Oleh Aizan Ali@ Mat zin

 

TANGGAL 31 Julai 2021 seluruh negara Malaysia dan dunia dikejutkan dengan tindakan belia berarak di jalanan sambil membawa sepanduk “keluar dan #Lawan” yang memperjuangkan demokrasi dan mendesak pucuk pimpinan negara agar meletakkan jawatan atas alasan gagal menangani wabak Covid-19 dan pelbagai isu politik dalaman.

Keberanian mereka mengambil risiko dijangkiti Covid-19 yang sedang menggila dengan kewujudan pelbagai varian baru dan kesannya lebih bahaya kepada pesakit jika dijangkiti. Kegagalan mereka mendengar nasihat Majlis Keselamatan Negara dan tidak mengikut SOP telah mengecewakan ramai pihak dan menimbulkan keresahan ramai.

Tujuan mereka hanya satu iaitu peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-8.

Sebelum peristiwa ini, segelintir doktor muda telah berjaya menunjukkan sikap berani mendesak demi mendapatkan skim perjawatan tetap di bawah Kementeria Kesihatan Malaysia dan kelebihan sebagai kakitangan perkhidmatan awam sebagaimana penjawat awam yang lama peroleh.

Mereka dikatakan berkumpul di hadapan hospital dalam tempoh 30 minit dan mendapat pengecualian tugas daripada pihak hospital.

Perhimpunan dikendalikan dalam keadaan negara yang sedang cemas menghadapi varian delta yang hanya memerlukan 5 minit untuk menjangkiti khalayak. Malah data Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan bahawa sejak 1 Mei 2021 kes sporadik yang tidak diketahui punca jangkitan telah mencecah 80% kes keseluruhan di Malaysia.

Tambahan pula kumpulan doktor muda ini sudah sedia maklum dan fahami syarat-syarat perkhidmatan apabila mereka menandatangani surat tawaran pekerjaan. Semua kakitangan kerajaan terikat dengan pekeliling kerajaan dan peraturan-peraturan yang melibatkan disiplin dan tata tertib.

Persoalannya kenapa mereka mengambil risiko tersebut seolah-olah mereka kebal daripada jangkitan dan dikecualikan tindakan undang-undang di bawah Akta 342 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. Rakyat tidak berpuashati apabila kerajaan telah mengumumkan bahawa tindakan tatatertib tidak akan diambil ke atas mereka. Kekebalan apakah ini?

Kedua-dua perhimpunan ini dilhat wajar oleh para pembangkang dan mereka yang menyokong demokrasi. Namun, jika dianalisa dengan lebih terperinci, kita dapati bahawa ada pihak ketiga yang bertindak sebagai tangan yang membaling batu dan menyorokkannya di sebalik “darah muda” para belia.

Api kebencian dan hasutan jahat telah meracuni fikiran para belia sehingga mereka melanggar peraturan dan menggugat pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara 2021 yang sedang berada di fasa 2. Persoalannya siapa yang mendapat keuntungan daripada kedua-dua perhimpunan ini dan apa faedah yang belia perolehi.

Golongan belia merupakan pengguna tertinggi laman sesawang dan terdedah dengan pelbagai info dan maklumat. Sama ada yang betul maupun salah.

Justeru remaja, belia dan semua pengguna laman sesawang perlu mengambil sikap berhati-hati dan waspada terhadap berita palsu yang disebarkan atas kepentingan golongan tertentu termasuk para penyokong politik tegar sesebuah parti politik.

Penulis khuatir para belia tertipu malah terjebak dengan kancah permainan yang tidak disedari dan dalam masa yang sama mereka dijadikan keldai politik. Pengguna perlu tabayyun berita yang dibaca dan tawaqquf jika tidak dapat dipastikan kebenarannya.

Tabayyun bermaksud menyelidik kebenaran berita yang diterima manakala tawaqquf bermaksud menahan diri daripada mengambil tindakan melulu apabila mendengar sesuatu berita.

Fitnah tersebar dengan satu tekanan pada butang hantar di papan kekunci dan akan dibaca oleh pelbagai pengguna laman sesawang tanpa tanda amaran kesesuaian umur untuk membaca berita tersebut sebagaimana tanda amaran kesesuaian umur penonton filem-filem.

Pemikiran kritikal dan analitikal perlu dipupuk dalam kalangan remaja dan belia agar tidak tersalah langkah. Justeru bertindak dengan lebih bijak dan bertamadun dalam pelbagai aspek kehidupan termasuk politik dan kerjaya.

– BebasNews

Aizan bt Ali@ Mat Zin merupakan Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here