Syed Saddiq (kanan) dan peguamnya, Gobind Singh Deo tiba di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini bagi menghadapi dua pertuduhan pengubahan wang haram.

(update)

JOHOR BAHRU – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 29, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Syed Saddiq didakwa memindahkan wang sebanyak RM50,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) juga miliknya yang merupakan hasil aktiviti haram.

Perbuatan itu dilakukan secara berasingan di Maybank Islamic Berhad di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, di sini pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda sehingga lima kali ganda atau hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta atau yang mana jumlah lebih tinggi.

Terdahulu, Syed Saddiq yang juga Presiden Penaja Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) tiba di pekarangan Mahkamah Sesyen Johor Bahru kira-kira pukul 9 pagi sambil diiringi peguamnya, Gobind Singh Deo, ibu dan bapanya berserta beberapa penyokong beliau.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib dan Mohd. Afif Ali.

Wan Shaharuddin memohon mahkamah membenarkan ikat jamin terhadap Syed Saddiq mengguna pakai jaminan sama yang dikenakan terhadap beliau ketika menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 22 Julai lalu.

Pihak pendakwaan turut memohon agar mahkamah memindahkan kes itu ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana semua saksi pendakwaan adalah saksi yang sama bagi kes dihadapi tertuduh di Kuala Lumpur.

Mahkamah membenarkan semua permohonan pihak pendakwaan dan menetapkan 10 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Pada 22 Julai lalu, Ahli Parlimen Muar itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan, iaitu penyelewengan dana politik kira-kira RM1 juta dan menyalahgunakan wang sumbangan kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 sebanyak RM120,000.

Walau bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah ke atas kedua-dua pertuduhan tersebut.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here