SHAH ALAM – Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kesihatan negara menggesa kerajaan mengeluarkan larangan penjualan produk Ivermectin di negara ini.

Dua NGO tersebut, Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) itu berkata, larangan itu perlu dibuat segera kerana tiada bukti saintifik produk tersebut mampu menghalang jangkitan Covid-19 terhadap seseorang individu.

“Malah, keberkesanan Ivermectin sebagai produk mencegah jangkitan Covid-19 belum lagi mendapatkan pengiktirafan dalam dunia perubatan antarabangsa.

“Jadi, kami bimbang sekiranya orang awam masih percaya bahawa produk ini adalah ubat bagi mengelak dijangkiti virus berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu Mei lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah meminta orang ramai tidak mengambil Ivermectin sebagai alternatif untuk mengubati dan mencegah daripada dijangkiti Covid-19.

Menurutnya, beberapa pertubuhan kesihatan dunia termasuk Agensi Perubatan Eropah (EMA) tidak memberi pengiktirafan terhadap produk terbabit sebagai salah satu ubat merawat virus Covid-19.

Dalam pada itu, dua persatuan itu mempersoalkan tindakan beberapa ahli politik serta sebuah NGO yang meminta kerajaan mengiktiraf Ivermectin.

Menurutnya, tindakan dua pihak tersebut akan mengelirukan orang ramai memandangkan majoriti pakar perubatan tempatan tidak mengiktiraf penggunaan produk terbabit.

“Kami harap orang ramai tidak menggunakan Ivermectin, sebaliknya mengambil vaksin yang digunakan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) ketika ini.

“Vaksin ini (yang diluluskan kerajaan ini) terbukti berkesan dalam menurunkan kes Covid-19 tahap bahaya mengikut rekod yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here