KUALA LUMPUR – Negara terhutang budi kepada para pahlawan yang telah berkorban nyawa dan air mata demi sebuah Malaysia yang berdaulat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keamanan yang tercipta hari ini adalah kerana perjuangan para pahlawan dahulu hingga kini.

“Ramai pahlawan kita yang telah terkorban, malah ada yang kehilangan anggota tubuh badan dalam perjuangan mereka yang panjang terutama ketika menentang komunis.

“Bukan peluru yang menjadi senjata utama, tubuh badan pahlawan yang berbekalkan semangat yang amat besar serta jiwa mereka yang ikhlas dan berani semata-mata untuk mendapatkan keamanan tanah air,” ujar beliau.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian pada ucapan sempena Hari Pahlawan menerusi video berdurasi 1 minit 40 saat di Facebook hari ini.

Ismail Sabri berkata, mereka berjuang tanpa rasa takut dan tidak ada satu titik pun untuk menyerah kalah.

“Perjuangan para pahlawan kita sama ada pada era sebelum merdeka, mahupun pasca merdeka terus menjadi titik tolak lembaran sejarah negara yang kita sayang ini,” katanya.

Beliau menambah, setiap tahun pada 31 Julai, Malaysia akan meraikan perajurit negara dengan sambutan Hari Pahlawan.

Katanya, sambutan itu bertujuan bagi memperingati jasa perajurit yang gugur dalam mempertahankan keamanan dan kedaulatan tanah air.

“Terima kasih pahlawanku. Selamat Hari Pahlawan. Demi perwiraku,” katanya.

https://www.facebook.com/ismailsabri60/videos/358088109101133

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here