Desert caravan dune ride
Photo by Pixabay on Pexels
Oleh Dr. Khadher Ahmad

PERISTIWA Hijrah Rasulullah SAW adalah peristiwa yang sangat penting dalam sejarah perkembangan agama Islam dan boleh dikatakan sebagai kemuncak kepada perubahan besar perkembangan Islam yang lebih kuat dan kukuh. Bahkan hijrah adalah satu perintah daripada Allah SWT kepada Rasulullah SAW dan umat Islam pada ketika itu dan telah dijanjikan dengan ganjaran kelebihan yang banyak seperti dijelaskan dalam beberapa ayat antara ayat 195 surah Ali ‘Imran, ayat 20-22 surah al-Tawbah, ayat 41 surah al-Nahl, dan ayat 58 surah al-Haj dan ayat 100 surah al-Nisa’. Antara firman Allah SWT maksudnya: “Maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan agamanya), dan yang diusir ke luar dari tempat tinggalnya, dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan agama-Ku, dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam), dan yang terbunuh (gugur Syahid dalam perang Sabil) – sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka, dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh)” (Surah Ali ‘Imran ayat 195)

Ibn Jarir al-Tabari menyebutkan dalam Tafsir al-Tabari bahawa mereka yang berhijrah dari kaumnya dalam kalangan orang-orang kafir semata-mata kerana Allah dan menuju kepada saudaranya di kalangan orang beriman dan mereka dikeluarkan daripada kampung halaman maka Allah janjikan balasan disisi-Nya. (Tafsir al-Tabari, 6/322).

Demikian juga dalam beberapa hadith turut menjelaskan hal yang demikian yang menggambarkan kepada perintah dan juga kelebihan pelaksanaan hijrah tersebut. Sabda Rasulullah SAW kepada Abi Fatimah al-Dhumari RA: “Hendaklah kamu berhijrah kerana ia tiada tandingannya.” (HR al-Nasa’i, no.hadith 4167, hadith hasan menurut al-Albani).

Justeru, peristiwa hijrah Rasulullah SAW bersama para Sahabat adalah merupakan suatu peristiwa yang sangat penting kepada umat Islam. Dalam peristiwa hijrah pada ketika itu, ia berlaku atas perintah Allah SWT dan setelah kaum Muslim diberikan tekanan yang sangat kuat, penuh dengan kepayahan dalam pelbagai bentuk tekanan sama ada di pihak dalam dari kalangan orang-orang Quraish sendiri di Mekah atau dari pihak-pihak luar yang berurusan dengan mereka. Menariknya, peristiwa hijrah tidak berlaku secara spontan dan bukan berlaku tanpa perancangan dan strategi yang tidak jelas. Tetapi, apabila diteliti kepada rentetan kepada catatan perjalanan peristiwa hijrah tersebut, pasti kita akan melihat kepada suatu strategi yang dirancang dengan teliti oleh Rasulullah SAW dan diikuti dengan baik oleh para Sahabat pada ketika itu.

Memahami Strategi Hijrah Sebagai Strategi Dalam Menghadapi COVID-19

Melihat kepada pelaksanaan Hijrah Nabi SAW, ia berlaku bukan secara spontan, tetapi dilakukan oleh Rasulullah SAW dengan penuh strategi sekalipun baginda akur dengan kesukaran dan kepayahan yang ada pada ketika itu dalam menghadapi golongan musyrikin Mekah. Ketika itu, suasana adalah sangat tegang kerana boleh dikatakan bahawa perintah Allah SWT agar Rasulullah SAW dan kaum Muslim berhijrah setelah kemuncak kepada penentangan golongan tersebut kepada orang-orang Islam. Selepas tindakan mereka yang memulaukan orang-orang Islam gagal, menyeksa dengan pelbagai seksaan agar orang-orang Islam kembali kepada kekufuran juga gagal, merampas harta-harta orang Islam juga gagal, penghinaan kepada Rasulullah SAW juga gagal sehingga timbul rancangan mereka yang terbesar untuk membunuh Nabi SAW. Dalam erti kata bahawa ketika itu, Rasulullah SAW dan umat Islam berada pada kondisi yang serba kepayahan. Namun, bukan bermakna Rasulullah SAW akur, tetapi baginda telah pun menyusun strategi yang jelas bagi menjayakan misi hijrah ke Madinah.

