Lagu Berakhirlah Pencarianku menggandingkan Hafiz Suip dengan Ernie Zakri.

 

Oleh Khadijah Ibrahim

KUALITI vokal penyanyi Hafiz Suip dan Ernie Zakri tidak perlu dipertikaikan lagi. Kelebihan yang dimiliki mereka berjaya meletakkan Hafiz dan Ernie di kedudukan tersendiri dalam kalangan penyanyi di Malaysia.

Malah, baik Hafiz mahupun Ernie, mereka boleh dikatakan antara penyanyi terbaik negara ketika ini. Hampir semua lagu yang dilancarkan mereka berjaya mendapat tempat di hati pencinta muzik sekali gus meraih pengiktirafan membanggakan.

Secara peribadi, Hafiz mempunyai rekod yang cukup cemerlang sepanjang lebih 10 tahun pembabitannya dalam bidang nyanyian iaitu bermula selepas muncul juara program Akademi Fantasia musim ketujuh (AF 7) pada 2009.

Malah, Hafiz juga adalah pemenang tiga kali Anugerah Juara Lagu (AJL) serta empat kali memenangi anugerah Vokal Terbaik AJL.

Begitu juga dengan Ernie, selepas menjuarai pertandingan Bintang RTM 2009, kerjaya nyanyiannya terus melekat di hati peminat.

Ernie yang turut menjuarai pertandingan nyanyian Duo Star ketika berpasangan dengan Syamel juga adalah pemenang dua kali anugerah Vokal Terbaik pada AJL.

Projek kolaborasi bermula selepas Hafiz dan Ernie bergandingan mengadakan persembahan ABPBH 33, tahun lalu.

Selepas masing-masing mencapai puncak kerjaya, persembahan mereka pada acara Anugerah Bintang Popular BH ke-33 (ABPBH 33) tahun lalu membuka ruang bagi kedua-dua figura terkenal ini meneruskan kerjasama menerusi lagu duet baharu, Berakhirlah Pencarianku.

Gandingan Hafiz dan Ernie menerusi lagu ciptaan komposer Ikhwan Fatanna dan Wan Salleh serta lirik oleh penerbit drama Datuk A.Aida, menjadikan lagu terbitan bersama syarikat Nova Music dan Rocketfuel itu cukup istimewa.

Menariknya, lagu Berakhirlah Pencarianku itu adalah kerjasama pertama antara Nova Music dan Rocketfuel Entertainment. Pertemuan membabitkan Pengarah Urusan Nova Music, Rosmin Hashim dan Head of Rocketfuel Entertainment, Feros Sayna membawa kepada kolaborasi yang disifatkan projek ‘terbaik’.

Ini kerana, pemilihan Hafiz dan Ernie bagi menyanyikan lagu Berakhirlah Pencarianku itu dianggap bertepatan sekali berdasarkan kredibiliti dan kecemerlangan kedua-dua penyanyi tersebut. Nova Music dan Rocketfuel Entertainment, mengharapkan pertaruhan ini bakal mencipta sejarah tersendiri.

Apa lagi bila lagu Berakhirlah Pencarianku ini turut terpilih menjadi lagu tema utama drama rantaian yang bakal ditayangkan di Astro Ria tidak lama lagi.

Kolaborasi pemilik dua vokal terbaik industri muzik Malaysia dalam lagu Berakhirlah Pencarianku juga diibaratkan oleh Hafiz dan Ernie sebagai mimpi menjadi kenyataan.

Hafiz, 31, atau nama sebenarnya Mohd. Hafiz Mohd. Suip berkata, tidak ada sebab untuk beliau menolak tawaran itu.

Lagu Berakhirlah Pencarianku dilancarkan pada 30 Julai 2021.

“Alhamdulillah, bagi saya ini projek yang boleh diibaratkan mimpi menjadi kenyataan kerana dapat berduet dengan Ernie. Sebelum ini, saya pernah menyaksikan persembahan duetnya dengan protege saya. Dalam masa sama dia juga seorang guru vokal.

