Luqman Faiz bukan setakat menyanyi, beliau juga boleh mencipta lagu dan menulis lirik.

 

Oleh Khadijah Ibrahim

SETIAP kali tampil dengan single baharu, semua penyanyi mengharapkan lagu yang dipersembahkan itu lebih baik daripada yang terdahulu. Namun, semua itu bergantung kepada rezeki.

Bagi penyanyi Luqman Abdul Halim Faiz atau Luqman Faiz, 21, walaupun single ketiganya, Boneka Cinta belum berjaya meraih tontonan lebih 31 juta seperti mana lagu Kepuraanmu, beliau tetap berpuas hati.

Boneka Cinta yang dimuat naik di saluran YouTube Aries Music sejak 22 Mac 2021 adalah ciptaan Luqman bersama Rinkarnaen, sementara lirik pula merupakan karya penyanyi itu dengan Zack Merican.

“Boneka Cinta sudah empat bulan dimuat naik. Walaupun slow kalau nak dibandingkan dengan single Kepuraanmu sebelum ini, saya rasa semua artis melalui perkara yang sama bila keluar lagu baharu.

“Nak saing dengan lagu sebelum ini rasa pressure juga tapi bagi saya ia satu pencapaian juga. Alhamdulillah, saya bersyukur dan bangga dengan sokongan peminat,” katanya.

Bercerita lanjut tentang Boneka Cinta, terus terang Luqman memberitahu bahawa lagu tersebut bukan kisah cintanya tetapi ia adalah perjalanan cerita duka kawan sekolej.

Boneka Cinta dicipta bagi memenuhi tuntutan projek pengajian.

Luqman yang masih mengikuti pengajian Diploma in Music (Voice) di UiTM, Shah Alam berkata, beliau mencipta lagu itu khas untuk sahabatnya yang berasal dari Perak untuk satu projek pengajian.

“Sebenarnya saya nak buat assignment yang perlu mencipta lagu dan saya ambil peluang itu untuk tonjol bakat. Saya buat lagu ini dalam masa satu jam saja. Saya memang betul-betul fokus, duduk main gitar dan cari lirik berdasarkan cerita kawan saya.

“Saya tulis lagu ini memang khas untuk kawan yang putus cinta. Kawan saya ni satu universiti dan rumah sewa dengan saya. Satu hari tu, kita sedang buat assignment, tiba-tiba dia hilang. Saya cari dia dan tengok dia sedang bersedih. Dia tunjuk telefon pada saya dan bagi tahu, girlfriendnya dah nak kahwin. Disebabkan ceritanya itulah saya berjaya siapkan tugasan,” jelasnya.

Walaupun Boneka Cinta merupakan ciptaan Luqman, namun ada juga yang berpendapat lagu tersebut ada sedikit ‘persamaan’ dengan lagu Haqiem Rusli.

Tidak mudah melatah dengan komen peminat, Luqman menjelaskan, beliau memang berkawan dengan Haqiem dan jika ada yang mendengar lagu mereka ada sedikit persamaan, mungkin kerana music arranger adalah orang yang sama iaitu Bajai.

“Saya tak perasaan, part mana tu? Saya memang berkawan dengan Haqiem, kalau ada yang komen kata ada persamaan, mungkin sebab music arranger kami adalah orang yang sama iaitu Bajai.

“Saya pun baru explore penciptaan dan penulisan lagu ini sebab belajar. Saya pun banyak bertanya kepada Haqiem. Mungkin bila kita bergaul dengan circle yang sama, daripada situ cara penulisan tersama dan buat orang cakap lagu ini ada aura Haqiem,” jelasnya.

Luqman yang sinonim dengan genre balada itu memberitahu, pihak pengurusan dan label sedang berusaha mengetengahkan Boneka Cinta untuk dijadikan runut bunyi atau original soundtrack (OST) drama tempatan.

Luqman puas hati apabila pendengar meminati lagu ciptaannya.

Tambahnya, setakat ini ada sebuah produksi yang menggunakan Boneka Cinta sebagai lagu latar drama terbitan syarikat tersebut.
Selepas Boneka Cinta, Luqman bakal tampil dengan sebuah lagu baharu malah video muzik untuk lagu tersebut juga telah siap menjalani penggambaran.

“Saya dah ada tiga lagu, on standby dan satu lagu dah buat video muzik pun. Tak tahu nak release lagu mana dulu. Sebab nak release lagu kita kena base on apa yang sedang trending. Buat masa ini kita fokus kepada identiti saya dulu iaitu lagu balada.

“Antara tiga lagu tersebut ada lagu yang saya bekerjasama dengan Sirkhan. Tengok masa yang sesuai untuk keluarkan single baharu dan lagu ini tidak berentak sedih lagi,” jelasnya.

Sebagai penulis dan pencipta lagu, Luqman berasa puas apabila karya ciptaannya didengari dan mendapat maklum balas daripada pendengar. Baginya tugas seorang komposer adalah untuk menyampaikan mesej yang terdapat di dalam lagu tersebut.

Luqman yang meminati penyanyi Judika dan Alif Satar itu berharap suatu hari beliau mampu mengikut jejak langkah Alif yang versatil sebagai penyanyi, pelakon dan pengacara itu.

Beliau yang menyimpan impian untuk berduet dengan Sarah Suhairi dan Haqiem Rusli itu juga tidak teragak untuk berkongsi karyanya dengan penyanyi lain jika ada yang berminat.

Sebagai komposer dan sering menggunakan gitar sewaktu mencipta lagu itu, turut mendapat tawaran berlakon sejak membabitkan diri dalam bidang seni.

Namun kata Luqman, kebanyakan tawaran yang diterima tidak bersesuaian dengan jadual pengajiannya.

“Masa saya sedang study diploma ini banyak dapat tawaran berlakon, lebih daripada tiga dan ada filem juga. Saya terpaksa tolak sebab tawaran itu datang pada waktu yang tak sesuai, saya sedang final exam. Perlu komitmen 12 hari di set filem.

“Memang banyak tawaran berlakon tapi belum ada rezeki lagi, insya-Allah lepas habis study ini saya akan fokus dalam industri, saya tak akan sambung  untuk buat degree (ijazah) kerana nak kukuhkan kedudukan dalam bidang seni dulu,” katanya terus terang.

Lagu Boneka Cinta boleh distrim di semua pelantar muzik digital termasuk Apple Music & iTunes, Spotify, Joox, KKBox, Deezer dan YouTube Aries Music.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here