ABDUL Rahman Mohamad (barisan tengah, tiga dari kanan) bersama keluarganya ketika sambutan Aidiladha, baru-baru ini. - Foto Azlan

BEKAS jaguh perseorangan lelaki badminton yang pernah membantu Malaysia muncul naib juara Piala Thomas 1970, Allahyarham Abdul Rahman Mohamad meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru, semalam.

Allahyarham kembali ke rahmatullah pada usia 75 tahun kira-kira pukul 3.55 petang di Hospital Shah Alam, Selangor selepas dikejarkan ke sana oleh ahli keluarganya pada tengah hari.

Dua tahun lalu, Rahman dilaporkan pernah diserang angin ahmar dan pernah terjatuh secara terduduk sehingga perlu dibedah untuk memasukkan kepingan besi pada tulang pinggulnya.

“Kata doktor, saluran pernafasannya dipenuhi kahak. Abah sudah hilang selera makan selepas Hari Raya Aidiladha, baru-baru ini malah sukar menelan minuman sehingga kesihatannya semakin merosot dan hanya terlantar di katil.

“Allahyarham abah meninggalkan seorang balu, Azian Ramzan, 64, dan empat anak (dua lelaki dan dua perempuan) berusia daripada 31 hingga 48 tahun serta enam cucu,” kata anak bongsunya, Azlan Abdul Rahman kepada BebasNews.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21, Shah Alam sebelum solat Jumaat hari ini.

RAHMAN membuat pukulan smash dalam satu pertandingan dalam era kegemilangannya. – Foto Jabatan Penerangan Malaysia

Azlan berkata, bapanya juga merupakan bekas anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang kemudian menjawat jawatan Pengarah Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Rahman lahir pada 9 Mei 1946 di Pasir Panjang, Perak tetapi kerap dikenali sebagai pemain Kedah kerana bertugas dengan PDRM yang mencipta nama pada Kejohanan Badminton Melayu Malaysia Piala Tunku Abdul Rahman dalam era akhir 60-an hingga 70-an.

“Semasa hayat, abah kerap bercerita mengenai perlawanan akhir Piala Thomas 1970 itu (di Stadium Negara, Kuala Lumpur)

“Kata abah, dia bermain habis-habisan untuk negara. Ada sebatang raket badminton kayu lama berjenama Dunlop yang masih disimpannya dan dipasang dengan bingkas khas bagi mengelak talinya kendur,” kata Azlan.

Rahman turun selaku perseorangan kedua selepas mendiang Datuk Punch Gunalan pada perlawanan akhir edisi kelapan Piala Thomas dengan menentang bintang Indonesia, Rudy Hartono dan Muljadi.

Malaysia tewas 7-2 dalam perebutan trofi kejohanan berpasukan dunia itu tanggal 5 dan 6 Jun 1970 dengan Rahman yang bermain pada perlawanan kedua dan keenam, dikalahkan Rudy 12-15, 2-15 dan Muljadi 5-15, 5-15.

Lain-lain anggota skuad negara yang turut menjinakkan Denmark 5-4 pada separuh akhir ketika itu ialah Tan Aik Huang, Ng Tat Wai, Ng Boon Bee, Tan Aik Mong, Lee Kok Peng, Tan Soon Hooi dan Teh Kew San.

Rahman mula diserapkan ke dalam skuad kebangsaan bagi menyertai Kejohanan Seluruh England di Arena Wembley, London pada 1968.

Turut berada dalam koleksi kejayaannya ialah sebutir pingat gangsa berpasukan lelaki Sukan Asia Bangkok 1970 setelah Malaysia dan Jepun disekat Indonesia dan Thailand dalam separuh akhir.

Anggota lain skuad itu termasuk Gunalan, Kok Peng, Ng Boon Bee (Datuk), Tat Wai dan Soon Hooi.

RAHMAN menganggotai skuad negara pemenang pingat gangsa berpasukan lelaki Sukan Asia Bangkok 1970. – Foto MOM

Di arena Kejohanan Melayu Malaysia dalam era 60-an hingga 70-an, nama Rahman sering sebaris dengan jaguh perseorangan seperti Omar Manaf dan Ya’akob Haron.
“Jasa serta sumbangan Allahyarham dalam arena badminton kebangsaan pasti akan terus dikenang.

“Semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah,” lapor laman Facebook rasmi Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here