Oleh Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah

KUALA LUMPUR – Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menggesa kerajaan pada hari ini menyerahkan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi menentukan masa depan Malaysia.

“Orang yang berhak membatalkan ordinan tersebut ialah Agong dan dibuat semasa parlimen tidak bersidang.

“Lagi satu, saya rasa bukan setakat itu sahaja, (pembatalan ordinan darurat) bukan sahaja pembohongan yang tak boleh dimaafkan, tetapi juga contempt (penghinaan) yang sudah pun dilakukan oleh pihak kerajaan.

“Saya rasa perbuatan ini sudah tentu menimbul kemurkaan raja kita,” katanya dalam sidang media Facebook miliknya secara langsung malam tadi.

Tambah beliau, dengan kita membuang penghalangan ini, mungkin keadaan ekonomi bertambah baik dan strategi baharu boleh digunakan untuk kita mengakhiri wabak Covid-19 yang mengancam keselamatan rakyat.

“Berapa ribu lagi nak tunggu rakyat meninggal dunia dan sebagainya sebelum satu tindakan efektif boleh dilakukan,” jelasnya.

Menurut Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li , sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan, menyatakan ordinan darurat sudah dibatalkan pada 21 Julai melalui persetujuan kabinet.

“Jika dilihat kenyataan dari Istana Negara, Yang di-Pertuan Agong tidak pernah dipersembahkan Ordinan Darurat bagi mendapat perkenan dibatalkan.

‘’Sekarang Parlimen bersidang, biarlah ahli Parlimen di Dewan Rakyat, di Dewan Negara membincangkan, membahaskannya dan kita akan memutus sama ada patut atau tidak dibatalkan. Bukan kuasa kabinet,” katanya.

Bahkan beliau mengesyorkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menteri-menteri di dalam kerajaan yang ada meletakkan jawatan serta berundur daripada pemerintahan negara.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong sebelum ini menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan dibuat di Parlimen bahawa kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, pembatalan semua Ordinan Darurat belum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here