Oleh Fetty Rara

KEBIMBANGAN penularan Covid-19 di Parlimen tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk menangguhkan mesyuarat khas pada Isnin (2 Ogos), kata Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

PH memberi amaran kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya jangan menyalahgunakan kementerian dan agensi kerajaan, termasuk Kementerian Kesihatan bagi tujuan menutup pintu Parlimen.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu (31 Julai) majlis tersebut berkata tidak terdapat jumlah kes Covid-19 yang signifikan minggu lalu memandangkan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah melaporkan bahawa kadar positiviti di parlimen hanya 0.9 peratus.

Laporan tersebut menyatakan bahawa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menetapkan bagi ujian mencukupi pada kadar positiviti 5 peratus.

Menurut PH, oleh yang demikian isu penularan Covid-19 tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk menangguhkan sidang parlimen yang dijadualkan pada Isnin.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu dan setiausaha-agung DAP Lim Guan Eng.

Pada Khamis lalu (29 Julai) Dr Noor Hisham telah mengesahkan bahawa 11 lagi kes Covid-19 dikesan di Parlimen, justeru meningkatkan bilangan daripada 56 kes yang dikesan melalui saringan sebelum hari pertama mesyuarat khas Parlimen pada 26 Julai.

Majlis itu berkata adalah wajib bagi Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mendengar suara rakyat yang mahukan pandangan Yang di-Pertuan Agong dipatuhi supaya Ordinan darurat dibahaskan di parlimen pada Isnin.

-Bebasnews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here