Iktibar daripada situasi kepayahan ini, sebenarnya boleh dikaitkan dengan kesukaran dan kepayahan yang kita hadapi ketika pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia kini. Sekalipun tidak boleh untuk disamakan seratus peratus, namun pengajaran daripada kejayaan dalam misi hijrah tersebut adalah berdasarkan perancangan dan strategi yang jelas yang telah diaturkan oleh Nabi SAW. Jadi, sewajarnya kerajaan yang memimpin perlu pastikan bahawa negara mempunyai perancangan yang teliti, berstrategi dan mengambil ia sebagai suatu yang serius dalam menangani pandemik ini khususnya dalam memastikan bahawa masyarakat selamat serta dapat mengurangkan jangkitan yang tinggi dalam kalangan komuniti dan juga para pekerja di sektor perkilangan. Ini kerana, pertengahan Julai 2021, menyaksikan bahawa kadar jangkitan baharu harian telah mencecah melebih 11 ribu kes, dan yang tertinggi adalah pada 25 Julai 2021 iaitu sebanyak 17,045 kes baharu dan telah mencapai 1 juta lebih bagi jumlah keseluruhan kes. Tidak dinafikan bahawa telah ada pelbagai usaha dan strategi yang dirangka, tetapi yang penting juga adalah untuk memastikan bahawa strategi tersebut dapat berjalan dengan baik dan dapat diadaptasi langsung bagi untuk semua pihak. Saling menyalahkan antara satu pihak dengan pihak yang lain, bukan merupakan satu tindakan yang bijak dalam menangani pandemik ini.

Oleh sebab itu, dalam merangka strategi menghadapi pandemik ini, semua pihak perlu dilibatkan daripada semua kementerian bukan hanya pada aspek kesihatan dan keselamatan sahaja. Sedangkan kesan pandemik terhadap masyarakat melibatkan aspek ekonomi yang melibatkan pendapatan, hilang pekerjaan, aspek sosial yang memberi kesan kepada psikologi, stress melampau, aspek pendidikan, aspek undang-undang dan sebagainya lagi.

Oleh itu, pentingnya sebuah kerajaan atau pemerintah yang mempunyai strategi yang baik dan bagus dalam menangani pandemik ini. Apa pun dirasakan bahawa usaha tersebut telah dilakukan dengan sehabis baik berdasarkan kepada kepakaran dan kemampuan yang ada. Bahkan, jangan sesekali mempolitikkan pandemik ini untuk kepentingan diri atau kumpulan yang didukung.

Usaha dan Kerjasama Semua Pihak Dalam Menjayakannya

Kejayaan hijrah Rasulullah SAW juga adalah berasaskan kepada kerjasama yang baik dari kalangan golongan Muhajirin yang berhijrah dengan Nabi SAW. Para Sahabat memahami dan mengikut perancangan yang telah dilakukan. Bahkan, Rasulullah SAW meminta agar para Sahabat berhijrah dahulu sebelum Rasulullah SAW dan Abu Bakar mengikuti di belakang, Rasulullah SAW dan Abu Bakar RA minta bantuan seorang Yahudi penggembala kambing untuk menjadi pemandu bagi melalui laluan yang jarang digunakan untuk keluar berhijrah, di samping memadam bekas tapak kaki yang menjadi laluan, sehingga kemudiannya baginda SAW bersama rombongan tiba di Quba’. Di Quba’, Rasulullah SAW membangunkan Masjid Quba’ dan bermalam beberapa hari di sini sebelum masuk ke kota Madinah. Semua perancangan tersebut mendapat kerjasama penuh daripada semua pihak yang bersama-sama dengan Baginda SAW.

