Oleh Ruhanie Ahmad

BARU-BARU ini kita dikejutkan dengan pendedahan yang mendakwa bahawa sebuah kuasa besar dunia mahu menjadikan kemelut politik Malaysia hari ini untuk menghasut segolongan rakyat kita memulakan gerakan seperti “Arab Spring” di Asia Barat dan Afrika Utara pada tahun 2011-2012.

Pendedahan mengenai dakwaan ini terkandung dalam pautan https://www.facebook.com/1850198128537850/posts/3674869299404048/ yang tersebar luas sejak sekumpulan Ahli Parlimen pembangkang berdemonstrasi di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, pada Isnin, 2 Ogos 2021.

Gerakan “Arab Spring” adalah demonstrasi jalanan oleh kumpulan belia tajaan beberapa kuasa asing di dua wilayah dunia di atas untuk menjatuhkan kerajaan yang tidak sehaluan dengan kuasa asing terbabit.

Beberapa pemimpin dan kerajaan di wilayah dunia tersebut telah digulingkan menerusi gerakan ini. Mereka telah digantikan dengan kerajaan serta pemimpin boneka pilihan kuasa asing berkenaan.

Antaranya, pendedahan di atas mendakwa bahawa apa yang terjadi di Malaysia sekarang adalah proses “cut and paste” atau tindakan berasaskan satu acuan yang serupa dengan apa yang telah dilaksanakan di Hong Kong dan Myanmar.

Pendedahan tersebut mendakwa bahawa acuan ini disediakan oleh pihak kuasa besar terbabit bagi mencapai “grand design”nya untuk mengepung China menerusi Asia Tenggara.

Menurut dakwaan ini, niatnya adalah untuk melaksanakan pertukaran rejim atau pertukaran perdana menteri supaya pemimpin pilihannya dapat berkuasa di Malaysia.

Lebih jelas lagi, supaya individu pilihan kuasa besar ini jadi perdana menteri Malaysia yang didakwa akan akur kepada arahannya.

Terutama sekali, pendedahan tersebut mendakwa, ini kerana kuasa besar tersebut mahu mengepung China dari Asia Tenggara, dan Malaysia adalah satu daripada negara pilihannya.

Para pelajar kajian strategi dan keselamatan serta Hubungan Antarabangsa menyedari hakikat “grand design” ini di Asia Tenggara sejak tahun 2002.

Menerusi alasan melaksanakan Perang Anti Keganasan Global (PAKG), kuasa besar berkenaan berjaya kembali ke Asia Tenggara setelah tewas dalam Perang Vietnam pada tahun 70-an.

Mulai tahun 2002, atas alasan memerangi Kumpulan Abu Sayyaf (KAS) di Filipina, tentera kuasa besar ini kembali berpangkalan di Selatan Filipina.

Kini sudah hampir 20 tahun tentera kuasa besar ini berpangkalan di Selatan Filipina. Anehnya, kenapa KAS masih belum ditumpaskan olehnya?

Kenapa? Adakah KAS terlalu gagah untuk ditumpaskan, atau memerangi KAS sebenarnya sekadar helah semata-mata?

Kita semua sedar, bahawa usaha memerangi KAS di Filipina memang satu muslihat. Beberapa kajian akademik telah merincikan perkara ini.

Antaranya, persoalan ini dituntas dan dirincikan dalam ‘The role of Southeast Asia in U.S. strategy toward China’ oleh Richard Sokolsky et al. (2001); ‘At the door of all the East: The Philippines in United States military strategy’ oleh Herbert Docena (2007); ‘American grand strategy in Asia’ tulisan Daniel Twinning (2007); dan ‘The US National Strategy for Maritime Security 2005 and its geopolitical implications on Malaysia’ oleh Ruhanie Ahmad (2011).

Malaysia jadi antara negara paling strategik dalam konteks strategi besar ini kerana ia dan Indonesia menguasai Selat Melaka. Malaysia juga negara pesisir kepada Laut China Selatan serta menjadi sebahagian negara pesisir kepada Laut Makassar dan Laut Sulu.

Perairan Malaysia ini mahu dikuasai oleh kuasa besar tersebut untuk memudahkannya menyekat bekalan minyak dan gas dari Asia Barat menuju ke China, jika dan apabila terjadi sesuatu konflik bersenjata antara dua negara berkenaan.

