social media, interaction, woman
Photo by geralt on Pixabay
Oleh Profesor Madya Dr. Mohd Anuar Ramli

PERKEMBANGAN teknologi digital membawa pelbagai kebaikan di samping terselit juga dengan keburukan. Sekaligus perkembangan ini membawa perubahan yang besar dalam kehidupan masyarakat.

Tambahan, apabila teknologi komunikasi berkembang pesat, ia turut menawarkan pelbagai aplikasi media sosial secara percuma dan mencetuskan perubahan dalam lanskap komunikasi antara manusia.

Selari dengan itu, ada golongan yang menggunakan kemudahan ini dengan cara yang positif seperti menghubungkan silaturrahim, bertanya khabar, menyebarkan kebaikan, mengajak manusia kepada perkara makruf dan menjauhi perkara mungkar.

Tidak kurang juga ada pihak yang memanfaatkannya dalam dunia perniagaan.

Sebaliknya, di pihak yang lain pula menggunakannya sebagai medium menebarkan fitnah, menyemarakkan adu domba, menyebarkan keaiban dan berita palsu, menyerang peribadi, membuli, mempersenda dan mengejek fizikal orang lain.

Ibarat sebuah pisau yang tajam, ia boleh dimanfaatkan untuk memotong daging, ikan dan sayuran bagi menyediakan makanan, di samping ia juga boleh digunakan untuk melakukan pelbagai perbuatan jenayah seperti melukakan atau membunuh orang. Jadi, kemajuan teknologi ini sewajarnya dimanfaatkan dengan jalan yang baik.

Pada hari ini, kita digemparkan dengan pelbagai tingkah laku manusia dalam menggunakan teknologi khususnya media sosial digital. Dengan khidmat aplikasi yang percuma, tanpa batasan dan mampu disebarkan dengan pantas, media sosial telah digunakan sebagai kuasa tular yang berkesan.

Penularan ini biasanya digunakan sebagai satu strategi pemasaran sama ada yang baik ataupun buruk. Kebelakangan ini, banyak teknik pemasaran cara buruk telah digunakan untuk meraih perhatian dan publisiti terhadap produk dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada pengguna.

Teknik ini kadangkala membelakangkan panduan Syariah yang telah menggariskan prinsip halal-haram dan mengesampingkan nilai kesantunan Melayu yang tinggi dengan adab dan sopan serta penjagaan maruah diri dan orang lain.

Tegasnya, matlamat yang baik tidak akan menghalalkan cara yang buruk. Sebagai seorang Muslim, kita perlu membudayakan halal dalam kehidupan dan setiap aturan Syarak perlu diambilkira. Perkara yang halal adalah apa yang telah dijelaskan halal oleh Syarak, begitu juga dengan perkara yang diharamkan.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW telah bersabda: Sesungguhnya Allah SWT telah mewajibkan beberapa kewajipan, maka janganlah kamu mensia-siakannya dan Allah SWT telah membataskan beberapa batasan, maka janganlah kamu melanggarnya. Dan Dia mengharamkan pula beberapa perkara, maka janganlah membuatnya, dan Dia berdiam atas beberapa perkara sebagai tanda rahmat-Nya ke atas kamu, bukan kerana terlupa, maka janganlah kamu mengungkitnya. (Riwayat al-Daruqutni, al-Hakim & al-Bayhaqi).

Berdasarkan hadis tersebut, jelas bahawa Allah SWT telah mensyariatkan kewajipan dan juga larangan sebagai panduan manusia. Jadi, janganlah kita lalai dengan kewajipan dan janganlah kita melampaui batas larangan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Pada masa ini, kita dapat melihat pelbagai teknik yang buruk telah digunakan untuk mendapat perhatian dan komentar pengguna media sosial walaupun bersifat negatif, sekaligus menyebabkan ia menjadi tular dan orang ramai mula mengenali peniaga, pengasas dan pengusaha produk dan juga produk yang dipasarkan.

Kebiasaannya, dalam teknik sebegini, kandungan yang dipaparkan adalah berbentuk kontroversi yang boleh memancing emosi orang ramai dalam bentuk negatif dengan tujuan untuk memperkenalkan dan memasarkan sesuatu produk.

Komen dan perkongsian pengguna yang bertali arus terhadap kandungan tersebut telah menyebabkan ia tular dan memberikan promosi percuma terhadap produk. Dengan itu dapat menjimatkan kos promosi.

Di antara teknik yang digunakan adalah menimbulkan pergaduhan antara pihak-pihak tertentu berkaitan produk yang dipasarkan. Dalam teknik ini, para pengguna terpancing emosi untuk turut bersama terlibat walaupun pihak-pihak terlibat hanya berpura-pura bergaduh dan kesannya, produk yang dipasarkan menjadi tular.

Adakalanya, pergaduhan tidak melibatkan produk yang dipasarkan tetapi melibatkan peniaga, pengusaha dan pengasas produk. Dengan publisiti yang diberikan, pengguna media sosial akan membuat pencarian dan menemui produk-produk bagi pengasas berkenaan.

Begitu juga dengan teknik mengaibkan dan menjatuhkan maruah orang lain. Dalam teknik ini, para pengguna turut terpancing dengan tindakan tidak beradab tersebut. Publisiti tersebut berjaya menaikkan nama seseorang peniaga, pengusaha dan pengasas produk dengan kuasa penularan yang berlaku walaupun bersifat negatif.

Selain itu, terdapat juga peniaga, pengusaha dan pengasas yang menggunakan lokasi yang kontroversi untuk meraih perhatian pengguna media sosial. Umpamanya, mereka melancarkan produk di kelab malam dan tempat yang tidak sesuai. Dengan kontroversi tersebut, produk berkenaan mendapat publisiti secara percuma walaupun dengan kecaman dan komentar yang pedas.

