeeka, Sharifah Ladyana dan Putri Aleeya Antasha.

 

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

PERTAMA kali mendengar suaranya menyanyikan “Coretan Pilu” lagu runut bunyi (OST) sebagai pengenalan drama rantaian “Ayahanda,” sudah cukup merenggut hati siapa sahaja yang mendengarnya.

Betapa tidak suara yang cukup dikenali milik penyanyi rock yang tidak asing lagi, Datuk Awie tatkala menyanyikan lagu tersebut bukan sahaja mampu menitiskan air mata kita, malah melodinya yang indah dengan bait liriknya yang begitu jujur dan ikhlas menggambarkan perasaan kasih sayang seorang ayah terhadap anak-anaknya memang amat terkesan di hati kita.

Itulah kekuatan Awie sehingga membuatkan “Coretan Pilu” yang baru bersiaran lapan daripada 13 episod drama berkenaan telah meletakkan lagu itu begitu istimewa di hati para peminatnya, jika tidak mana mungkin ia menjadi ‘trending’ dan menduduki tangga ke-15 di YouTube dan tempat ke-10 dalam Spotify 50!

Menghayati setiap bait lirik “Coretan Pilu” ia bukan sahaja membuatkan anda larut bersama lirik dan melodi yang penuh syahdu malah Awie juga turut terkesan apalagi ia bagaikan menceritakan apa yang dilaluinya sejak sekian lama.

SUATU waktu dahulu…
Berdiri belakang: Putri Aleefa Antasha, Awie dan Putri Aleeya Antasha.
Berdiri depan: Putra Ahmad Merrah, Putra Ahmad Rezzki dsb Putri Qasseh Antasha.

Meskipun ada yang menilai sikap tegas seorang ayah terhadap anaknya kadangkala boleh merenggangkan hubungan mereka tetapi jangan sesekali anda menafikan hak dan perasaan serta kasih sayang seorang ayah yang tidak bertepi dan tidak sanggup berpisah namun rela berkorban apa sahaja demi anak yang disayangi.

Sebab itu, tidak hairanlah apabila Awie menerima lagu dan lirik “Coretan Pilu” daripada pihak Monkeybone pada 25 Mei dan setelah tiga kali menghayati melodinya kasih seorang ayah yang begitu menebal di jiwanya membuatkan beliau sebak tiba-tiba.

“Setelah tiga kali mendengar melodinya hati saya sayu tiba-tiba dan tatkala menghayati rangkap pertama lirik ‘tangan ini pernah menyentuh, membelai wajahmu kasih’…rindu saya terhadap dua anak yang terpisah membuatkan saya kalah…tanpa sedar saya menangis.

“Hanya Allah yang tahu betapa rindunya saya kepada dua orang anak saya iaitu Rezzki dan Qasseh. Tujuh tahun saya terpisah daripada mereka berdua tanpa khabar berita. Hanya satu yang mampu saya lakukan… berdoa demi kebahagiaan buat belahan jiwa saya,” cerita Awie penuh emosi ketika dihubungi semalam apabila ditanya mengenai lagu itu.

Putra Ahmad Rezzki dan Putri Qasseh Antasha…ketika kecil.

Bagi anda di luar sana yang tidak mengenali Awie dan melihat zahirnya sahaja, mungkin akan menganggap beliau adalah seorang yang kasar kerana genre rock menjadi pilihannya.

Tetapi Awie yang saya kenal sejak lebih 30 tahun lalu adalah seorang yang baik budi bahasanya dan amat menghormati siapa sahaja yang dikenali dan yang paling ketara beliau begitu sensitif jiwanya apabila bercakap tentang anak-anaknya.

Sebagai manusia kita memang mengharapkan ikatan perkahwinan itu akan kekal sehingga hujung nyawa namun takdir yang menentukan segalanya.

Namun begitu, Awie yang pernah melalui dua kali kegagalan dalam rumahtangga tidak pernah menyesali takdir sebaliknya menerimanya dengan reda.

Melalui perkahwinan pertamanya Awie dianugerahkan dua anak perempuan, Putri Aleeya Antasha,21, dan Putri Aleefa Antasha,19, yang kini menuntut di Management & Science University (MSU). Kini Aleeya menuntut dalam bidang pengurusan acara (event management) sementara Aleefa mengikuti bidang visual kreatif.

Sementara melalui perkahwinan keduanya yang juga berakhir dengan perceraian, Awie dikurniakan dengan tiga orang anak, Putra Ahmad Merrah,14, Putra Ahmad Rezzki,13, dan Putri Qasseh Antasha,11 tahun. Hanya Putra Ahmad Merrah tinggal bersama Awie dan kini belajar di sebuah sekolah swasta di ibu kota.

Sementara Putra Ahmad Rezzki dan Putri Qasseh Antasha dipelihara oleh bekas isterinya.

Menurut Awie, sebagai ayah adalah menjadi impiannya melihat kesemua anaknya membesar di depan mata dengan memberi sepenuh kasih sayang serta pendidikan yang sempurna.

