Ramayan kini dianggotai oleh Pi'e, Que dan Omar.

 

Oleh Khadijah Ibrahim

BILA sebut nama Ramayan, mungkin ada di antara peminat muzik tanah air kurang mengenali kumpulan yang dianggotai oleh Pie, Que dan Omar itu.

Meskipun nama Ramayan belum gah di persada seni negara, namun anggotanya terdiri daripada mereka yang genius dalam bidang muzik.
Ramayan sering tampil unik berbanding kumpulan muzik sedia ada bagi memastikan karya ciptaan mereka memberi makna tersendiri untuk tatapan peminat dan pendengar.

Kumpulan itu mengetengahkan karya mereka menerusi album sulung, Di Persiaran Cakrawala sejak 22 Januari lalu. Perjuangan Ramayan belum berhenti di situ kerana dek Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mereka perlu berusaha mempromosi lagu Puas yang merupakan single kedua selepas Lamunan Anak Bulan yang dilancarkan pada 1 Mei 2020.

Puas adalah lagu yang ditulis oleh bekas anggota Ramayan iaitu Naz, pemain keyboard dan Amin, gitaris yang asalnya ditulis untuk projek sampingan mereka.

Menurut vokalis dan gitaris kedua Ramayan, Pi’e, kali pertama beliau mendengar lagu itu dimainkan oleh Naz di atas piano, hatinya terus tertarik dengan pilihan kord yang digunakan.

“Saya berjaya mendapatkan susunan kordnya daripada mereka dan apabila saya cuba meletakkan melodi nyanyian di atasnya, ia datang dengan begitu sahaja.

“Seolah-olah saya telah diberi ilham. Bukan sahaja melodi malah liriknya juga. Proses yang selalunya mengambil masa sehari untuk disiapkan selesai dalam masa beberapa jam sahaja,” jelas Pi’e.

Tambahnya, sewaktu menulis lagu tersebut, kehidupannya ketika itu berada dalam situasi gelap kerana mementingkan diri sendiri.

“Dahulu saya percaya bahawa di mana sahaja ada cinta di situ ada Tuhan. Dan kepercayaan itu dirasai paling kuat apabila saya terjatuh cinta dengan seorang gadis. Malangnya, gadis itu telah dipunyai orang lain, sahabat akrab saya.

“Namun saya tetap berkeras dengan cinta itu, sehinggalah menyebabkan mereka berdua putus cinta. Saya merasa sangat menyesal dengan tingkah laku saya yang tidak mempunyai batas, maka tertulislah lagu ini, sebuah lagu penyesalan,” cerita Pi’e tentang makna dan sejarah di sebalik lagu Puas.

Ramayan mahu ketengahkan irama yang berbeza daripada pemuzik lain.

Puas merupakan satu percubaan oleh Ramayan untuk memberi nafas baharu kepada muzik rock Malaysia, terutamanya genre ‘rock jiwang’ yang sedang bertakhta di kalangan pendengar-pendengar massa.

Ramayan berpendapat bahawa bunyi rock yang dibawa oleh kebanyakan artis hari ini kurang kualiti dan nilai kepuasannya dari segi kreativiti dan mesej yang disampaikan dalam lirik-liriknya.

Kata pemain dram Ramayan, Que, kebanyakan penulis sekarang hanya mengambil berat tentang apa yang catchy dan easy-listening sahaja. Hasilnya, lirik yang ditulis tidak memerlukan daya pemikiran dan falsafah.

“Kami pun tulis tentang cinta juga, tapi cara kami tulis tentang cinta itu berbeza. Kami cuba melihat daripada sudut yang berbeza dan lebih mendalam. Dan ini yang membuat lagu Puas unik pada pendapat saya.

“Daripada segi instrumentasi dan muziknya pula Ramayan mengambil inspirasi daripada irama lagu-lagu balada 80-an dan 90-an seperti karya-karya Datuk Sudirman, Carefree, Kenny Remy Martin, Aman Shah dan yang serupa dengannya,” jelasnya.

Tambah Que, muzik seperti ini tidak asing lagi pada telinga rakyat Malaysia, irama dan melodinya yang tersendiri telah menjadi sebati dengan jiwa mereka.

Sementara itu, pemain bes, Omar pula berkata, bagi mendapatkan kedudukan yang sama di dalam jiwa orang ramai, Ramayan menggunakan unsur-unsur yang ada di dalam karya zaman itu untuk membangkitkan nostalgia, dan menggabungkannya dengan gaya kami sendiri.

“Sudah lama Ramayan menaruh harapan agar lagu-lagu kami akan dibawa ke dalam dunia perfileman, sama ada digunakan sebagai lagu tema sebuah drama bersiri atau runut bunyi kepada sebuah filem dan sebagainya.

“Ramayan percaya bahawa lagu Puas terutamanya sesuai kerana mood lagunya yang penuh dinamik dan emosi, seolah-olah lagu itu sendiri menceritakan sebuah kisah drama. Terdapat juga beberapa lagu Ramayan sebelum ini yang telah diambil untuk menjadi sebahagian daripada soundtrack dokumentari dan drama televisyen,” kata Omar bangga.

Puas dilancarkan secara digital di bawah Luncai Emas pada April lalu di semua platform streaming termasuk Spotify, Joox, iTunes dan Deezer dan sebagai audio rasmi di YouTube.

Seiring dengan pelancaran lagu tersebut, sebuah video persembahan live terbitan Luncai Emas dan Bsync Production yang telah dirakam di Bsync Studios pada bulan Disember 2020, turut dilancarkan di YouTube.

Puas merupakan single kedua Ramayan yang dipetik daripada album sulung mereka, Di Persiaran Cakrawala.

Ramayan telah membuat pelbagai rancangan untuk tahun ini berikutan dengan pelancaran album mereka, majlis pelancaran album, tour persembahan seluruh Malaysia, muzik video dan lain-lain.

Namun disebabkan pandemik Covid-19, segala rancangan yang telah dibuat sehingga kini terpaksa ditunda. Walaupun begitu, mereka bersikap optimistik dan sentiasa mencari cara untuk menggunakan kemudahan internet dengan sepenuhnya.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here