Oleh Sarfarizmal bin Saad

BAYANGKAN jika Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik ‘offer’ dari Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 13 Ogos lalu, mungkin beliau sudah menjadi setaraf Menteri Kanan Persekutuan.

Bahkah, jika berlaku tawar-menawar, Anwar yang dikenali dengan gelaran ‘Pak Syeikh’ dikatakan berpeluang mendapat lebih daripada itu.

Namun ahli Parlimen Port Dickson mengambil keputusan untuk berkeras dan menonjolkan egoisnya kepada umum. Dia menolak cadangan kerjasama rentas parti yang dicadangkan. Ini merupakan cadangan kedua seumpamanya kerana pernah dilontar oleh Tun Mahathir Mohamad sebelum ini.

Sekiranya Anwar memilih untuk meruntuhkan sedikit tembok egonya dan menerima tawaran itu, pada kira-kira sifir politik dia masih berpeluang meminta jawatan Timbalan Perdana Menteri 2.

Jawatan berkenaan adalah di bawah budibicara seorang Perdana Menteri sahaja jika ia mahukan.

Kenapa tidak! seorang Perdana Menteri yang tersepit boleh sahaja menimbangkan cadangan berkenaan selagi mana ia membawa majoriti sokongan dan membentuk keabsahan terhadap seseorang Perdana Menteri.

Sebenarnya tawaran yang dibuat oleh Muhyiddin pada hari Jumaat tersebut juga satu anak tangga untuk Anwar kembali memegang kuasa dalam kerajaan. Malah, ia sekali gus mencatat sejarah wujudnya sebuah kerajaan rentas parti yang dibelakangnya juga mendapat sokongan parti DAP. Bahkan, DAP sendiri berpeluang meluaskan pengaruh dalam kelompok Melayu.

Namun, takdir telah menentukan Anwar telah memilih jalan yang salah. Mungkin beliau mahu menunjukkan kepada rakyat betapa dirinya lebih mementingkan nasib rakyat dan tidak memikirkan soal jawatan.

Tindakan melulu Anwar menolak kerjasama itu juga telah menyebabkan peluang PKR dan DAP menyekat pengaruh UMNO dan kleptokrat makin gagal.

Berikutan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO malam semalam untuk memilih Datuk Ismail Sabri untuk menjadi calon Perdana Menteri dan dikatakan mendapat restu Presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Anwar dijangka hanya sekadar mampu melihat impiannya dari kejauhan.

Kejayaan ahli Parlimen Bera mendapat sekurang-kurang 115 sokongan menyaksikan peluang Anwar untuk mengharapkan bantuan anak didiknya, Zahid mendapat sokongan mungkin tidak kesampaian dan gagal direalisasikan.

Malangnya Pak Syeikh sekali lagi hanya dilihat banyak pihak kekal ‘PM tepi’ manakala Ismail pula bakal mengulangi semula kata-kata ahli Parlimen Port Dickson: ‘I got the number.”

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here