Amel Amilia mempunyai wajah mirip Nike Adilla

TUAH Amel Amilia,18, dari Jakarta berwajah mirip artis muda popular Indonesia, Allahyarham Nike Ardilla itu telah membuatkan remaja tersebut kini muncul sebagai bintang baru berpotensi dan sudah berjaya merakamkan nyanyian single terbaharunya.

“Saya amat berterima kasih kepada semua pihak yang menyokong dan memberi peluang ini. Bagaimanapun sosok Nike Ardilla nggak tergantikan oleh sesiapa pun,” kata Amel Amilia menyatakan penghargaannya itu.

Amel Amilia baru sahaja muncul dengan single lagu berjudul ‘Serupa’ ciptaan komposer Dommy Allen yang mula dilancarkan untuk pendengaran umum di Jakarta pada petang Khamis 29 Julai 2021.

Lagu ‘Serupa’ nyanyian Amel Amilia dengan suara tersendiri yang berdurasi sekitar empat minit dengan iringan muzik pop rock itu mengisahkan mengenai kehebohan netizen mengenai personaliti serta wajah penyanyi remaja ini amat mirip kepada Nike Ardilla.

Seni kata lagu ‘Serupa’ itu berbunyi, “seringkali kubertanya, di sudut ruang hatiku, aku bercermin, melihat diriku sendiri, dan menatap wajahku, banyak orang yang bilang, aku mirip dengannya, sampai aku terharu, melihat kembarnya, yang cantik dan jelita, memang aku tak sama, tapi serupa, memang aku tak sama, tapi mirip dengannya, kucuba bernyanyi, menghiburkannya…”

Malah melodi lagu ‘Serupa’ juga mirip kepada nostalgia gubahan muzik lagu pop rock paling popular ‘Bintang Kehidupan’ nyanyian Nike Ardilla ciptaan komposer terkenal Indonesia, Deddy Dores pada awal tahun 1990-an dahulu.

Amel Amilia merupakan pelajar sekolah menengah yang bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti itu bercita-cita untuk menjadi pakar psikologi juga mempunyai bakat tersembunyi sebagai pelakon, model, pengacara, penulis dan seumpamanya lagi.

Sebelum ini wajah Amel Amilia atau nama penuhnya Siti Aisyah Mardhiya Amilia yang 90 peratus mirip wajah Nike Ardilla itu menggemparkan Indonesia apabila tersebar dalam media sosial selepas beraksi model dirakam oleh pemuda jurugambar bebas Taufik Akbar dalam pertemuan tanpa dirancang berlokasikan kawasan Jakarta Pusat pada 18 Jun 2021.

Berikutan itu berlaku kejutan khususnya dalam dunia hiburan Indonesia merasakan ‘seolah-olah Nike Ardilla hidup semua’ membuatkam Amel Amilia tidak dapat duduk diam kerana sentiasa menjadi buruan stesen televisyen swasta sebagai tamu undangan istemewa, selain kelelahan memenuhi jadual fotografi dan temu ramah oleh media cetak dan media sosial setempat.

Justeru jika anda membuka saluran media sosial YouTube sekarang pasti terpegun kerana klip video mengenai kisah Amel Amilia mirip Nike Ardilla ternyata mendominasi ruangan dengan pelbagai cerita positif mengenai mereka yang disambut baik oleh para penggemar dunia hiburan.

Kini kemunculan Amel Amilia di persada hiburan sudah pasti dapat mengubat kerinduan jutaan para peminat Nike Ardilla bukan sahaja di Indonesia, malah menjangkau ke Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam.

Nike Ardilla

Terdapat dua buah lagu popular nyanyian Nike Ardilla berjudul ‘Ku Tak Akan Bersuara’ dan ‘Duri Terlindung’ adalah hasil ciptaan komposer Saari Amri dari Malaysia pada tahun 1993.

Turut berasa terubat kerinduan tersebut ialah ibu Nike Ardilla yang merupakan warga emas berkerusi roda bernama Nining Ningsihrat dari Bandung, Jawa Barat sehinggakan menitis lebat air matanya sambil mendakap erat Amel Amilia dalam pertemuan pertama di Jakarta. Pertemuan kedua mereka pula ialah sewaktu Nining Ningsihrat menemani Amel Amilia meniziarahi makam Nike Ardilla di Ciamis, Bandung, baru-baru ini.

Nining Ningsihrat mengakui bahawa perwatakan dan wajah Amel Amilia itu yang pemalu dan bersopan santun memang mirip Nike Ardilla sewaktu zaman remaja.

Sayangnya usia Nike Ardilla (Raden Rara Nike Ratnadilla Kusnadi) tidak panjang kerana dia meninggal dunia dalam usia muda 19 tahun apabila terlibat dalam kemalangan jalan raya kereta dipandunya terbabas melanggar pokok dan tembok di pinggir jalan di Bandung pada pukul 6.15 pagi Ahad 19 Mac 1995. Al-Fatihah dibacakan untuk rohnya.

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here