KURT Angle dalam pusingan akhir gusti Sukan Olimpik Atlanta 1996. - Foto B/R Wrestling

RAMAI orang kerap bertanya, “gusti profesional ini penipu!”, “mereka ini berlakon sahaja, bukan?” dan tidak kurang yang mencanangkan, “yang menang dan kalah, semuanya sudah diatur berskrip!”

Namun tahukah anda, terdapat juga segelintir penggusti pernah yang terbabit dalam sukan yang dianggap benar-benar tulen sebelum menceburi gelanggang sukan hiburan World Wrestling Federation/Entertainment (WWE) ini.

Ketika Sukan Olimpik Tokyo 2020 (2021) bakal melabuhkan tirai pada Ahad ini, masih belum terlambat untuk para peminat mengenali kalangan atlet sukan sejati yang berhijrah ke alam sukan hiburan yang lebih glamor dan hampir setanding layar perak Hollywood ini.

KURT ANGLE

Kurt Angle merupakan satu-satunya bekas pemenang pingat emas Sukan Olimpik yang kemudian bergelar pula juara dunia WWF/WWE sebanyak empat kali selain sekali bagi kejuaraan World Championship Wrestling (WCW).

Angle menewaskan penggusti Iran, Abbas Jadidi 3-1 menerusi kiraan mata teknikal setelah terikat 1-1 dalam pusingan akhir acara 100 kilogram gaya bebas gusti Sukan Olimpik Atlanta 1996 di Pusat Kongres Dunia, Atlanta, Georgia, Amerika Syarikat.

Terdahulu ahli gusti Amerika Syarikat yang pada awal karier WWF/WWE kerap diejek, “kau teruk!” ini, berjaya mengatasi lawan-lawan dari Mongolia, Cuba, Ukraine dan Kyrgyzstan dalam pusingan pertama hingga separuh akhir.

Angle yang juga terkenal dengan penangan penyudah kunci buku lali, dikatakan beraksi dengan leher yang tercedera ketika memenangi pusingan akhir gusti Olimpik itu.

RONDA Rousey bekas juara wanita WWE yang juga pemenang pingat gangsa judo Olimpik Beijing 2008. – Foto bjee.com

RONDA ROUSEY

Penggusti wanita ini bukan sahaja telah mencipta nama di WWE bahkan di arena seni tempur adunan (MMA) di bawah promosi Kejuaraan Tempur Terulung (UFC). Mula menyertai WWE pada 2018 dan kemudian bertarung tiga penjuru dengan ‘The Man’ Becky Lynch dan Charlotte Flair (anak legenda Ric Flair) dalam WrestleMania 35, setahun kemudian.

Rousey, peminat setia seorang lagi legenda WWF – mendiang Rowdy Roddy Piper, beraksi dalam judo pada dua temasya Olimpik. Yang pertama di Athens 2004 ketika berusia 17 tahun yang berkesudahan dengan kecundang pusingan pertama namun Beijing 2008 menyaksikan pelakon filem ‘The Expendables 3’ dan Furious 7’ ini meraih pingat gangsa kategori 70 kilogram.

Terdahulu bekas juara wanita WWE ini hampir kempunan podium Olimpik kerana kalah dalam pusingan suku akhir dan sekiranya tidak memenangi pusingan repechage dengan tiga kemenangan sekali gus bergelar wanita Amerika pertama memenangi pingat judo Olimpik.

Kebetulan sekali, Angle juga menjadi jurulatihnya di WWE.

ALLEN Coage memenangi pingat gangsa judo Olimpik Montreal 1976 tetapi Bad News Brown kempunan gelaran WWF. – Foto Twitter Judo

BAD NEWS BROWN

Mendiang Allen Coage (nama sebenarnya) ialah seorang lagi judoka (ahli judo) malah memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik Montreal 1976, yang beralih ke arena gusti pro WWF dari 1988 hingga 1990.

Pengamal penangan penyudah, libasan ghetto ini hanya pernah memenangi ‘perang raksasa’ WrestleMania IV, 1988 tetapi kempunan sebarang gelaran WWF. Dialah antara lima penggusti yang paling dibenci peminat WWF terutama kerana sengketanya dengan Piper pada 1990.

Dia terlepas slot Olimpik Munich 1972 kerana kecederaan lutut tetapi berhijrah ke Jepun selama dua tahun untuk tekun mempelajari seni bela diri negara tuan rumah temasya 1964 dan 2020 (2021) itu.

Coage berjaya memecah tradisi sebagai pemenang pingat Olimpik pertama berkulit hitam yang bukan dalam tinju atau olahraga menerusi kategori 93 kilogram ke atas (heavyweight) judo di Velodrom Olimpik, Montreal.

MARK Henry ‘Si Kuat WWF/WWE’ dua kali beraksi pada Sukan Olimpik, 1992 dan 1996. – Foto skysports.com

MARK HENRY

Pernah digelar ‘Manusia Perkasa Di Dunia’ ketika menyertai WWF/WWE dengan kontrak 10 tahun.

Malang sekali Henry gagal menaiki podium pada kedua-dua Olimpik Barcelona 1992 dan Atlanta 1996 bagi acara super heavyweight 110 kilogram ke atas.

Dia di tempat ke-10 di Barcelona dan ke-14 di Atlanta juga dek dihimpit kecederaan belakang, sekadar mengangkat sejumlah 377.5 kilogram.

Pada 1998 hingga 2000, Henry terbabit dengan gimik ‘Nation of Domination’ – sebuah puak penggusti berkulit hitam Amerika yang turut dianggotai The Rock (Dwayne Johnson), Faarooq, D’Lo Brown dan Kama Mustafa.

Henry hanya kerap menjadi antara 10 pencabar utama kejuaraan WWF/WWE namun tidak berpeluang menyandangnya.

Dia hanya pernah dihadiahkan gelaran Eropah oleh Jeff Jarrett atas bantuannya yang mengkhianati Brown.

KEN Patera, bekas juara Antara Benua WWF yang gagal menamatkan saingan dalam Olimpik Munich 1972. – Foto chiolovski.com

KEN PATERA

Patera ialah bekas juara Antara Benua WWF dari 21 April hingga 8 Disember 1980 setelah menewaskan Pat Patterson. Dia bermula sebagai penggusti berwatak jahat (heel) di WWF dan dianugerahkan ‘Penggusti Paling Dibenci’ 1977 dan 1981 oleh majalah gusti pro terkenal Amerika, Pro Wrestling Illustrated.

Pada Survivor Series 1987, Patera menyertai puak popular yang diketuai Hulk Hogan di samping ‘The Rock’ Don Muraco, Paul Orndorff dan Bam Bam Bigelow untuk memerangi pakatan Ande The Giant dan King Kong Bundy.

Patera pernah gagal dalam ujian pemilihan lontar peluru (olahraga) ke Sukan Olimpik Mexico 1968 kerana menduduki tempat kelima.

Anak jati Portland, Oregon pengamal penangan cekau dwilengan ini kemudian beralih kepada angkat berat sehingga meraih beberapa pingat Sukan Pan Amerika dan Kejohanan Dunia 1971.

Dia mulanya disebut-sebut sebagai pencabar pingat emas kelas 110 kilogram ke atas (super heavyweight) angkat berat Olimpik Munich 1972 terutama kepada pilihan utama, Vasily Alekseyev dari Kesatuan Soviet.

Namun angkatannya didapati tidak sah dan gagal menyudahkan pertandingan membabitkan 13 peserta pusingan akhir.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here