Oleh yang demikian, dalam menghadapi pandemik COVID-19 dan menjayakan strategi membendungnya, sudah pastinya tidak hanya bergantung kepada usaha pihak pemerintah sahaja. Bahkan, setiap anggota masyarakat sewajarnya memberi kerjasama yang penuh bagi membendung wabak ini, menghulurkan bantuan semasa masyarakat yang lain, tidak mementingkan diri sendiri, dan juga bukan kepentingan diri bagi sesuatu pihak sahaja, tidak hanya berpeluk tubuh sahaja dengan tidak membantu, dan sebagainya. Jika kita sebagai jiran, mungkin boleh hulurkan bantuan membantu jiran yang terkesan. Atau bekerjasama dengan warga kejiranan dan perumahan, ahli jawatankuasa kampung atau dengan badan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu masyarakat yang sedang mengalami kesusahan.

Dalam perspektif politik pula, bagi golongan blok pembangkang pula, tidak sewajarnya mengabaikan kepentingan dan kemaslahatan masyarakat serta tidak perlu mendahulukan agenda politik dalam suasana pandemik ini. Sewajarnya, sama-sama menggembleng tenaga bagi membantu pihak kerajaan sehinggalah kepada masyarakat. Konsep yang semua orang sepatutnya pegang adalah “apa yang penting… kerjasama!”. Sesuai dengan firman Allah SWT dalam surah al-Ma’idah ayat 2 yang bermaksud: “Dan saling tolong-menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan takwa, dan jangan saling tolong-menolong dalam perbuatan dosa dan permusuhan. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah sangat berat seksaan-Nya.”

Pengorbanan Golongan Muhajirin

Golongan Muhajirin adalah mereka yang bersama-sama dengan Rasulullah SAW yang terlibat langsung dalam peristiwa hijrah. Gambaran kepada pengorbanan mereka tidak boleh untuk digambarkan dalam bentuk tulisan. Bagaimana kekentalan jiwa mereka untuk menyahut seruan hijrah, meninggalkan harta benda yang dimiliki, berpisah dengan ahli keluarga dan juga tanah air, hanya berbekal sedikit bekalan makan dan juga beberapa ekor tunggangan sebagai kenderaan dalam serba kekurangan. Dalam erti kata bahawa, golongan Muhajirin ini akur dan terima dengan berlapang dada apa yang mereka lalukan kerana keyakinan kepada Allah dan Rasul, dan keyakinan mereka terhadap pertolongan Allah pada masa hadapan. Setibanya di Madinah, mereka disambut dengan penuh kegembiraan dan hati yang terbuka dalam kalangan al-Ansar yang sememangnya telah menunggu ketibaan Rasulullah SAW bersama rombongan Muhajirin Mekah.

Gambaran ini kita boleh tujukan kepada peranan kita sebagai masyarakat awam di Malaysia yang terlibat secara langsung dengan pandemik COVID-19. Bahkan pandemik ini juga telah memberi impak yang sangat mendalam yang perlu dan terpaksa dihadapi oleh masyarakat dengan pelbagai kepayahan dan kesusahan. Sekalipun ia tidak boleh disamakan dengan keadaan dan suasana kepayahan ketika hijrah Nabi SAW, namun dari aspek penerimaan kita sebagai masyarakat awam yang terkesan langsung dengan pandemik ini, janganlah kita berputus asa dengan pertolongan Allah. Teruskan ketaatan kita kepada Allah dan Rasul-Nya dengan berdoa memohon pertolongan Allah bagi menghadapi pandemik ini yang telah memberi kesan yang sangat mendalam kepada semua kita dalam pelbagai aspek. Ini kerana, Allah SWT lah tempat untuk kita bergantung harap.

Pada masa yang sama kita turut menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat untuk akur dengan arahan pemerintah dalam menghadapi wabak ini. Walaupun ada yang terpaksa berkurung di dalam rumah, terhad pergerakan, tidak boleh balik ke kampung bertemu mak dan ayah dan banyak aktiviti sosial yang tidak dapat dilakukan, sebenarnya itulah antara pengorbanan yang besar bagi memastikan pandemik ini berakhir.

