(Original Caption) Off the coast of Vietnam. U.S. Navy jet planes returns to carrier Bon Homme Richard, August 2md, after one of their regular missions against the Viet Cong.

Lokasi: Detasmen SAR, bersebelahan Menara Kawalan, PU Butterworth
Hari/tarikh: Ahad/15 November 1987
Jam: lebih kurang 11:15 pagi

Kru ‘SAR standby’: Lt Abd Razak bin Omar TUDM, Lt Suman bin Selamat TUDM, F/Sjn Subramaniam (mendiang), Sjn Hashim bin Hamzah dan 4 anggota Handau, iaitu AC Md Radzy bin Othman, LAC Ishak bin Hj Omar, AC Che Baharin bin Che Mat dan LAC Badrulhisham bin Hashim.

Sementelah cuti hujung minggu, tidak banyak aktiviti penerbangan kecuali penerbangan dua buah pesawat No 3 Skuadron. Pada lebih kurang jam 8:00 pagi, sebuah Nuri yang dikendalikan oleh Kapt Idris bin Yusoff TUDM (Allahyarham) dan kru berlepas ke Klian Intan dan Banding untuk tugasan ulang bekal. Mereka diiringi oleh sebuah helikopter gempur yang dikendalikan oleh Kapt Johnny Loh TUDM bersama jurumesingan.

Bagi memenuhi masa lapang, ada antara kru bersembang kosong sambil minum kopi berkole-kole sambil nasi lemak yang dibeli di gerai di luar pangkalan. Ada yang membaca akhbar dan bermain karom. Aktiviti ini terhenti apabila loceng amaran tiba-tiba: ‘Ring…ring…ring.’ Mereka terpinga-pinga. Deringan loceng bererti terdapat pesawat menghadapi kecemasan dan memerlu bantuan. Op SAR dilancarkan.

Kecuali Lt Abd Razak, yang lain-lain bergegas ke pesawat M23-14 yang diperuntukkan untuk tugasan SAR hari itu. Selaku kapten pesawat, Lt Abd Razak menandatangani ‘Autho Sheet’ sebelum bergegas ke pesawat tersebut. Selain itu, beliau mencatat butir-butir misi daripada Menara Kawalan. Beliau juga dimaklum terdapat ribut petir di timur Butterworth dan kawasan Grik. Cuaca buruk tidak menghairankan kerana di waktu itu negara berhadapan dengan musim tengkujuh.

Lt Suman menghidupkan enjin No 1 GE T58-100 sebaik sahaja berada di kokpit. Sementara Sjn Subramaniam melaksana tugasannya. Anggota Handau pula menyedia dan menentukan peralatan berada dalam pesawat.
******
Loceng itu diaktifkan apabila Menara Kawalan yang menempatkan ‘Butterworth Approach’ dikejutkan dengan panggilan: ‘Mayday…Mayday…Mayday.’ Panggilan datang daripada sebuah pesawat A4E Skyhawk, nombor siri 151178 kepunyaan Tentera Laut Amerika Syarikat. Pagi itu, pesawat yang dikendalikan oleh Lt Kdr Burn berlepas dari kapal induk yang sedang belayar di Selat Melaka ke kawasan utara Semenanjung. Penerbangan itu mendapat kelulusan pihak berkuasa negara. Ketika berada di ruang udara kawasan Grik, pesawat tersebut telah mengisi bahan api daripada pesawat KC-130 tanker melalui kaedah ‘udara-ke-udara’ (air-to-air refuelling). Semasa dalam proses pengisian bahan api, enjin pesawat Skyhawk buat ragam. Lt Kdr Burn melakukan ‘immediate drills’ selari dengan ‘Flight Manual’ tetapi enjin tetap berdegil. Dalam keadaan begini, beliau hanya ada 1 pilihan: eject! Beliau memberitahu pesawat KC-130 tanker hasratnya yang ketika itu masih berada di ruang udara di situ.

Eject tidak semudah yang difikirkan. Juruterbang berhadapan dengan risiko yang boleh memudaratkan mereka. Menurut Dr. Mathew Varghese, Jururunding Kanan dan Ketua Jabatan Ortopedik, St.Stephen’s Hospital, Delhi, kajian menunjukkan risiko kecederaan kepada juruterbang adalah lebih kurang 30-50%. Kecederaan yang mungkin dialami ialah patah tulang belakang bahagian torasik (10%), patah tulang tibia (tulang kering) atau tulang paha (femur) (12%) dan patah tulang lengan atau humerus (3%).

