Merokok di premis makanan sudah bebas semula?

0
789

 

APA SAJA bersama NAZERI NONG SAMAH

Justeru hasil kutipan denda kesalahan merokok di premis makanan atau kawasan larangan lain yang sedia diwartakan sebelum ini, maka dengan wang kutipan hasil denda kepada perokok itu boleh membayar gaji kakitangan.

PERATURAN larangan merokok di restoran atau premis makanan mula dikuatkuasakan di Semenanjung Malaysia pada 1 Januari 2019 menerusi usul melalui Kementerian Kesihatan era kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) yang diluluskan oleh Parlimen.

Selepas itu, peraturan tersebut turut dikuatkuasakan di Sabah (1 Februari 2019) dan Sarawak (1 Mac 2019) kerana mendapati matlamat perintah larangan merokok di premis makan tersebut mempunyai banyak kebaikan serta memberi kenyamanan kepada pengunjung lain.

Menurut peraturan itu yang dijelaskan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berbunyi: Berdasarkan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 di bawah Akta Makanan 1983 (Akta 324), hukuman denda sehingga RM10,000 dan penjara tidak melebihi dua tahun boleh dikenakan ke atas sesiapa didapati bersalah merokok di kawasan larangan tersebut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah pula berkata, bagi semua pemilik, pengusaha (premis makanan) yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok boleh dikenakan tindakan denda sehingga RM3,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan di bawah peraturan 12, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Peraturan itu juga menyebut jarak yang dibenarkan merokok ialah tiga meter (10 kaki) dari ruang restoran supaya asap rokok yang berbau busuk itu tidak mengganggu kenyamanan pengunjung restoran yang sedang minum atau menjamu selera dengan makanan tertentu.

Namun peraturan itu nampaknya hanya pada bulan pertama sahaja dihormati perokok tegar. Berbanding kini kita dapat saksikan sendiri perokok yang tidak berdisiplin itu bebas merokok atau menghisap bahan yang boleh mengeluarkan asap, termasuk bersumberkan vape dan shisha.

Asap rokok, vape dan shisha yang tidak menyenangkan, kadang-kadang berbau busuk air liur dalam asap, sekali gus meloyakan tekak terpaksa dihidu oleh pengunjung premis makanan di setiap restoran atau premis makanan terbabit, termasuk gerai makanan tepi jalan.

Melihat kepada poster atau stiker larangan merokok yang ditampal di setiap premis makanan ternyata menakutkan kerana denda maksimun RM10,000 dan penjara boleh dikenakan kepada perokok melanggar peraturan tersebut.

Apakah kerana stiker itu menyebut secara umum larangan merokok yang difahamkan secara ‘protes bodoh sombong’ oleh perokok akan larangan kepada rokok kotak berasakan tembakau sahaja, tidak meliputi hisap paip tembakau, rokok tembakau gulung, vape dan shisha yang tidak disebut dalam stiker berkenaan.

Dalam tinjauan penulis ke sekitar Selangor dan Lembah Klang, termasuk ibu negara Kuala Lumpur, baru-baru ini terdapat premis restoran berlumba-lumba menyediakan ‘dapur shisha’ bagi memenuhi permintaan pengunjungnya.

Lantaran itu asap shisha daripada penghisap termasuk dalam kalangan remaja lelaki dan perempuan di laman atau kaki lima restoran jelas nampak bertebaran seperti jerebu ditiup angin masuk ke dalam premis restoran tempat duduk bukan perokok.

Pengalaman penulis juga ketika berkunjung ke sebuah restoran kawasan elit di Wangsa Maju, dekat Kuala Lumpur, baru-baru ini terbau seperti asap ‘colok’ ketika penulis sedang duduk menjamu selera duduk di bahagian anjung.

Apabila ditoleh ke meja belakang rupa-rupanya terdapat sekumpulan anak-anak muda sedang ketawa bersuka ria bagaikan ‘dunia ini mereka yang punya’ sambil bergilir-gilir menghisap shisha tidak mempedulikan ketenteraman orang lain di sekeliling.

Hal yang sama juga dapat disaksikan kepada perokok warga tempatan, termasuk pendatang warga asing bebas merokok duduk di meja kaki lima restoran dalam kawasan Ampang dan Pandan, Selangor atau mungkin di seluruh negara kini ‘selamba sahaja’ sahaja merokok walaupun depan mata mereka terpampang stiker besar larangan merokok.

Pemilik atau pelayan premis makanan pula takut untuk melarang perbuatan pengunjung yang ‘tak makan dek saman’ itu, mungkin takut berulang insiden pembantu restoran kena tampar pelanggan kerana cuba melarang pelanggan merokok dalam kawasan restoran.

Memang pernah terjadi insiden pembantu restoran kena tampar oleh pelanggan kerana cuba melarang pelanggan merokok dalam kejadian di sebuah restoran di Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, Selangor pada awal Januari 2019 ketika peraturan tersebut mula dikuatkuasakan dahulu.

Nah, sekarang terserah kepada kerajinan penguat kuasa Kementerian Kesihatan untuk menjalankan tugas penguatkuasaan kerana jika mereka rajin menjalankan tugas, maka sudah pasti setiap hari ada tangkapan perokok yang melanggar peraturan larangan merokok dalam kawasan premis makanan, termasuk pemilik premis juga boleh dikenakan denda kerana gagal melarang perbuatan yang dilarang oleh pemerintahan kerajaan PH itu.

Pendek kata, jika rajin membuat penguatkuasaan, justeru hasil kutipan denda kesalahan merokok di premis makanan atau kawasan larangan lain yang sedia diwartakan sebelum ini, maka dengan wang kutipan hasil denda kepada perokok itu boleh membayar gaji kakitangan awam kementerian terbabit, selain menjana pendapatan negara kepada kerajaan PH yang sering mendakwa kekurangan ongkos akibat perbuatan kerajaan terdahulu.

Jika penguat kuasa Kementerian Kesihatan khuatir keselamatan terancam ketika bertindak secara bersendirian membuat sebuan kepada pesalah merokok dalam kawasan premis makanan itu, maka bolehlah membuat penguatkuasaan operasi bersepadu dengan agensi keselamatan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Penguna (KPDNHEP), Jabatan Imigresin, Jabatan Pendaftaran Negara, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan seumpamanya lagi mengikut amalan biasa operasi serbuan.

Dalam serbuan itu kelak pelbagai kesalahan lain akan ditemukan, maka semakin banyak perolehan denda bakal diperoleh bagi menjana pendapatan negara melibatkan denda kes pendatang asing bekerja tanpa permint sah, premis kotor, kesalahan kepenggunaan, masalah lesen perniagaan dan sebagainya lagi.

Justeru itulah faedahnya membuat membuat operasi bersepadu kerana setiap agensi jabatan itu mempunyai bidang kuasa untuk bertindak mengikut peruntukan masing-masing.

Sebagai contoh, kerajaan Melaka dilaporkan berjaya memperoleh RM90,830 hasil daripada kutipan denda kepada 367 kes kesalahan merokok di kawasan larangan bagi tempoh tiga bulan pertama tahun 2017 lalu.

— BebasNews.my

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here