Di samping itu juga terdapat peniaga, pengusaha dan pengasas yang menyelitkan produk yang pelik bersama dengan produk yang lain untuk dipasarkan. Umpamanya ada pengusaha yang mencipta pakaian pelik untuk tujuan menimbulkan kontroversi dalam kalangan pengguna media sosial. Dengan penularan produk yang pelik tersebut, pengguna akan menemui produk-produk lain yang dijual oleh peniaga, pengusaha dan pengasas berkenaan.

Lebih parah lagi, ada peniaga, pengusaha dan pengasas produk yang menggunakan teknik lucah seperti pornoaksi, pornografi, tarian berahi, goyangan pinggul, dedah aurat dan anggota badan untuk menarik perhatian pengguna. Dengan tindakan berkenaan, ia akan mencetuskan kontroversi sekaligus memberikan promosi percuma kepada produk walau dalam keadaan yang mengaibkan dan menjatuhkan maruah diri.

Tidak ketinggalan, terdapat juga peniaga, pengusaha dan pengasas produk menggunakan teknik manipulasi agama dengan pemaparan diri yang ingin berhijrah, berubah dan bertaubat.

Apabila telah tular dan orang ramai mula mengenali mereka, mereka kembali kepada kehidupan sebelumnya dan terus mempromosikan produk-produk yang dijual tanpa rasa bersalah dan menyesal.

Dengan teknik-teknik begini, mereka mendapatkan publisiti secara percuma walaupun dalam bentuk negatif seperti makian, komen pedas dan juga teguran.

Kadangkala, mereka sengaja merancang kesilapan-kesilapan kecil untuk ditularkan oleh pengguna media sosial secara percuma. Dengan itu, orang ramai mula mengenali peniaga, pengusaha dan pengasas, dan produk yang mereka jual.

Tidak kurang juga ada pihak yang merasa menjadi mangsa (playing victim) dengan apa yang telah mereka melakukan dan menganggapnya sebagai ujian Allah serta mengharapkan pahala diraih di sebalik kecaman, makian dan rasa marah para pengguna.

Sedangkan mencetuskan kontroversi dengan bertindak melakukan, merakamkan dan menyebarkan kandungan berkenaan kepada pengguna media sosial.

Namun begitu, di sebalik kontroversi yang ditimbulkan hasil teknik pemasaran buruk yang dilakukan, terdapat juga pengguna yang terpesona dan membeli produk berkenaan. Sokongan pengguna terhadap produk yang ditularkkan menyebabkan peniaga, pengusaha dan pengasas ini tidak serik untuk menggunakan teknik yang buruk tetapi jimat kos pemasarannya.

Jelasnya, teknik pemasaran yang buruk ini tidak patuh syariah dan bertentangan dengan kesantunan Melayu walaupun produk yang dijual adalah halal. Penggunaan promosi yang tidak baik untuk mendapatkan keuntungan akan menyebabkan rezki yang diperolehi tidak berkat.

Sedangkan tiap teknik pemasaran yang digunakan sama ada yang baik atau buruk, di dunia fizikal atau digital, hakikatnya Allah SWT tetap wujud, bahkan dalam tiap dunia tersebut ada catatan amalnya.

Dalam hal ini, Rasulullah telah memperingatkan kita tentang peniaga (pengusaha, pengasas produk) yang baik melalui hadis baginda yang diriwayat oleh Rifa’ah berbunyi: Suatu ketika dia keluar bersama Nabi SAW ke tempat sembahyang lalu Baginda ternampak orang ramai sedang berjual beli. Baginda bersabda: Wahai para peniaga! Mereka menyahut penggilan Nabi SAW itu sambil menjenguk ke arah Baginda.

Nabi SAW bersabda: Pada hari kiamat kelak para peniaga akan dibangkitkan sebagai orang-orang yang jahat kecuali orang yang takutkan Allah, berbuat baik dan jujur. (Riwayat al-Tirmizi)

Dalam hadis yang lain Nabi menegaskan kedudukan peniaga yang jujur seperti sabda Baginda SAW: Peniaga yang jujur dan amanah akan bersama-sama dengan para Nabi, orang yang jujur dan para syuhada. (Riwayat al-Tirmizi).

Berdasarkan kedua-dua hadis tersebut, sangat beruntung para peniaga yang jujur dalam jualan dan mereka yang memasarkan produk dengan baik kerana kedudukan mereka di akhirat kelak adalah bersama para Nabi.

Tuntasnya, media sosial merupakan medium yang baik sebagai ladang syurga dan medium yang buruk sebagai ladang neraka. Pilihlah ladang yang bersesuaian dengan kemampuan kita untuk memikulnya di hari akhirat kelak.

Jadilah peniaga, pengusaha dan pengasas produk yang baik dan jujur dalam teknik pemasarannya untuk memperolehi keberkatan hidup. Kepada pengguna media sosial, jadilah pengguna yang bijak dalam menilai permainan (gaming) pihak-pihak di media sosial agar kita tidak terjebak dalam mempromosikan secara percuma perkara yang buruk dan boleh meraih dosa secara percuma dan kepada pengguna produk, berhati-hatilah dalam pemilihan produk dan pilihlah yang halal lagi tayyib.

Justeru betapa indahnya jika kita hidup berpandukan syariat Allah yang mementingkan setiap aspek halal, haram dan syubhat di samping kita hidup berlandaskan kesantunan Melayu yang menjunjung tinggi adab sopan, budi bahasa dan pekerti, dan nilai maruah serta kemuliaan diri. – BebasNews

Mohd Anuar Ramli

Profesor Madya Dr. Mohd Anuar Ramli berkhidmat dengan Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Emel: mohdanuar@um.edu.my

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here