Oleh Wartawan BebasNews

KUALA LUMPUR — Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan telah melakukan kesilapan apabila membuat kenyataan di Parlimen bahawa kesemua Ordinan Darurat telah dibatalkan — dan beliau perlu memohon ampun kepada Yang di-Pertuan Agong dan kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Mantan Ketua Hakim Negara, Tun Hamid Mohamad memberitahu BebasNews, beliau tidak boleh menyatakan bahawa Ordinan-Ordinan itu telah dibatalkan oleh Kabinet.

“Pembatalan hanya boleh dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong kerana Ordinan-Ordinan itu dibuat dengan perkenan baginda. Kabinet hanya boleh menasihati Tuanku.

“Sekiranya, Yang di-Pertuan Agong tidak membatalkannya sebelum Parlimen bersidang, Takiyuddin perlu menarik balik kenyataannya mengenai pembatalan itu, seterusnya memohon ampun kepada Tuanku dan memohon maaf kepada Ahli-Ahli Parlimen kerana menyatakan bahawa Ordinan-Ordinan itu telah dibatalkan oleh Kabinet
tanpa mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong,” jelas tun Hamid ketika dihubungi bagi mendapatkan pendapat beliau ekoran surat dukacita Tuanku yang dikeluarkan oleh Istana Negara hari ini.

Dalam surat itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang telah dibuat di Parlimen pada 26 Julai, 2021 lalu bahawa Kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh Baginda sepanjang tempoh Darurat walhal pembatalan belum lagi diperkenankan Baginda.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah
diperkenan dan dititahkan kepada Takiyuddin selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dan Tan Sri Idrus bin Harun, Peguam Negara semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai 2021 bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan.

Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa kenyataan Yang Berhormat Menteri di Parlimen pada 26 Julai 2021 adalah tidak tepat dan telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa pada 21 Julai 2021 yang telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen dan kenyataan yang bercanggah serta mengelirukan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara malah telah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurut kenyataan Istana Negara itu, Seri Paduka Baginda sedia maklum akan perlunya Baginda bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti terkandung dalam Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

Namun, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa Baginda, selaku Ketua Utama Negara, mempunyai kewajipan untuk menyampaikan nasihat dan teguran jika berlaku sebarang tindakan yang tidak berperlembagaan oleh mana-mana pihak, khususnya mereka yang melaksanakan fungsi dan kuasa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa Ahli-ahli Parlimen supaya memberikan keutamaan kepada kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat serta negara pada sesi sidang Parlimen yang kini sedang berlangsung untuk mencari penyelesaian terhadap pelbagai masalah yang dihadapi rakyat dan negara ketika krisis pandemik COVID-19 ini.

Seri Paduka Baginda turut mengambil kesempatan ini menyeru rakyat untuk bersama-sama mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera.

— BebasNews

Please follow and like us:

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here