“Mungkin anda melihat gaya saya ‘kasar’ di pentas tetapi jiwa saya tersentuh apabila bercakap tentang anak-anak. Saya tidak pernah lelah berdoa dan sentiasa mengimpikan kelima-lima anak saya duduk serumah belajar bersama dan sentiasa menjaga silaturahim tanpa menafikan hak ibu mereka untuk menjenguk dan mengambil mereka setiap hujung minggu. Tetapi saya tidak mampu melawan takdir,” cerita Awie.

Awie yang mendirikan rumah tangga buat kali ketiga pada tahun 2016 dengan Datin Sharifah Ladyana Syed Shamsudin Al-Qudre kini mempunyai seorang anak lelaki, Putra Ahmad Andeeka, enam bulan.

Menurut Awie, isterinya yang menangis ketika mendengar beliau menyanyikan lagu itu sebelum rakaman kini memainkan lagu tersebut untuk mendodoikan Andeeka!

“Saya pun heran apabila isteri beritahu Andeeka boleh lena setiap kali mendengar lagu nyanyian saya itu,” cerita Awie mengenai penangan lagu berkenaan.

“Coretan Pilu”dirakamkan pada 20 Jun lalu di Studio Al-Pamalo milik Awie yang terletak di Ukay Perdana.

“Sebelum rakaman saya sudah menghayati dengan sepenuh jiwa lagu itu dan apabila masuk studio dengan sekali rakam dan setelah mendengar dengan jurutera bunyi, kami puas hati.

“Esoknya, wakil dari Monkeybone datang ke studio untuk perbincangan dan setelah mendengar rakaman tersebut mereka puas hati. Alhamdulillah,” cerita Awie yang tidak dapat hadir pada perjumpaan itu kerana ada temu janji lain yang telah ditetapkan tarikhnya.

Bercakap mengenai album baru Wings terbitan bersama Datuk M. Nasir, Awie memberitahu;

“Sebenarnya sebelum PKP kami sudah merakamkan empat lagu kerana kami merancang menerbitkan album penuh iaitu 10 lagu. Tetapi disebabkan PKP berterusan terpaksalah kami tangguhkan.”

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan, Penerbitan Program Dalaman, Rangkaian Televisyen Media Prima, Nor Shahila Harun Shah ketika ditanya mengapa memilih Awie untuk menyanyikan lagu tersebut, memberitahu;

“Awie adalah seorang penyanyi legend dan ‘versatile’ tanah air. Pengalamannya lebih 30 tahun dalam industri membuatkan kami yakin lagu ini amat sesuai beliau nyanyikan apalagi beliau adalah seorang ‘ayahanda’ kepada enam orang cahaya mata.

“Bukan itu sahaja, malah lirik dan lagu ini amat sesuai dengan suara beliau (fit the bill) dan seiring dengan jalan cerita drama Ayahanda.”

NOR SHAHILA HARUN SHAH

Menurut Nor Shahila, pihak MonkeyBone memberikan lagu itu kepada Awie pada 25 Mei dan rakaman selesai pada 20 Jun di studio milik Awie.

“Coretan Pilu” edaran MonkeyBone telah dilancarkan di semua platform digital secara serentak mulai 9 Julai di Spotify, Joox, Apple Music, Itunes, KKNOX, Deezer, Joox dan YouTube Music. Audio Video rasmi “Coretan Pilu” juga boleh ditonton di laman MonkeyBone ( https://youtu.be/z54WBS-_hjk)

“Ayahanda” membawa kisah mengenai seorang imam tua yang degil, Haji Abdullah yang mempertahankan semua jawatannya berkaitan tentang keagamaan walaupun kehadirannya tidak diterima masyarakat. Hidupnya semakin sunyi dan terpinggir setelah kematian isterinya, Noriah.

Drama rantaian 13 episod yang mula disiarkan pada 10 Julai pukul 9.00 malam setiap Rabu hingga Sabtu di TV3 akan berakhir Sabtu ini diterbitkan oleh Zeel Productions Sdn. Bhd. dan diarahkan oleh Datuk Ahmad Tamimi Siregar dengan penerbitnya, Haji Fadzil Teh.
Skrip “Ayahanda” ditulis oleh Wan Mahani Wan Hassan dan Maizura Ederis dilakonkan oleh Jalil Hamid (Haji Abdullah), Fauziah Datuk Ahmad Daud (Noriah), Fikry Ibrahim (Aziz), Norkhiriah, Hairi Safwan, Shah Jaszle, Rita Nadira, Mimi Ernida dan Sherry Ibrahim.

Coretan Pilu

Tangan ini pernah menyentuh Membelai wajahmu kasihku Sedalamnya aku rasakan
Bahagia lalui dunia

Namun segala mula berubah Diriku tak lagi kau hargai Terdampar sunyi aku berserah Diriku dihukum begini

Mampukah aku menghamparkan Hati untuk menerima semua Dugaan yang telah menerpa Menguji segala keringat
Ku yang bergelar ayah

Andainya dicoretkan rasaku
Beratnya rindu terhadapmu
Kembalikan kasih yang masih tersimpan
Lupakan saja dendam ini

Penyanyi: Datuk Awie
Komposer: Ikhwan Fatthana dan Wan Saleh
Lirik: Ikhwan Fatthana dan Fedtri Yahya.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here