Setelah membuat persediaan, Lt Kdr Burn mengaktifkan mekanisme dengan menarik tuil (lever) berkenaan. Tindakannya itu mengaktifkan roket di bawah tempat duduk ‘Douglas Escapac.’ Kuasa roket itu membuatkan tempat duduk melantung ke udara sehingga lebih kurang 100 kaki. Beberapa saat kemudian, paracut terbuka dan secara automatik tempat duduk Douglas Escapac gugur dengan sendiri dan ‘survival kit’ tergantung di bawah Lt Kdr Burn. Dalam keadaan melayang matanya mengimbas hamparan hijau yang sejuk mata memandang sekiranya terdapat sebarang kawasan lapang. Tetapi hanya kanopi hutan belantara menunggu ketibaannya. Paracut akhirnya tersangkut pada dahan pokok. Latihan yang diasak kepada juruterbang pesawat pejuang seperti menangani keadaan sebegini berjaya membawa beliau selamat berpijak ke bumi. Beliau bernasib baik. KC-130J tanker yang berlegar di kawasan itu mengawasi Lt Kdr Burn dan lokasi pesawat tersebut terhempas. Kapten KC-130 tanker menghubungi Butterworth Approach memberitahu lokasi Lt Kdr Burn dan pesawat terhempas dalam bentuk ‘Lat & Long’ (Latitude & Longitude).

Lokasi Lt Kdr Burn yang ejected daripada pesawat A4 Skyhawk Tentera Laut
Amerika Syarikat pada 15 November 1987. Sumber: Mej Abd Razak bin Omar
******

Apabila Lt Abd Razak tiba di pesawat, enjin No 1 sudah dihidupkan. Beliau seterusnya menghidupkan enjin No 2. Sebelum berlepas, Lt Abd Razak memberi lokasi Lt Kdr Burn kepada Lt Suman untuk diplot pada peta. Lokasi tersebut di kawasan operasi Grik, Perak. Sebaik sahaja mendapat kebenaran daripada Menara Kawalan, mereka berlepas dengan melintasi landasan terbang ke arah Grik yang bukan asing kepada kru No 3 Skuadron. Menara Kawalan turut menekankan cuaca buruk di laluan ke Grik. Memang benar apa yang diberitahu oleh Menara Kawalan. Mereka melihat laluan diselimuti kegelapan dan hujan lebat. Bukan itu sahaja. Kapt Idris dan Kapt Johnny Loh yang dalam penerbangan balik ke Butterworth setelah melaksanakan tugasan telah dilencong untuk Op SAR turut memberitahu Lt Abd Razak keadaan cuaca di Klian Intan dan Banding.

Ribut petir bukan penghalang kepada kru untuk meneruskan usaha menyelamatkan nyawa hamba-Nya, tanpa mengira siapa pun. Lantas, Lt Abd Razak menukar kaedah penerbangan kepada IFR yang begitu sinonim dengan juruterbang helikopter. Bukan ‘Instrument Flight Rules’ yang sepatutnya tetapi ‘I follow road/river/railway track.’ Beliau mengalih arah pesawat sambil meninggalkan ketinggian yang dibenarkan untuk mengikuti jalan raya ke selatan yang membawa ke Taiping. Dari Taiping beliau berharap dapat melepasi banjaran Bukit Larut (Bukit Maxwell) untuk ke destinasi. Namun, cuaca masih buruk! Beliau tiada pilihan tetapi meneruskan penerbangan ke selatan, iaitu Kuala Kangsar. Apabila tiba di Simpang Lawin, Lt Abd Razak buat penerbangan rendah mengikut jalan raya ke Grik. Boleh dikatakan semua juruterbang 3 Skuadron sudah biasa laluan ini seperti tapak tangan mereka.

Mereka bernasib baik. Apabila tiba di kawasan terbabit, mereka hanya berhadapan dengan renyai-renyai sahaja. Kapten KC-130 tanker yang menyedari Chopper One sudah berada di kawasan tersebut, menghubungi Lt Abd Razak melalui radio VHF dan seterusnya ‘memandu’ beliau ke lokasi Lt Kdr Burn. Tidak lama kemudian, Lt Abd Razak dan Lt Suman melihat peracut yang terdampar di satu kawasan yang agak lapang. Apabila menghampiri lokasi tersebut, mereka mendapati Lt Kdr Burn yang masih memakai ‘flying helmet’ berada dalam keadaan terlantar. Walau bagaimanapun, keadaan muka bumi tidak sesuai untuk Nuri mendarat.

