Ustaz Muhammad Raihan Ibrahim Muniandy (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Mohd.Nasir Zakaria di rumahnya di Kampung Rantau Panjang Klang, Selangor.

KLANG – Seorang pesakit angin ahmar merayu sumbangan dana untuk menampung kos rawatan kedua-dua matanya yang kini semakin kabur selepas diserang penyakit angin ahmar pada bulan Mei tahun lepas.

Menurut bekas kontraktor kecil, Mohd.Nasir Zakaria,50, dia kini hanya mampu duduk atau terbaring lesu di atas katil di rumahnya di Kampung Rantau Panjang di sini.

“Serangan sawan dan angin ahmar yang berlaku semasa negara di bawah Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) bagi mengekang pandemik Covid-19 tersebut, menyebabkan saya kini tidak lagi mampu bekerja seperti dahulu.

“Buah pinggang saya juga kini berada pada tahap tiga sebelum perlu rawatan lanjut. Ini yang lebih membimbangkan hati saya,”katanya ketika katanya ketika disantuni Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kapar di rumahnya di Kampung Rantau Panjang hari ini.

Mohd.Nasir berkata, buat masa ini dia ingin merayu bantuan rawatan mata yang semakin kabur akibat glaukoma.

Katanya lagi, kos tersebut difahamkan sekitar RM3,000 hingga RM15,000 untuk rawatan segera secara suntikan di hospital.

“Selepas perniagaan kontraktor saya merosot tahun lalu, sebelum PKP 1.0 saya dan isteri, Sarbi Shafie,46, berniaga Chicken Chop Bajet di tepi jalan. Sebulan boleh dapat RM1,000 tetapi sejak saya sakit perniagaan tersebut tidak dapat diteruskan hingga ke hari ini,”katanya.

Mohd.Nasir yang sudah 15 tahun menghidap kencing manis, mempunyai seorang anak lelaki yang sudah berkeluarga dan dua orang anak yang masih belum bekerja berusia 16 dan 21 tahun.

Ujarnya lagi, harapannya hanya satu, jika kedua matanya telah pulih dia berharap boleh bekerja seperti sebelum diserang angin ahmar.

Orang ramai yang ingin membantu Mohd.Nasir boleh memberikan sumbangan ke akaun CIMB Bank 7613 4355 31 atas nama beliau.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here