Jais Abdul Karin

SHAH ALAM – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa pendakwaan sesuatu kes perlu juga mengguna pakai peruntukan di bawah akta-akta lain sekiranya peruntukan yang ada di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sukar untuk mensabitkan pesalah dengan jenayah yang dilakukan.

Presiden MCW, Jais Abdul Karim menyifatkan sabitan itu wajar jika kesalahan boleh dikaitkan dengan undang-undang jenayah lain seperti Kanun Keseksaan yang menunjukkan berlaku kesalahan seperti pecah amanah, penipuan, pemalsuan dan juga kesalahan lain melibatkan penjawat awam dan peraturan berkaitan.

Beliau menambah, sesuatu kesalahan lebih mudah untuk didakwa di bawah Kanun Keseksaan.

Jais berkata: “Semua tangkapan yang melibatkan kes kepentingan awam perlu ada keputusan yang jelas sama ada didakwa atau dibebaskan dan pihak SPRM perlu menjelaskan kepada orang awam mengenai kes-kes ini.

“Pendekatan baharu lebih dinamik perlu dilaksanakan oleh Jabatan Audit Negara (JAN) terutamanya melibatkan isu audit prestasi selain melaksanakan ‘routine periodical audit’ yang mana laporannya sekadar menjadi ‘sejarah’,” kata beliau.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd.Jamil yang dipetik berkata, hanya dua daripada 225 kes dapat dituduh oleh SPRM berkenaan isu yang dibangkitkan oleh JAN.

Jais berkata, JAN perlu lebih proaktif dengan penilaian yang lebih mendalam terhadap sistem kawalan dalaman institusi tersebut terhadap setiap agensi, jabatan atau anak syarikat mereka serta lain-lain.

Katanya lagi, kaedah pusingan audit juga perlu diberikan perhatian terhadap dapatan audit yang lelu dengan menumpukan kepada ‘hotspots’ yang pernah dikesan.

“Kaedah biasa telah terbukti gagal untuk membanteras tadbir urus yang buruk dan perlakuan rasuah mesti menjadikan JAN lebih peka untuk meningkatkan strategi audit, pendekatan atau program yang lebih berkesan.

“Rekod SPRM membuka kertas siasatan tetap penting. Rekod ini akan disemak setiap kali penjawat awam hendak dinaikkan pangkat atau diberikan sesuatu anugerah. Tindakan tatatertib semata-mata pun harus mampu memberi pengajaran kepada pelaku kesalahan tersebut,” kata Jais lagi.

Mengulas lanjut, daripada perspektif lain, SPRM sendiri perlu meneliti semula peruntukkan dan mengatasi isu-isu teknikal.

Beliau berkata, pihaknya merasakan tidak sewajarnya berlakunya pembaziran masa, tenaga, usaha dan penggunaan pegawai SPRM apabila seseorang yang melakukan kesalahan rasuah tau penyelewengan gagal untuk disabitkan sehingga menjadi persoalan umum.

“Sekiranya wujud kekurangan dalam Akta SPRM maka pihak yang berkenaan memperkemaskannya dengan mengadakan peruntukkan yang lebih relevan.

“SPRM disarankan memperkenalkan undang-undang khusus yang sama seperti Seksyen 17(A) Akta SPRM iaitu ‘Liabiliti Korporat’ khusus untuk penjawat awam. Kajian terhadap evolusi rasuah dan salah laku tadbir urus penjawat awam dari aspek hukuman juga perlu diadakan segera bagi mengekang rasuah di negara ini,” kata Jais.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here