Oleh Sarfarizmal Saad

DALAM banyak-banyak parti politik di Malaysia, DAP paling takut jika UMNO kembali menguasai kerajaan negara kita.

Mungkin kerana mereka sedar UMNO ini sebuah parti lama yang susah untuk direbahkan, sekiranya kembali berkuasa.

Sebab itu, pemikir DAP yang juga Setiausaha Publisitinya, Tony Pua awal-awal lagi risau jika Tan Sri Muhyiddin Yassin berjaya digulingkan dari Perdana Putra.

Walaupun DAP antara parti yang turut mendesak Muhyiddin melepaskan jawatan, namun Tony Pua membangkitkan isu dari sudut pandangan yang berbeza.

Dia mula sedar, jika Muhyiddin berjaya digulingkan, ‘petaka’ menimpa pembangkang jauh lebih besar berbanding laba yang mereka dapat kutip.

Potensi UMNO berkuasa semula

Kemungkinan untuk UMNO kembali menjadi Perdana Menteri tidak dapat ditolak kerana parti tertua di Malaysia itu mempunyai majoriti dalam gabungan Perikatan Nasional.

Apatah lagi jika sebahagian pemimpin PKR bertindak berpaling tadah dan memberi sokongan kepada UMNO.

‘Kluster mahkamah’

Pada masa sama, terfikir satu perkara yang disebut Muhyiddin semasa sidang media khas pada 4 Ogos 2021. Katanya, punca krisis politik yang berlaku sekarang disebabkan desakan dari ‘kluster mahkamah’ yang dipercayai merujuk kepada beberapa pemimpin dalam UMNO.

Benarlah mereka dalam ‘kluster mahkamah’ itu masih belum diakui bersalah, namun persoalan Pua, apa terjadi jika UMNO kembali menjadi Perdana Menteri?

Adakah ahli politik yang sedang didakwa di mahkamah sekarang ini akan digugurkan kes? Apa pula kesan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bermati-matian mahu menghapuskan amalan rasuah dalam kalangan warga kita?

Apakah pandangan para pemerhati dan penganalisis politik dalam isu ini? Setujukah mereka terhadap kegusaran Pua bahawa, penukaran Perdana Menteri kepada pemimpin UMNO akan membuatkan proses ‘penyucian’ amalan rasuah akan terbantut dan gagal?

DAP akan buat ‘u-turn’, sokong Muhyiddin?

Kegusaran yang Pua bangkitkan ini boleh memungkinkan DAP bertindak melawan arus dari pegangan Pakatan Harapan (PH) sebelumnya, iaitu menolak kepimpinan Muhyiddin.

Jangan terkejut jika DAP membuat ‘u-turn’, memberi sokongan secara diam terhadap Muhyiddin selepas ini. Asalkan UMNO tidak berjaya memanjat kekuasaan dalam kerajaan.

DAP jauh lebih teruk

Apapun, sudah tentu Pua membayangkan UMNO bakal melepaskan semua ‘kluster mahkamah’ jika kembali berkuasa.

Ini kerana, semasa DAP berkuasa dahulu, mereka jauh lebih teruk melakukan ‘amalan’ tersebut terhadap pemimpin sendiri.

Berapa ramai pemimpin DAP telah ‘disucikan’ oleh mereka ketika 22 bulan bergelar kerajaan di Putrajaya?

Justeru, hakikatnya DAP bukanlah benar-benar ikhlas cakna kepada proses memerangi amalan rasuah, tetapi lebih kepada tampuk kuasa pemerintahan negara.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here