Lt Abd Razak seterus memulakan fasa ‘approach.’ Beliau membawa pesawatnya terapung berhampiran Lt Kdr Burn. Sementara itu tangan kanan Lt Suman berada pada ‘speed selecter levers.’ Sebaik sahaja pesawat dalam keadaan terapung pada ketinggian lebih kurang 50 kaki, AC Radzy dan LAC Badrulhisham diturunkan serentak melalui kaedah ‘winching’ oleh Sjn Hashim. Mereka mendapatiLt Kdr Burn mengalami sakit tulang belakang membuatkan beliau terpaksa dalam keadaan terbaring. Apabila F/Sjn Subramaniam dan ‘Strecer Saleh’ diturunkan, mereka bertiga berhati-hati mengangkat Lt Kdr Burn untuk diletakkan dalam strecer. Keadaan ini dengan jelasnya memaparkan Lt Kdr Burn tidak selesa. Mana tidaknya. Kaki beliau terjuntai kerana strecer itu ‘pendek’ untuk beliau. Perolehan strecer tersebut berspefikasi untuk saiz anggota pasukan keselamatan negara Malaysia tercinta, bukan untuk orang asing, terutama ‘mat saleh’ yang tinggi dan berat. Dalam keadaan begitu, beliau tiada pilihan!

Sebaik sahaja semua mangsa dan anggota Handau berada dalam pesawat, Lt Abd Razak berlepas untuk penerbangan balik ke Butterworth. Beliau menghubungi KC-130 tanker, Kapt Idris dan Kapt Johnny Loh memberitahu mereka yang beliau mangsa berada dalam pesawat dan meneruskan penerbangan balik ke pangkalan. Kapt Idris yang baru tiba di kawasan itu membuat keputusan untuk terbang balik ke Butterworth setelah diberitahu Lt Kdr Burn selamat dinaikkan.

Selain pesawat SAR terpaksa melencong untuk ke lokasi mangsa, Lt Abd Razak berhadapan dengan masalah komunikasi dengan Bilik Operasi, TUDM Butterworth. Keadaan ini disebabkan beliau melakukan penerbangan rendah. Masalah ini diatasi apabila Kapt Johnny Loh. Beliau yang ketika itu berlegar berhampiran Gunung Bintang beraksi sebagai ‘relay station.’ Ketiga-tiga pesawat TUDM itu berkomunikasi sesama mereka dengan mengguna radio UHF.

Cuaca beransur pulih. Justeru, Lt Abd Razak berlepas dari lokasi tersebut menuju ke Grik dan seterusnya menukar arah terus ke Butterworth. Chopper One selamat mendarat di Butterworth pada lebih kurang jam 2:00 petang. Lt Kdr Burn seterusnya dibawa ke RSAT pangkalan untuk pemeriksaan kesihatan Pegawai Perubatan. Tidak lama kemudian, beliau dipindah ke ‘Penang Medical Centre’ (PMC; kini Gleneagles Hospital Penang) yang diurus oleh Kedutaan AS.

Keesokan pagi, 16 November 1987, sebuah Nuri berlepas dari Butterworth ke lokasi bangkai pesawat itu bersandarkan kepada maklumat yang diberi oleh KC-130 tanker. Para penumpang Nuri terdiri daripada anggota Handau, kejuruteraan dari pelbagai ‘Tred’ dan jurugambar. Apabila tiba di persekitaraan lokasi, kapten pesawat melakukan tinjauan udara bagi menentukan lokasi bangkai pesawat tersebut. Pencarian mereka dimudahkan kerana kawasan itu merupakan ladang kelapa sawit yang baru ditanam. Mereka mendapati bangkai pesawat itu hanya lebih kurang 300 meter dari lokasi Lt Kdr Burn. Dengan penemuan itu, kapten pesawat membawa Nuri dalam fasa approach. Apabila mendengar Lt Abd Razak memberitahu “running in” yang menunjukkan pesawat dalam proses untuk berada dalam keadaan terapung, F/Sjn Damanhuri bin Hj Mahmud selaku AQM membuka pintu kargo sepenuh untuk menentukan keadaan di sebelah kanan dan belakang pesawat. Tanpa diduga, beliau ternampak tempat duduk Douglas Escapac lebih kurang 200 meter dari lokasi bangkai pesawat. Pesawat seterusnya mendarat untuk menurunkan beberapa anggota Handau, kejuruteraan dan jurugambar, pesawat berlepas ke lokasi tempat duduk Douglas Escapac. Baki anggota Handau dan seorang daripada Tred Senjata (Armament Trade) turun untuk memeriksa alat itu sebelum dinaikkan ke dalam pesawat. Kapten pesawat seterusnya mendarat semula di lokasi bangkai pesawat untuk mengambil yang diturunkan di situ untuk penerbangan balik ke Butterworth. Tidak lama kemudian, bangkai pesawat dibawa ke Butterworth dengan kenderaan.

