Dr. Sahruddin turut menjadi vaksinator sukarela untuk memberikan suntikan vaksin kepada penerima di PPV Dewan Jubli Intan, Muar, Johor.

MUAR – Perikatan Nasional (PN) Johor hari ini mendesak UMNO Johor segera membuat keputusan sama ada masih mahu meneruskan sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau sebaliknya.

Setiausahanya, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, hingga kini pihaknya masih belum menerima sebarang kenyataan rasmi daripada UMNO Johor.

Beliau yang juga bekas Menteri Besar Johor memaklumkan, Bersatu Johor kini menunggu arahan daripada Bersatu Pusat tentang kerjasama parti tersebut dengan UMNO, termasuk kedudukannya dalam kerajaan negeri yang ketuai UMNO.

“Kalau Bersatu Pusat arah tarik sokongan, kita akan tarik sokongan,” katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Jubli Intan, di sini.

Pada masa sama, PN Johor kini menolak kerjasama dengan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berikutan tindakan mereka menarik sokongan terhadap kerajaan PN dan Perdana Menteri.

“Kita Bersatu Johor menolak (kerjasama) dengan kedua-dua Ahli Parlimen tersebut,” katanya sambil memaklumkan pihaknya sudah menghantar surat penolakan kerjasama itu kepada PN Pusat dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu Pusat.

Kelmarin, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu menarik sokongan terhadap kerajaan PN dan Perdana Menteri selepas mempengerusikan mesyuarat MKT UMNO secara maya.

Ketika mengumumkan penarikan sokongan itu, turut kelihatan berada bersama-sama Ahmad Zahid ialah 10 Ahli Parlimen parti tersebut.

Mereka ialah Datuk Seri Najib Tun Razak (Pekan), Tengku Razaeleigh Hamzah (Gua Musang), Datuk Seri Azalina Said Othman (Penggerang), Datuk Mohd. Nizar Zakaria (Parit), Datuk Seri Azeez Abdul Rahim (Baling), Tan Sri Noh Omar (Tanjung Karang), Datuk Ahmad Nazlan Idris (Jerantut), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Machang), Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands) dan Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian).

Dr. Sahruddin berkata, semua pihak sepatutnya membantu rakyat dalam keadaan COVID-19 terutamanya memastikan sasaran imuniti kelompok tercapai.

“Perang sekarang adalah perang dengan COVID-19 dan bukan perang cari kuasa. Kita kena bantu rakyat seramai-ramainya untuk mendapat vaksin,” katanya.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here