“Saya tahu dia berbakat besar dan pernah menang vokal terbaik. Apabila kami diberi peluang berduet pada ABPBH tahun lalu, saya berasakan ia kerjasama yang cukup menarik. Dari situ kami berborak dan diakui dia seorang yang senang jalin kerjasama termasuk ketika menyanyi bersama.

“Sama juga dengan pasangan duet saya yang lain sebelum ini. Sejak itu, saya berasa bertuah kerana dapat bekerjasama dengan Ernie. Dengan kelebihan yang dimiliki beliau, siapa yang tak nak berduet dengan dia?” katanya.

Menurut Hafiz, kolaborasi mereka menerusi lagu Berakhirlah Pencarianku memberi peluang kepada mereka berdua untuk berkongsi pengalaman yang ada.

“Apa yang saya lalui selama ini menjadi pengalaman. Mungkin itu juga yang membuatkan orang nampak saya di tahap sekarang. Sebenarnya banyak lagi perkara yang saya perlu belajar, terutamanya dari segi teknik nyanyian, jika mahu dibandingkan dengan Ernie. Macam Ernie dia memang belajar itu. Saya belajar juga, tapi lambat. Jadi, dari segi teknik nyanyian, Ernie masih terbaik bagi saya.

“Kalau dari soal pengalaman, mungkin saya ada sedikit kelebihan sebab saya sudah lebih 10 tahun berkecimpung dalam industri muzik dan pernah menang pelbagai anugerah. Jadi, apa yang saya nak sampaikan di sini ialah masing-masing ada keistimewaan. Saya tak nafikan Ernie ada vokal yang sangat bagus,” katanya.

Sementara itu, Ernie, 29, atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri menyifatkan kerjasama menerusi lagu duet Berakhirlah Pencarianku dengan Hafiz sesuatu yang cukup bermakna dalam kerjaya seninya.

“Sejujurnya saya banyak berfikir juga di peringkat awal untuk melibatkan diri dalam projek ini sebab saya baru lancar lagu duet dengan Syamel iaitu Goodbye Hello yang merupakan lagu perkahwinan kami. Pihak pengurusan pula, nasihatkan saya terima kerana ini adalah peluang keemasan dan rugi kalau saya menolak. Lagi pula, pelaksanaan projek ini adalah demi kebaikan kerjaya saya sendiri.

“Kita perlu tengok juga pada fokus. Kebanyakan orang tak boleh ada dua tiga fokus perkara yang nak dibuat. Jadi kami pun berbincang. Pada kami, tidak akan timbul sebarang isu, asal saja semua tahu komitmen kita apa dan untuk apa.

“Ketika mula diberitahu mengenai projek ini, saya terus terbayang wajah Syamel sebab dari dulu lagi kami saling bekerjasama dalam lagu duet. Tapi mungkin disebabkan saya pernah bekerjasama dengan abang Hafiz pada ABPBH, saya berasakan abang Hafiz juga rakan duet yang baik buat saya. Sebab kerjasama dan kefahaman kami itu dah ada,” katanya.

Tambah Ernie, kerjasama dengan Hafiz ibarat mimpi menjadi kenyataan
kerana semua orang tahu penyanyi itu adalah yang terbaik di Malaysia.

“Jadi apabila dapat tahu nak digandingkan, takkan nak tolak tuah. Dalam masa sama, Abang Hafiz juga penyanyi kegemaran Syamel. Bila Ernie maklumkan mengenai projek lagu ini kepada Syamel, dia cakap saya kena buat dan jangan tolak.

“Bermakna saya mendapat sokongan dan semangat daripada suami dan tak perlu fikir panjang lagi. Apabila suami dan saya saling memahami, baharulah saya boleh fokus dengan senang hati,” katanya.

Single duet Berakhirlah Pencarianku nyanyian Hafiz dan Ernie, terbitan Nova Music dan Rocketfuel Entertainment itu dilancarkan pada Jumaat, 30 Julai 2021.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here