Tiga hari kemudian, semua kru Chopper One kecuali Sjn Hashim pergi melawat Lt Kdr Burn di PMC yang diatur oleh Mej Ibrahim bin Hashim TUDM, Ketua Flait (Nuri). Mereka telah menghadiahkannya senahkah buku berkenaan Malaysia dan menunjukkan di mana tempat beliau diselamatkan.

Sebagai menghargai dedikasi kru Chopper One, Sikorsky menganugerah mereka sijil ‘Sikorsky Helicopter Rescue Award’ dan pin kepada kesemua 8 mereka terbabit, iaitu Lt Abd Razak bin Omar TUDM, Lt Suman bin Selamat TUDM, F/Sjn Subramaniam, Sjn Hashim bin Hamzah, AC Md Radzy bin Othman, LAC Ishak bin Hj Omar, AC Che Baharin bin Che Mat dan LAC Badrulhisham bin Hashim. Sijil-sijil tersebut disampaikan oleh Kol Abdul Abdul Malek Sahar bin Harun TUDM, Pegawai Memerintah, TUDM Butterworth semasa ‘Perbarisan Pegawai Memerintah.’

Kru ‘Chopper One’. Kiri: LAC Ishak bin Hj Omar, AC Baharin bin Che Mat, F/Sjn Subramaniam, Lt Suman bin Selamat TUDM, Lt Abd Razak bin Omar TUDM, Sjn Hashim bin Hamzah, LAC Badrulhisham bin Hashim, AC Md Radzy bin Othman. Sumber: Mej Abd Razak bin Omar

 

Sijil ‘Sikorsky Helicopter Rescue Award’ yang dianugerah kepada AC Md Radzy bin Othman
yang terlibat dalam Op SAR melibatkan pesawat A4 Skyhawk Tentera Laut AS
pada 15 November 1987. Sumber: PW U I Radzy bin Othman (B)

Mengimbau kembali misi 35 tahun berlalu, Mej Abd Razak menyatakan: “Frankly, I missed the spirit of ‘Di Mana dan Apa Saja’. The first operational Squadron that I was posted to. A squadron dedicated to flying the mission safely. And the most enjoyed my tour of duty there. Thank you to all crew and supporting team, without them we can’t accomplish the mission successfully for the RMAF and the nation.”

Mej Jen Dato’ Johnny Loh tidak boleh lupa keadaan Mej Burn di Butterworth sebelum dibawa ke RSAT: “I can still picture the rescued pilot being brought out from the SAR aircraft with all this green colour liquid on him. Apparently, it is dispensed automatically during the ejection and is an anti-shark repellent. The rescue was a good effort from all involved. It was a long day for us but a very rewarding one.”

Rujukan:

1. Temu bual dengan Mej Abd Razak bin Omar melalui aplikasi WhatsApp pada 1 Jun 2021.
2. Temu bual dengan Mej Jen Dato’ Johnny Loh (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 20 Julai 2021.
3. Temu bual dengan PW U I Damanhuri bin Hj Mahmud (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 20 Julai 2021.
3. Temu bual dengan Kapt Suman bin Selamat melalui aplikasi WhatsApp pada 21 Julai 2021.
4. Temu bual dengan PW U I Md Radzy bin Othman (B) melalui telefon pada 21 Julai 2021.
5. Temu bual dengan Mej Jen Dato’ Hj Ibrahim bin Hashim TUDM (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 22 Julai 2021.
6. Temu bual dengan PW U I Hashim bin Hamzah (B) melalui telefon pada 22 Julai 2021.
7. Temu bual dengan Mej Jen Dato’ Pahlawan Hj Abdul Malek Sahar bin Harun TUDM (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 23 Julai 2021.
8. Dr. Mathew Varghese, Senior consultant and Head, Department of Orthopedics, St. Stephen’s Hospital, Delhi. Ejection from a fighter jet: What are the risks? March 13, 2019. Lihat https://www. businesstoday.in/opinion/columns/fighter-jet-ejection-iaf-pilot-abhinandan-ejection-from-a-fighter-jet-what-are-the-risks/story/327 000.html (diakses pada 1 Jun 2021).

 

https://xnuripilot.blogspot.com/2021/07/kaki-terjuntai.html?m=1

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here