Kesediaan Golongan Ansar Menerima dan Membantu
Dalam peristiwa hijrah Nabi SAW, golongan yang penting dalam menjayakan misi hijrah adalah dari kalangan golongan Ansar di Yathrib (Madinah), di mana dari awal lagi telah ada beberapa siri bai`ah (janji taat setia) oleh beberapa orang wakil mereka dengan Rasulullah SAW dan diikuti kemudian, kesanggupan mereka untuk mempersaudarakan golongan Muhajirin yang berhijrah dengan Rasulullah SAW pada ketika itu.

Golongan Ansar ini boleh diibaratkan sebagai “frontliner” di negara kita pada hari ini yang sangat penting dalam usaha membantu membendung penularan wabak COVID-19. Kesungguhan dan kesanggupan mereka dari kalangan staff dan pegawai kesihatan, pihak keselamatan seperti polis dan tentera, pihak sukarela seperti anggota rela dan termasuk warga kementerian yang bertanggungjawab bagi memastikan keselamatan masyarakat, mengawal penularan, menguruskan dan mengawal kes jangkitan sedia ada, menguruskan bantuan dan sebagainya lagi. Mereka adalah dari kalangan al-Ansar yang mengorbankan jiwa dan raga bagi mendepani pandemik ini. Sewajarnya segala apa yang mereka telah lakukan dalam usaha memerangi wabak ini, sangat perlu diberikan penghargaan yang khusus. Kesanggupan untuk bekerja lebih masa, berpenat lelah menghampiri 2 tahun sejak kes positif pertama COVID-19 berlaku dalam negara, berkorban jiwa dan keluarga bagi menggalas amanah sebagai “frontliner” tersebut untuk membantu masyarakat.

Itulah gambaran bagaimana golongan al-Ansar yang membantu Rasulullah SAW dan para Sahabat Muhajirin yang datang ke Madinah pada peristiwa hijrah tersebut. Dipersaudarakan mereka tanpa mengenal siapa, berkorban harta benda untuk kehidupan bersama, sehinggakan isteri sanggup diceraikan kerana mahu diberikan kepada sahabat Muhajirin yang dipersaudarakan. Sumbangan golongan ini adalah sumbangan yang tidak ada nilai yang boleh dijadikan kayu ukur penilaian samalah seperti sumbangan yang diberikan oleh golongan barisan hadapan ketika menghadapi pandemik ini. Apa yang mereka korbankan untuk kemaslahatan masyarakat sudah pasti akan diberikan ganjaran yang sewajarnya di sisi Allah SWT. Sesuai dengan firman Allah SWT dalam surah al-Zalzalah, ayat 7 yang bermaksud: “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!”

Akhir sekali, peristiwa hijrah Rasulullah SAW dan para Sahabat telah memberi petunjuk yang jelas kepada kita tentang kesukaran dan kepayahan yang dihadapi oleh umat Islam pada peringkat awal bagi memastikan perkembangan Islam dan Islam berjaya bertapak kukuh selepas itu. Kejayaan hijrah tidak datang secara spontan, tetapi dipenuhi dengan strategi, kerjasama dan pengorbanan. Justeru, dalam memerangi dan menghadapi pandemik COVID-19 ini, peristiwa hijrah Rasulullah SAW dan para sahabat boleh dijadikan sebagai penanda aras untuk kita terus berusaha dengan tenang dalam menghadapi COVID-19 di negara kita. Marilah sama-sama kita bekerjasama dan sentiasa berdoa serta bermunajat kepada Allah SWT agar pandemik ini berakhir.

Tidak ada yang sebaik perancang melainkan perancangan dari Allah SWT jua. Selamat menyambut Maal Hijrah 1443H.

 

Dr. Khadher Ahmad

Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan al-Quran dan al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di khadher82@um.edu.my

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here