Ayob Khan (kiri) melihat pelbagai jenis arak tiruan yang dirampas dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Skudai selepas sidang media di IPK Johor.

JOHOR BAHRU – Berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), banyak pihak yang menjalankan perniagaan mereka dari rumah.

Modus operandi sama digunakan oleh sekumpulan lelaki yang menjadikan sebuah rumah dua tingkat di Taman Ungku Aminah, Skudai untuk menjalankan kegiatan haram mereka, iaitu memproses arak tiruan.

Namun, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua!

Semalam, rumah tersebut diserbu oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Utara.

Dalam serbuan pukul 8.10 pagi itu, dua lelaki warga tempatan berusia 27 dan 41 tahun yang terlibat secara langsung dalam aktiviti penyeludupan minuman keras dipercayai arak tiruan dan tidak bercukai berjaya diberkas.

“Turut ditahan empat lelaki warganegara asing berusia antara 29 hingga 37 tahun yang dipercayai bekerja dalam premis tersebut, manakala ‘mastermind’ (jenayah itu) belum ditangkap,” katanya dalam sidang media di Ibu pejabat Polis Kontinjen Johor (IPK), di sini hari ini.

Antara barangan yang dirampas termasuk 20 tong biru cecair pati arak, 16 kotak jenama Mcdowells 142.08 liter (40 peratus), lapan kotak jenama Chivas Regal 96 liter (40 peratus), 30 kotak jenama King Robert 390 liter (43 peratus), 12 kotak jenama Johnnie Walker Red Label 144 liter (40 peratus) dan lima kotak jenama Johnnie Walker Black Label 60 liter (40 peratus).

Ayob Khan berkata, arak berkenaan bernilai RM2.143 juta, manakala cukai RM870,462 dan nilai keseluruhan rampasan RM3.149 juta.

Menurutnya, kumpulan itu bukan sahaja menjadikan rumah tersebut sebagai tempat memproses arak berkenaan, malah dijadikan stor penyimpanan sebelum minuman keras itu diedarkan untuk pasaran tempatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 75 Akta Eksais 1976, iaitu kesalahan membuat, memproses arak dan memiliki peralatan membuat minuman keras.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here