Oleh Syahir Kassim

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Mutalib yang merupakan ahli UMNO, melahirkan sokongan penuh kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus memimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga menyembah taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan berikrar sentiasa menjaga serta mempertahan institusi Raja-Raja Melayu.

“Patik turut menzahirkan sokongan penuh kepada Perdana Menteri sebagai Ketua Kerajaan Malaysia, sebagaimana sokongan patik kepada Perdana Menteri sebelum ini dan juga kerajaan. Ini tidak lain dan tidak bukan kerana amanah dan tanggungjawab patik kepada agama, bangsa dan negara.

“Patik menjunjung titah perkenan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Justeru sebagai Timbalan Menteri Persekutuan, patik akan terus melaksanakan dan memberi khidmat sehabis baik dengan jujur, bersih, cekap dan amanah demi rakyat, agama, bangsa dan negara,” kata beliau.

Dr. Ismail berkata demikian dalam sepucuk surat yang dipersembahkan kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan dimuat naik di Facebook semalam.
Muhyiddin dalam perutusan khas di Putrajaya semalam memaklumkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri masih utuh dan mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat. Perkara berkenaan juga dimaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong ketika sesi menghadap di Istana Negara pagi semalam.

Muhyiddin mendedahkan beliau menyembah maklum mengenai penerimaan sejumlah Surat Akuan bersumpah daripada ahli-ahli Parlimen yang disifatkan sebagai meyakinkan.
Yang di-Pertuan Agung sebelum ini memaklumkan kepada Muhyiddin bahawa lapan Ahli Parlimen UMNO menulis surat kepada baginda untuk menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri.

Pada Selasa lalu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mengumumkan penarikan sokongan terhadap kerajaan PN dan Muhyiddin dan meminta ahli UMNO yang turut berbuat demikian.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, berkata UMNO memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong dan tidak akan mempertahan kerajaan PN yang didakwa gagal pada mata rakyat selaras Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here