Oleh Khadijah Ibrahim

SUAMI kepada Allahyarham Siti Sarah Raisuddin, Shuib Sepahtu memaklumkan bahawa sewaktu hayatnya, bila berbicara soal kematian, penyanyi itu sering berkata, beliau mahu dikebumikan bersebelahan dengan kubur arwah ibunya, Nor Aini Muhamad yang meninggal dunia pada 26 Jun 2013.

Hari ini, 9 Ogos 2021, impian arwah penyanyi yang popular dengan lagu Kesetiaan itu dimakbulkan oleh Shuib kerana jenazah Sarah dikebumikan bersebelahan kubur arwah ibunya di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Sungai Pusu, Gombak.

“Memang permintaannya untuk dikebumikan sebelah arwah ibunya. Malah selama ini kalau bersembang hal kematian, memang dia ada menyebut keinginan untuk disemadikan di sebelah kubur arwah ibunya,” kata Shuib.

Allahyarham Siti Sarah telah kembali kepada Yang Maha Esa pada pukul 5.13 pagi, 9 Ogos 2021.

Shuib menerusi Instagram memberitahu khabar duka tentang pemergian isteri tercinta dengan kapsyen, “5.13 minit pagi, 9 Ogos 2021, Bidadari Syurga saya pergi buat selamanya. Mohon sedekahkan Al-Fatihah. Siti Sarah Raisuddin.“

Sarah meninggalkan empat anak, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6 dan Ayash Affan yang dilahirkan pada 6 Ogos lalu.

Shuib atau nama penuhnya, Shahmira Muhamad berjanji akan menjaga empat cahaya mata perkongsian hidupnya bersama arwah dengan baik.

Shuib penuhi permintaan arwah Siti Sarah untuk dikebumikan bersebelahan dengan kubur ibunya. Foto:JD

“Arwah sempat hadiahkan saya dan anak menerusi kehadiran Ayash Affan yang dilahirkan 6 Ogos lalu. Arwah bergelut untuk menyelamatkan anak kami. Ternyata, Allah lebih menyayanginya.

“Nama Ayash Affan itu sendiri dipilihnya kerana menurut pembacaan arwah, nama berkenaan mengenai seorang pejuang di Gaza,” katanya yang sempat membuat panggilan video buat kali terakhir bersama arwah isterinya yang sedang nazak di hospital.

Kata Shuib, beliau berpeluang membuat panggilan itu dengan bantuan jururawat dan doktor di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM).

“Dengan bantuan jururawat dan doktor, saya membuat panggilan video untuk anak melihat keadaan ibu mereka. Ketika itu nampak juga air mata berlinangan di pipinya seolah-olah memahami apa yang saya dan anak bersembang mengenainya.

“Selepas itu, anak kami sudah tidur. Saya juga sempat ke hospital malam tadi sejurus selepas selesai sesi bacaan Yasin dan doa dianjurkan menerusi aplikasi Zoom Meeting. Bagaimanapun tak dibenarkan bertemu dengannya dan saya berpatah balik ke rumah,” katanya mengenai ‘pertemuan’ akhirnya dengan Sarah sebelum isterinya menutup mata pada pukul 5.13 pagi.

Pemergian Siti Sarah yang terkenal dengan perangai mesra itu ternyata mendapat perhatian ramai. Hari ini rata-rata di media sosial, ramai yang memuat naik ucapan takziah.

Malah ramai yang mencemburui pemergian arwah kerana beliau meninggal selepas melahirkan zuriat dan meninggal kerana wabak serta pemergiannya dalam reda suami.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif  Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri menerusi Facebook hari ini sempat berkongsi tentang kebaikan arwah.

Beliau yang terkejut mendapat berita kematian Siti Sarah membuka cerita bahawa sebelum raya haji lepas, arwah ada menghubunginya untuk mengikuti program korban di Gaza.

“Masa tu saya terkejut bila beliau maklumkan nak korbankan seekor lembu dengan harga belasan ribu ringgit, bukan satu bahagian saja, seolah beliau sedang mengejar memberatkan timbangan amal kebaikannya yang terakhir.

“Selepas itu, beliau kerap berhubung dan bertanya tentang keadaan saudara-saudara kita di Palestin.  Rupanya Allah takdirkan, nyawa beliau diambil dalam keadaan beliau memikirkan umat, peduli dengan nasib mereka malah telah didoakan ratusan penduduk di sini yang merasa daging pada tahun ini.

“Beruntunglah dikau, diberi syahid sambil didoakan ratusan keluarga syuhada akhirat di bumi berkat.  Semoga engkau tenang di sana. Al-Fatihah,” tulisnya.

Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Sarah tidak sedarkan diri dan masih bertarung nyawa akibat Covid-19 selepas lebih 48 jam ditidurkan.

Siti Sarah terpaksa ditidurkan dan melahirkan bayi lelaki, Ayash Affan melalui pembedahan tanpa sedar, jam 5 petang pada Jumaat (6 Ogos) lalu.

Jumaat lalu, paras oksigen jatuh sehingga 40 peratus, kemudiannya meningkat 77 peratus pada jam 2 pagi, namun menunjukkan perkembangan positif meningkat sehingga 85 peratus, kelmarin.

Pada 27 Julai lalu, Siti Sarah mengesahkan dirinya dan keluarga positif Co vid-19. Bagaimanapun, Shuib bersama anak-anak disahkan negatif selepas melakukan kuarantin kendiri selama 14 hari.

-BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply