Filem Hutan 2D lakonan anggota Floor 88 dapat ditonton mulai hari ini di Astro First.

Oleh Khadijah Ibrahim

DALAM kehidupan ini, setiap manusia tidak akan terlepas daripada hutang, baik yang kaya apatah lagi orang miskin. Hutang adalah sebahagian daripada kehidupan dan terpulang kepada individu untuk menangani perkara tersebut.

Tambahan pula dalam keadaan sekarang, ramai yang terpaksa berhutang untuk meneruskan kehidupan. Seiring dengan situasi semasa, Astro Shaw membawakan filem terbitan Arie Zaharie Production bersama Knack Knack Studios iaitu Hutang 2D terus ke Pawagam Rumah Anda, Astro First, saluran 480 bermula 5 Ogos 2021.

Filem Hutang 2D dicetuskan berdasar lagu popular kumpulan Floor 88 yang berjaya mendominasi carta radio dan televisyen tempatan pada 2019 serta liriknya telah menjadi siulan oleh golongan kanak-kanak hingga orang dewasa.

Penerbit Eksekutif filem Hutang 2D, Arie Zaharie memberitahu, Silentkaiju Studio yang mencetuskan idea agar lagu Hutang diangkat menjadi filem.

Eric Fuzi selaku pengarah bersama filem Hutang 2D.

Katanya, filem yang menelan kos RM300,000 untuk 10 hari penggambaran itu, diarah oleh Irwan Rauf bersama Eric Fuzi, pemain keyboard kumpulan Floor 88.

“Idea asal filem ini datang dari Silentkaiju Studio dan pihak kami tertarik dengan idea untuk mengangkat lagu Hutang yang amat popular dalam kalangan masyarakat Malaysia.

“Memandangkan bait-bait lirik yang menggunakan gaya bahasa sarkastik dan membawa kisah tersendiri, kami cuba mengembangkan elemen serta mesej lagu tersebut ke dalam sebuah penceritaan dan kemudian mempersembahkan dalam bentuk filem.

“Malah, pihak kami juga berusaha membawa kelainan menerusi Hutang 2D untuk tatapan penonton dengan konsep menarik. Walaupun anggota Floor 88 pertama kali berlakon filem, masing-masing berjaya membawa watak lain dengan menonjolkan sisi berbeza menerusi filem,” katanya.

Menjalani penggambaran filem ketika negara berdepan dengan situasi pandemik Covid-19 amat mencabar, lebih-lebih lagi bila set penggambaran di kawasan perumahan flat.

Sepanjang penggambaran, pasukan produksi terpaksa menjalankan proses kawalan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat di set termasuklah, rumah perlu sentiasa disanitasi, memeriksa dan mencatat suhu kru dan pelakon.

Sementara itu, Irwan berkata, cabaran yang dihadapinya sepanjang penggambaran adalah berhadapan dengan barisan pelakon yang ramai dan kebanyakan daripada mereka adalah penyanyi.

Ropie sebagai Pak Jie yang tidak sependapat dengan anaknya, Ayie.

“Uniknya filem Hutang 2D ini, rata-rata pelakon adalah penyanyi. Tiada masalah besar untuk membentuk mereka kerana Eric selaku pengarah bersama banyak membantu.

“Eric tahu apa kekuatan dan kekurangan ahli Floor 88 dan dari situ kami dapat memaksimumkan dan bahagi tugas dengan saksama. Kami cuba bawa satu filem yang ada komedi, aksi, kesan khas dan superhero. Peminat Floor 88 dapat lihat hero mereka ada kuasa. Nak tunjukkan elemen setiakawan dan kekeluargaan. Ini adalah filem Floor 88 bersama pelakon lain,” kata Irwan.

Tambahnya, filem Hutang 2D sesuai untuk tontonan seisi keluarga dan segenap lapisan masyarakat dan berharap filem ini dapat meredakan kerisauan serta mengeratkan silaturahim keluarga dengan menonton bersama-sama.

Ayie dan Baby Shima bergandingan dalam filem Hutang 2D.

Bagi Eric pula, berpeluang mengarah Hutang 2D bersama Irwan merupakan impiannya kerana sudah lama beliau mengidam untuk mengarah filem.

Eric yang memulakan kerjaya dalam bidang seni sebagai pelakon kanak-kanak berkata, beliau tidak menghadapi masalah untuk mengarah rakan-rakannya (ahli Floor 88) berlakon ketika di set penggambaran.

“Tak susah sebab Floor 88 memang nampak nakal tapi itulah karakter masing-masing tapi kami adalah orang yang kerja keras. Mereka bukan kawan-kawan tapi adik-beradik, walaupun ada empat anggota Floor 88 yang lebih tua daripada saya tapi mereka respek.

“Ini adalah projek besar untuk Floor 88. Memandangkan sekarang ini nak buat persembahan tak boleh, saya harap filem ini dapat mengubati rindu peminat kami,” katanya.

Selain Eric sebagai pengarah bersama, Hutang 2D turut dijayakan oleh anggota Floor 88 yang lain iaitu Ayie Elham, Akram K, Falique Ghazali, Zai Hamzah dan Amirul Afeeq.

Ayie ada kuasa superhero untuk membantunya.

Lain-lain pelakon yang menjayakan filem komedi ringan yang sesuai ditonton oleh seisi keluarga dan pelbagai lapisan masyarakat ini ialah Baby Shima, Black Hanafiah, Coki, Wafiy Ilhan, Fauziah Ahmad Daud, Altimet dan Ropie.

Hutang 2D yang bergenre komedi, aksi dan fantasi itu mengisahkan tentang Ayie (Ayie Elham), seorang pelukis webtoon yang kuat berangan dan bersifat pengecut. Hubungan Ayie dan ayahnya, Pak Jie (Ropie) tidak mesra, bahkan bakat melukisnya juga sering dipandang rendah oleh Pak Jie.

Itu membuatkan Ayie rasa sedih dan kurang keyakinan, termasuklah memendam rasa terhadap jirannya, Shima (Baby Shima). Sementara itu, Pak Jie banyak berhutang dan sering diganggu oleh dua orang gengster, Han (Black) dan Kit (Wafiy Ilhan).

Fauziah Ahmad Daud turut berlakon dalam filem Hutang 2D.

Apabila Pak Jie diserang di rumahnya, Ayie terus menyembunyikan diri. Segalanya berubah apabila Ayie bertemu dengan Gua Mambang (Altimet) dan telah menghadiahkan sebuah ‘tablet’ ajaib. Ayie mendapati setiap lukisannya di tablet itu akan menjadi kenyataan.

Kemudian, Ayie mencipta rakan-rakan baharu dengan mempunyai kuasa ‘superhero’ yang luar biasa agar dapat membantunya menyelesaikan masalah hidupnya.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here