AZIZULHASNI Awang menayangkan pingat perak Sukan Olimpik Tokyo. - Foto MSN

BEKAS pelumba basikal negara, Josiah Ng menyifatkan Datuk Mohd. Azizulhasni Awang masih mampu dipertaruhkan ke Sukan Olimpik Paris 2024 sekalipun pemenang pingat perak keirin Tokyo 2020 (2021) itu bakal mencecah usia 36 tahun.

“Seperkara yang saya tahu tentang Azizul – jangan sesekali nafikannya!,” kata Josiah, Olimpian keirin dan pecut di Athens 2004, Beijing 2008 dan London 2012 dalam wawancara BebasNews dengannya menerusi laman Instagram.

 

Beliau yang kini menjadi jurulatih Sarawak menambah, “detik emas (Malaysia dalam Olimpik) belum menjadi lagi. Jadi kita masih terpaksa bersabar dan menanti tiga tahun lagi.

“Azizul (juga digelar Jijoe) masih mampu berada pada tahap terbaiknya ketika itu,” kata Josiah yang pencapaian terbaiknya ialah tempat kelima keirin Olimpik Athens 2004 selain pemenang pingat emas Sukan Komanwel Delhi 2010.

Walau bagaimanapun pelumba kelahiran Manila, Filipina ini mengakui tiga tahun ialah satu tempoh yang panjang dalam sukan dan beliau tidak dapat meramalkan apa yang bakal terjadi pada masa hadapan.

“Satu persembahan (keirin Olimpik di Velodrom Izu) yang hebat dan menakjubkan. Yang terbaik pernah saya saksikan dalam hidup saya,” kata pelumba yang dianggap perintis kehadiran Malaysia dalam acara keirin bertaraf dunia.

Mengenai taktik mengejut Jason Kenny, pemenang emas dari Great Britain yang memecut lebih awal ketika baki tiga pusingan, “dalam keirin anda perlu membuat keputusan cepat sesaat sahaja.

“Kadangkala taktik yang dirancang menjadi, kebanyakannya tidak.
“Jason telah membuat keputusan yang tepat dalam masa sesaat itu,” kata Josiah, 41.

Mengenai perbandingan Azizulhasni dengan pendatang baharu Olimpik, Shah Firdaus Sahrom yang terkandas pada separuh akhir keirin katanya, “dia ada kemampuan fizikal tetapi tidak boleh bandingkannya dengan Azizulhasni.

“Azizulhasni dalam tahap yang berbeza dan Shah kurang kreativiti dalam perlumbaan,” katanya.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here