Oleh Ruhanie Ahmad

SETELAH kepimpinan negara cuba diadu-dombakan, dan institusi negara cuba dikucar-kacirkan, kini muncul dakyah kononnya Malaysia di ambang krisis Perlembagaan.

Ini dilakukan ketika kerajaan dan kita semua sedang berperang dengan pandemik Covid-19 yang angka jangkitannya kian besar dan kadar kematiannya semakin meningkat.

Dakyah ini diperhebat ketika varian baharu Covid-19 yang amat mencemaskan umat dunia sedang muncul tanpa simptom, dan serangannya membawa maut dengan sekelip mata.

Fenomena dakyah ini amat luar biasa, sangat terancang dan cukup terselaras. Mustahil dilaksanakan bertubi-tubi jika tiada dalang yang licik manteranya, dan kalau tiada dana melimpah ruah jumlahnya.

Kebangkitan fenomena ini sukar dilihat dengan mata kasar. Ia mesti diteliti dengan mata hati. Ia perlukan pemikiran di luar kotak untuk memahami bahayanya.

NIAT POKOK GERAKAN INI CUMA SATU – BAHAWASANYA KUASA POLITIK MALAYSIA YANG KINI DALAM GENGGAMAN PERIBUMI-MUSLIM MESTI DIHAPUSKAN DENGAN SEGERA.

Kuasa politik Peribumi-Muslim ini mesti dihapuskan kerana ia telah mematahkan gerakan politik yang mahu meminggirkan Peribumi sebagai bangsa teras di Malaysia.

Kuasa politik Peribumi-Muslim ini mesti dihapuskan kerana ia telah mematahkan gerakan politik yang mahu meminggirkan Islam sebagai agama Persekutuan.

Kuasa politik Peribumi-Muslim ini mesti dihapuskan kerana ia telah mematahkan gerakan politik yang mahu mempeleceh martabat Raja-Raja Melayu sebagai payung agama, bangsa dan tanah air.

Ringkasnya, matlamat gerakan ini serupa dengan matlamat Malayan Union penjajah Inggeris pada tahun 1946 yang cuba merendahkan martabat Islam, Peribumi dan Raja-Raja Melayu.

Bezanya, Malayan Union adalah ciptaan Inggeris. Tetapi, gerakan yang sedang mengancam Malaysia hari ini adalah gerakan penjajahan baru (neoimperialism).

Lebih tepat lagi, gerakan yang sedang mengancam kuasa politik Peribumi-Muslim ketika ini adalah gerakan penjajahan baru yang dilaksanakan oleh kelompok dalaman, tetapi dengan dukungan pihak ketiga.

Tanda-tanda dan dalil-dalil mengenainya sudah kita saksikan sejak tahun 2018. Kita dapat memahaminya jika kita imbas kembali apa yang telah berlaku mulai Mei tahun 2018 hingga Februari 2020, bila Bersatu mengambil keputusan keluar daripada kerajaan ketika itu.

Telusuri semula kenapa Bersatu keluar daripada kerajaan ketika itu. Bukankah kerana ketika itu Perdana Menteri dari Bersatu disifatkan sebagai Perdana Menteri interim atau Perdana Menteri sementara?

Imbas semula artikel tulisan seorang pemimpin Selangor dengan judul “Mahathir: the paper tiger” atau “Mahathir: harimau kertas” yang tersiar dalam Malaysiakini (22 Oktober 2019).

Adakah kita sedar bahawa dalam artikel ini, Tun Dr Mahathir Mohamad, Pengerusi Bersatu, dipersendakan dengan gelaran “Perdana Menteri Interim”?

Bukankah ini bermakna bahawa Perdana Menteri sebenar yang mereka mahukan pada ketika itu bukannya Dr Mahathir, tetapi seorang individu lain?

Ingatkah kita, bahawa dalam artikel ini juga, Bersatu telah dengan bongkaknya, diberi kata dua oleh individu yang sama, supaya keluar daripada kerajaan?

Ingatkah kita semua, bahawa dalam artikel ini dinyatakan bahawa Bersatu perlu keluar daripada kerajaan kerana Dr Mahathir dituduh bertindak di luar norma, nilai dan aspirasi lain-lain parti yang di dalam kerajaan?

Tahukah kita, artikel tersebut sebenarnya ditulis oleh pihak lain yang lempar batu sembunyi tangan supaya tulisannya kelihatan biasa-biasa sahaja? Baca huraian mengenainya dalam tulisan Raja Petra Kamaruddin (Malaysia-Today, 26 Oktober 2019).

