doctor, fighting, virus
Photo by mohamed_hassan on Pixabay
Oleh: Prof. Madya Dr. Khairi Ariffin

SEJARAH membuktikan pahlawan tanah air kita telah mengembeling tenaga mendepani ranjau perjuangan dengan keringat dan darah membasahi bumi untuk menjadikan negara Malaysia bebas dan merdeka daripada belenggu penjajahan British, Jepun dan ancaman komunis.

Syabas diucapkan kepada pahlawan-pahlawan yang berkorban nyawa demi negara tercinta. Jasa dan perjuangan pahlawan amat disanjung dan tidak dapat disamakan dengan nilai ringgit dan emas atas pengorbanan yang telah mereka curahkan.

Kita hari ini amat bertuah atas pengorbanan para pahlawan terdahulu telah berjaya membangunkan negara tercinta Malaysia menjadi sebuah negara yang maju dan makmur. Atas peristiwa dan mengenang jasa pahlawan inilah maka tarikh setiap 31 Julai setiap tahun merupakan sambutan hari Pahlawan di Malaysia. Kepada generasi muda kini, haruslah menghayati nilai dan semangat Hari pahlawan kerana ianya merupakan hari yang sangat bermakna dan perlu dihayati.

Tidak terungkap dengan kata-kata dan tidak ternilai atas jasa-jasa yang mereka telah perjuangkan. Pada hakikatnya jasa dan pengorbanan pahlawan kita atas kejayaan silam telah menjadikan Malaysia sebagai satu realiti, sebagai negara yang dikagumi di persada antarabangsa.

Sambutan Hari Pahlawan pada setiap tahun bukanlah hanya terhad kepada majlis upacara rasmi penyambutan di Tugu Negara atau di Dataran Merdeka dan diikuti edaran surat derma hari pahlawan di sekolah-sekolah dan institusi pengajian sahaja, sebaliknya Hari Pahlawan harus menjadi medium kepada pemangkin kebangkitan semua anggota masyarakat dalam berjuang terhadap anasir-anasir subversif dan bersama-sama membina jati diri membersihkan diri daripada idea dan pemikiran yang boleh merosakkan negara.

Kepada masyarakat dan institusi di negara ini, konsep dan istilah kepahlawanan harus diperluaskan kepada aspek-aspek lain yang menunjukkan negara ini boleh melawan dan menentang segala musibah yang melanda negara dalam apa bentuk yang perlu kita tangani bersama dengan menyebatikan diri bersama menyerap semangat kepahlawanan.

Justeru itu, apa yang kita hadapi pada hari ni dalam tempoh dua tahun sehingga sekarang tentang pandemik COVID-19 ini yang merupakan musuh utama negara sehingga negara berada dalam kebejatan ekonomi dan sosial.

Bermula saat ini, marilah kita bersama-sama menjadi seseorang yang bersemangat kepahlawanan. Kita menjadikan aura dan semangat kepahlawanan sebagai satu dorongan dan inspirasi bagi diri kita menjadi berani dan lebih cekal untuk menjadikan diri kita berada dalam kedudukan dan prestasi yang amat tinggi bagi menyumbang sesuatu yang bermanfaat untuk kemajuan keluarga, agama, masyarakat dan negara.

Semangat Pahlawan perlu disebatikan dalam jiwa dan sanubari kita untuk selamanya. Negara amat memerlukan rakyat yang berjiwa besar dan bersemangat kepahlawanan yang sanggup memikul sebarang tanggungjawab demi membina dan membangunkan masyarakat serta negara ke arah pencapaian kehidupan yang lebih cemerlang selamanya.

Keamanan, kesejahteraan, dan kemakmuran hidup dalam kalangan masyarakat di Malaysia sudah tentunya tidak harus melupakan sumbangan dan peranan yang telah dimainkan oleh golongan pahlawan pada era perjuangan para pahlawan dalam menghadapi ancaman komuni pada masa darurat 1948 sehingga 1960. Atas dasar inilah yang mendorong pada 31 Julai 1960 secara rasminya kerajaan mengumumkan sebagai permulaan sambutan Hari Pahlawan di Malaysia untuk dirayakan dan disambut setiap tahun sehingga kini. Walau bagaimanapun, menyambut perayaan Hari Pahlawan ini perlulah sesuai mngikut nilai agama islam tanpa mmbawa konspep taksub sehingga ianya bertentangan dengan syarak islam.

Pada peringkat awal majlis perlaksanaan sambutan perayaan Hari Pahlawan ada aktiviti yang didapati tidak sesuai dengan dengan prinsip kerukunan agama rasmi negara dan wajarlah ianya ditaiadakan. Namun kita tetap terus melaksanakan majlis sambutan Hari Pahlawan dengan cara yang lebih wajar mengikut luna-lunas agama Islam sebagai tanda menghargai jasa-jasa pahlawan silam. Dalam konteks ini, pihak kerajaan boleh menjadikan juga tokoh-tokoh atau para pahlawan dalam sejarah perjuangan Islam sebagai suatu yang boleh dikesampingkan dalam menjadikan Hari Pahlawan sebagai suatu konsep yang lebih luas dan bermakna.

Jadi 2021 adalah merupakan tahun yang perlu menjadikan semua anggota rakyat Malaysia sebagai berjiwa pahlawan kerana musuh yang kita hadapi sekarang adalah musuh yang sangat berbahaya dan bukan sembarangan sebab virus COVID-19 ini telah menyebabkan kematian yang amat besar pada rakyat negara ini di samping menjadikan negara kita berhadapan dengan masalah ekonomi dan sosial yang membimbangkan. Ayuh! bangun rakyat Malaysia, bangunlah dengan jiwa pahlawan sejati untuk menentang segala musuh yang mahu merosakkan kesejahteraan rakyat dan negara kita.- BebasNews

 

Khairi Ariffin

*Penulis merupakan Profesor Madya di Jabatan Sejarah, Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Perak. Beliau boleh dihubungi di khairi.ariffin@fsk.upsi.edu.my.

*Ini merupakan pendapat peribadi peulis dan tidak mewakili pandangan BebasNews.

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here