KUALA LUMPUR – Lebih 90 peratus peneroka telah menandatangani perjanjian penambahbaikan pelaksanaan inisiatif pelupusan sebahagian besar pinjaman melibatkan 64 buah tanah rancangan Felda di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, jumlah tersebut melibat 73,817 peneroka dalam usaha mengembalikan Felda ke landasan asal sekali gus menjadikan agensi itu lebih hebat.

Katanya, bagi memberikan pemahaman lebih jelas kepada peneroka, adendum (tambahan) kepada perjanjian pelarasan pinjaman peneroka akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat.

“Saya bersama pengerusi dan pengurusan Felda bercadang mengadakan sesi libat urus bersama dengan NGO (badan bukan kerajaan) serta pemegang taruh Felda pada 9 Ogos ini bagi berkongsi perkembangan terkini program pelupusan hutang peneroka.

“Isu berkaitan pinjaman peneroka telah berlarutan sejak 20 tahun lalu yang mana saya difahamkan peneroka Felda tidak pernah mendapat penyata pinjaman mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika merasmikan sambutan Hari Peneroka Kebangsaan pada 7 Julai lalu mengumumkan pelupusan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion.

Mustapa memberitahu, matlamat utama inisiatif itu adalah untuk menarik peneroka untuk bersama Felda melalui sistem pengurusan ladang lestari yang akan diurus mengikut amalan pertanian baik (GAP) dan pertanian mampan mengikut piawaian Malaysia dan Antarabangsa.

Justeru katanya, tawaran pelarasan pinjaman tersebut adalah berdasarkan syarat peneroka perlu menghantar hasil atau menyerahkan pengurusan kebun kepada Felda.
“Salah satu fokus utama Felda ialah mengoptimumkan produktiviti ladang untuk lestari dan mandiri.

“Peneroka yang ingin menguruskan kebun sendiri juga disyaratkan menghantar hasil kebun kepada Felda,” katanya.

Bagaimanapun Mustapa berkata, berdasarkan libat urus dan turun padang, Felda mendapat maklum balas dan cadangan beberapa penambahbaikan bagi memastikan semua peneroka mendapat manfaat pelaksanaan inisiatif berkenaan.

Katanya, dua isu utama yang dibangkitkan oleh peneroka berkaitan tawaran pelarasan pinjaman peneroka adalah jumlah pelarasan pinjaman yang dianggap tidak adil dan peneroka kurang faham dengan beberapa terma dalam dokumen perjanjian.
“Kerajaan melalui Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dan Felda mendengar cadangan-cadangan ini,” katanya.

Felda telah bersetuju menambah baik pelaksanaan inisiatif pelarasan pinjaman peneroka seperti berikut:

(i) peneroka yang tidak mempunyai pinjaman dengan Felda akan menikmati insentif tanggungan kos tanam semula dengan kadar yang akan ditentukan kemudian;

(ii) penghapusan penuh kepada peneroka Bersama Felda yang mempunyai baki hutang di bawah RM5,000 yang juga akan menikmati insentif tanggungan kos tanam semula dengan kadar yang akan ditentukan kemudian; dan

(iii) peneroka bersama Felda yang mempunyai baki pinjaman RM5,001 hingga RM50,000 akan menikmati had bayaran kembali (BK) bulanan pinjaman lebih rendah.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here