Pernahkah kita tepuk dada dan tanya diri kita sendiri, kenapakah di zaman kerajaan itu juga ada sekumpulan bekas ahli Parti Komunis Malaya (PKM) membawa debu-debu Chin Peng ketua PKM, daripada Thailand masuk ke Malaysia, untuk ditabur-taburkan di sekitar kawasan Lumut Perak dan di Banjaran Titiwangsa?

Pernah kita tanya diri kita, kenapakah kejadian seperti ini berlaku, apa niatnya, dan siapa dalangnya?

Pernahkah kita imbas semula kenapa di era kerajaan tersebut juga, ada majlis meraikan sekumpulan bekas ahli PKM di sebuah kolej swasta di Selangor? Kenapa ini berlaku dan siapa dalangnya?

Adakah kita masih ingat, di era kerajaan itu juga, seorang menteri parti tertentu telah menuduh bahawa bangsa Melayu adalah bangsa pendatang?

Insafkah kita semua, walaupun menteri itu menarik balik kenyataannya dan meminta maaf kepada bangsa Melayu, tetapi kenyataan yang sama nadanya pernah disuarakan oleh seorang pengasas politik Malaysian Malaysia pada tahun 1965?

Kenyataan ini terkandung dalam beberapa akhbar tempatan pada 5 Mei 1965, ulasannya terkandung dalam majalah Dewan Masyarakat (15 Mei 1965), dan perinciannya terkandung dalam kajian Abdul Halim Ramli dan Mohammad Redzuan Othman (2012).

Seterusnya, adakah kita sedar bahawa seorang tokoh parti tertentu telah berulang-kali mengeluarkan retorika kononnya dasar sosioekonomi Peribumi yang digubal oleh Tun Razak Hussein pada tahun 1971, dan dasar ekonomi nasional yang diketengahkan oleh Dr Mahathir pada tahun 90-han, disifatkan basi dan mesti digantikan dengan dasar sama rata untuk semua bangsa?

Sedarkah kita semua bahawa dasar Visi Kemakmuran Bersama atau Shared Prosperity Vision (SPV) yang diketengahkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Azmin Ali diserang dan dikecam sebagai dasar rasis?

Lupakah kita semua, seorang tokoh kerajaan itu juga pernah berkata bahawa sokongan Peribumi-Muslim perlu diperkukuhkan, jika tidak kerajaan itu akan gagal, Malaysia Baharu akan gagal dan mereka terpaksa kembali ke zaman pembangkang? Rujuk kenyataan ini dalam Malaysiakini (15 Disember 2018) dan Palansamy (15 Disember 2018).

Anehnya, sementara sokongan Peribumi-Muslim amat diperlukan, kenapakah beberapa pembesar parti politik ini menyula dan melukakan hati, jiwa dan nurani kita semua menerusi kenyataan dan tindakan yang jelas anti Peribumi dan Muslim?

Adakah kita sedar bahawa Kongres Maruah Melayu pada Oktober 2019 di Shah Alam, Selangor, pernah diperlekehkan oleh seorang individu Melayu dalam parti tertentu, kononnya sebagai “Kongres Baruah Melayu”?

Kenapakah kongres ini digeruni dan dicap sebagai rasis? Kenapakah kongres ini mendorong seorang mahasiswa bersikap biadap sehingga membawa placard penentangan terhadapnya ke pentas konvokesyen di Universiti Malaya? Siapakah di sebalik kebiadaban ini?

Lantas, bukankah seluruh sebab-musabab di atas yang mendorong Bersatu keluar daripada kerajaan tersebut untuk menyelamatkan Peribumi dan Islam daripada ancaman gerakan politik yang saki-bakinya kini sedang gila talak secara berleluasa?

Rujuk kenyataan Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam youtube (29 Mei 2020) mengenai hal ini dan baca kajian Datuk Wan Saiful Wan Jan (2020) terbitan Yusof Ishak Institute, Singapura, jilid 10, untuk mendapatkan huraian terperinci mengenainya.

Rumusannya, Peribumi-Muslim cuba dihuru-harakan, dan institusi negara cuba dikucar-kacirkan, bukan kerana Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah gagal memerangi pandemik Covid-19.

Sebaliknya, untuk memutarbelitkan kebenaran supaya Kerajaan PN kelihatan gagal dan dibenci rakyat, dan supaya puak penjajah baru ini dilihat sebagai juara rakyat.

Ini bukan rumusan rasis atau ekstremis. Ini kesimpulan dari kajian dengan mata hati dan menerusi pemikiran di luar kotak. Fikir-fikirkanlah!

-BebasNews

Please follow and like us:

1 COMMENT

  1. This will happen as long as UMNO is around.
    We have tried this model for 64 years. You Annuar Zaini have made your fortune under this model. What about the rest?
    I think its time to change, dont you think?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here