Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (tengah) bergambar dengan Raja Muda, Tengku Amir Shah (kanan) dan Ketua Pengarah SPRM Datuk Seri Azam Baki di Istana Bukit Kayangan, Selangor.

Oleh Arrazaq Nazri

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah agar kes rasuah dalam kalangan penjawat awam disegerakan.

Baginda bertitah demikian ketika menerima menghadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki di Istana Bukit Kayangan hari ini.

Menerusi entri di laman Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin menzahirkan kebimbangan baginda terhadap peningkatan kes-kes rasuah di negeri ini sewaktu pertemuan selama dua jam itu.

Sultan Selangor turut diberi taklimat berhubung perkembangan terkini kes-kes rasuah di negeri ini.

“Baginda berharap SPRM dapat melakukan siasatan yang telus dan teliti supaya pelaku yang dihadapkan ke mahkamah tidak terlepas dengan mudah,” jelas entri tersebut.

Hadir sama sewaktu pertemuan tersebut adalah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Sultan Sharafuddin bertitah supaya kes rasuah dipercepatkan berikutan baginda berpendapat rakyat sudah muak dan bosan melihat pendakwaan kes berlarutan terlalu lama.

“Baginda mensasarkan agar budaya rasuah di negeri ini dapat dibanteras dengan sepenuhnya supaya ia tidak menjadi masalah yang lebih besar dan boleh memudaratkan generasi masa hadapan serta merosakkan masyarakat,” katanya.

Sultan Sharafuddin sebelum ini menzahirkan dukacita apabila terdapat beberapa pegawai kerajaan di negeri itu yang terlibat dengan kegiatan rasuah.

Titah baginda, kurniaan darjah dan bintang kebesaran serta pingat negeri Selangor bagi pegawai kerajaan dan ahli-ahli politik yang didapati bersalah dalam rasuah akan ditarik balik.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here