Selama ini, Malaysia bertegas untuk tidak mahu tunduk kepada kuasa besar tersebut. Malaysia tidak mahu tersepit dalam apa jua kemungkinan peperangan kuasa besar di Asia Tenggara. Ini selaras dengan dasar luar negara kita yang berkecuali.

Oleh itu, dakwaan dalam pendedahan di atas tidak mungkin tidak benar. Lebih penting lagi, ia tidak boleh dipandang ringan oleh seluruh pemimpin dan umat Peribumi-Muslim di Malaysia.

Kalau dakwaan dalam pendedahan ini palsu, kenapakah hingga ke hari ini, tidak ada seorang pun yang menafikannya? Kenapa individu yang disebut-sebut dalam pendedahan ini membisu seribu bahasa? Kenapa kuasa besar tersebut juga tidak memberikan penafian?

Tun Dr Mahathir Mohamad amat insaf akan hakikat geopolitik ini sejak Malaysia diserang penyangak mata wang pada tahun 1997.

Pendirian tegas beliau mengenai campur tangan kuasa asing menyebabkan beliau diperkecil oleh sesetengah pemimpin Barat, kononnya ilmu Dr Mahathir “hanya sebesar setem surat”. Dakwaan ini beliau sebut dalam satu wawancara khas antara penulis dengannya pada 25 April 2011.

Dr Mahathir juga tidak mahukan individu berkenaan jadi perdana menteri. Hakikat ini terkandung dalam tulisan Datuk Wan Saiful Wan Jan (2020) yang tidak pernah dinafikan oleh sesiapa sampai sekarang.

TengkuRazaleigh Hamzah selaku tokoh kewangan terkemuka juga tahu akan hakikat percaturan geopolitik kuasa besar di atas.

Datuk Seri Dr Zahid Hamidi juga mustahil tidak menyedari hakikat ini. Begitu juga dengan seluruh kepimpinan UMNO mutakhir ini. Jika tidak, kenapa Zahid ambil keputusan “No Anwar and No DAP” di Perhimpunan Agung UMNO pada Mei 2021?

Datuk Seri Abdul Hadi Awang memang menyedari hakikat mengenai individu berkenaan. Jika tidak, mana mungkin beliau membuat pendedahan pada 6 April 2020 dan mendakwa PH “disokong gerakan Freemason dan Yahudi”?

Lantaran itu, seluruh pemimpin dan rakyat Peribumi-Muslim mesti waspada dengan apa yang sedang berlaku sekarang.

Sentimen kita terhadap Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sedang diputar-belitkan supaya kita membenci Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri dan menerima fitnah yang mengatakan Kerajaan PN gagal, adalah benar.

Pihak yang bersekongkol dengan kuasa besar terbabit mendapati bahawa sekarang masa paling sesuai untuk menyalakan api kemarahan rakyat Malaysia terhadap Muhyiddin.

Oleh sebab itu, kerajaan yang bertindak mengikut Perlembagaan dan undang-undang dalam usaha memerangi Covid-19, dengan sewenang-wenangnya dituduh kononnya sebagai menderhaka.

Anak-anak muda dihasut untuk berdemonstrasi, kononnya untuk menyatakan kebenaran terhadap kegagalan Muhyiddin dan Kerajaan PN.

Anak-muda muda Peribumi-Muslim diletakkan di barisan hadapan. Namun kepala demonstrasinya adalah seorang naib presiden sebuah parti tertentu dalam Pakatan Harapan (PH).

Aktiviti pemvaksinan rakyat sentiasa difitnahkan dengan pelbagai cara. Sesetengah media juga kelihatannya seolah-olah turut dijadikan alat untuk memfitnah kerajaan dan menghasut rakyat dalam hal ini.

Dedikasi para “frontliners” yang bertungkus-lumus untuk menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia diperlekehkan. Kelompok yang didakwa sebagai diperalatkan kuasa asing ini tidak menghargai perjuangan “frontliners” dari semua keturunan dan agama.

Kesimpulannya, apa harus kita lakukan? Di samping pendedahan di atas, kita juga dikatakan sebagai sedang diancam oleh satu gerakan penjajahan semula secara dalaman.

Seluruh rakyat dan pemimpin Peribumi-Muslim yang waras tahu apa yang perlu mereka lakukan. Perhitungan politik yang amat tepat sangat diperlukan dalam hal ini. Jika kita tersilap perkiraan, kita semua akan menerima padahnya.

 

*Rencana ini hanyalah semata-mata pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan dasar BebasNews

 

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here