ABDUL HALIM KADER

ADAKAH sepak takraw masih berpeluang untuk dipertandingkan dalam Sukan Olimpik beberapa tahun akan datang?

Inilah yang bakal digerakkan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) dalam tempoh 18 hingga 24 bulan dari sekarang, menjelang Sukan Olimpik Paris 2024.

Langkah sulungnya ialah Istaf perlu mendapatkan pengiktirafan sementara Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) seperti mana enam sukan baharu pada 2016 dan 2018 yang kemudiannya diluluskan dengan pengiktirafan penuh Lembaga Eksekutif IOC.

Enam sukan yang disahkan pengiktirafan penuh pada Sesi IOC di Tokyo, Jepun pada 21 Julai lalu ialah sorak (cheer), sukan stok ais (icestocksport), tinju tendang (kickboxing), lacrosse dan muaythai.

Sukan-sukan itu yang diwakili Kesatuan Sorak Antarabangsa (ICU), Persekutuan Sukan Stok Ais Antarabangsa (IFI), Pertubuhan Tinju Tendang Dunia (WAKO), Lacrosse Dunia (WL), Persekutuan Muaythai Antarabangsa (IFMA) dan Persekutuan Sambo Antarabangsa (FIAS) kini dalam selangkah lagi untuk menjadi ahli penuh keluarga Olimpik.

Setiausaha Agung Istaf, Abdul Halim Kader berkata, “Istaf sudah mempunyai beberapa prasyarat penting bagi memperoleh pengiktirafan sementara itu antaranya menjadi anggota GAISF (Persatuan Global Persekutuan Sukan Antarabangsa) yang turut bergabung dengan IOC.

“Istaf menjadi anggota GAISF sejak 25 tahun lalu. Kami juga antara yang menubuhkan AIMS (Perikatan Anggota-anggota Sukan Bebas Yang Diiktiraf) pada lapan tahun lalu yang juga rakan strategik IOC. Hubungan dengan GAISF dan AIMS akan memudahkan sepak takraw mendapat saranan masuk Sukan Olimpik,” katanya.

Syarat-syarat lain IOC bagi pengiktirafan sementara itu tambah Halim, termasuk menjadi anggota penuh Agensi Antidoping Dunia (WADA) yang telah dilakukan oleh Istaf sejak 10 tahun lalu.

Katanya, sukan yang memiliki pengiktirafan IOC hanya perlu mempunyai 50 negara yang bermain sukan berkenaan di tiga benua berbanding yang tidak diiktiraf iaitu 70 negara dan lima benua – satu lagi syarat yang hampir dimiliki Istaf.

“Kini sepak takraw dimainkan di Asia, Eropah dan Amerika Utara malah Selatan. Ada 35 negara yang menjadi ahli kerabat Istaf sekarang dan kami perlu perluaskan keahliannya kepada negara-negara Asia Barat dan Tengah, Afrika dan Eropah Timur,” katanya.

Syarat lain IOC itu termasuk sesuatu sukan berkenaan mesti melangsungkan Kejohanan Dunia bagi kategori lelaki, wanita dan belia secara konsisten dan berkala selain memiliki program pembangunan, kejurulatihan, teknikal dan pengadil yang meluas, sistematik dan diiktiraf universiti tertentu.

Istaf katanya turut menggesa persatuan negara-negara kuasa utama sepak takraw tampil bekerjasama dengan setiap satu mengambil sekurang-kurangnya tiga negara angkat untuk dipromosikan sukan tersebut.

“Susah senang hendaklah kita bersama. Mesti ada perjanjian rasmi untuk Istaf menjalin kerjasama kuasa-kuasa utama sepak takraw ini (umpamanya Thailand, Malaysia, Korea Selatan, Indonesia dan Myanmar).

“Jangan hanya ketika mahukan pingat emas temasya sukan tertentu, mereka beria-ia datang menyokong, selepas itu tinggalkan Istaf sendirian yang menggigit jari,” tegasnya yang juga Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf).

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here