REDUAN (berdiri, kanan) antara tonggak kejayaan Selangor merampas semula Piala Malaysia daripada Singapura pada 1978.

TANGGAL 20 Ogos 2021 – genap 100 tahun atau seabad usia pertandingan Piala Malaysia yang dijalankan secara tahunan.

Trofi ini merupakan sumbangan nakhoda Her Majesty Ship (HMS) Malaya, HT Buller sebagai tanda terima kasih atas layanan Negeri-negeri Melayu Bersekutu ketika kapal itu berlabuh di Tanah Melayu dan Singapura, tujuh bulan sebelumnya.

Siri kejohanan bola sepak kebangsaan berprestij yang dikatakan antara tertua di Asia ini pernah dikenali sebagai Piala HMS Malaya atau Piala Malaya dari 1921 hingga 1966 dan mulai 1967, dinamakan semula dengan Piala Malaysia.

Pertandingannya pernah terhenti gara-gara meletusnya Perang Dunia Kedua disusuli pendudukan tentera Jepun sebelum Pentadbiran Tentera Britain mengambil alih Tanah Melayu dan Singapura dari 1942 hingga 1947.

Pandemik Covid-19 membatalkan pertandingan Piala Malaysia 2020 yang baru hendak memasuki pusingan suku akhir setelah format liga berkumpulan awal seperti tradisinya diubah kepada kalah singkir sahaja.

Siri pertama Piala HMS Malaya dianjurkan oleh Kelab Selangor dengan perlawanan sulungnya tanggal 20 Ogos 1921 menyaksikan Selangor menewaskan Pulau Pinang 5-1 di depan 5,000 penonton di Kuala Lumpur.

Namun Singapura yang muncul juara pertama selepas menundukkan Selangor 2-1 di Padang Kelab Selangor (kini Dataran Merdeka), Kuala Lumpur dalam perlawanan akhir 1 Oktober 1921.

Setiap pemain Singapura iaitu Larkin, Wheatley, Gale, Chee Lim, Phillips, Cushway, Roy Smith, Theo Leijssius, Lingard, Jamieson, Moss dan Power, turut dihadiahkan lencana emas.

Jamieson dan Moss menjaringkan dua gol pelawat pada minit ke-25 dan 55 biarpun tuan rumah sempat menyamakan kedudukan menerusi FJM Wilkins.

Penyerang terbilang negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari merupakan antara pemain paling banyak yang memenangi Piala Malaysia iaitu 10 kali sinonim dengan nombor jersi kegemarannya, pada 1972, 1973, 1975, 1976, 1978, 1979, 1981, 1982, 1984 dan 1986.

Reduan Abdullah, 69, bekas rakan sepasukannya dengan Selangor dan Malaysia yang meraih tujuh pingat kejuaraan Piala Malaysia (1973, 1976, 1978, 1979, 1981, 1982 dan 1984) namun bersara pada 1986, mengimbas antara memori emas itu, kepada BebasNews:

“Final 1973 antara tiga edisi Piala Malaysia yang paling saya kenang. Dilatih (Allahyarham) Abdullah Yeop Noordin, kami menewaskan Terengganu 2-1. Selangor diperkuatkan tonggak Sukan Olimpik Munich 1972 seperti (mendiang) Datuk M. Chandran, (Datuk) Soh Chin Aun, Bahwandi Hiralal dan Abd. Rahim Abdullah.

“Saya yang baru kali pertama main final Piala Malaysia, mendapat banyak tunjuk ajar mereka dan jadi bertambah yakin dalam beraksi di padang – hilanglah banyak rasa gementarnya,” kata perantara yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 1977 ini.

PIALA HMS Malaya sumbangan kapten kapal Britain, HT Buller.

PIALA MALAYSIA

 

Detik kedua terhebat ialah apabila mengalahkan Singapura 4-2 setelah Selangor ketinggalan 2-0 pada final 1978 (minit ke-33 dan 34), kata Reduan yang kini Pengarah Teknikal UiTM FC – sebuah pasukan Liga Super 2021.

“Lawan sebuah pasukan negara yang berpengalaman antarabangsa namun kebanyakan tonggak Selangor juga ialah pemain kebangsaan. Menentang Singapura sentiasa menjadi perlawanan yang dinanti-nantikan para peminat bola sepak tanah air. Stadium Merdeka sentiasa sesak bila tiba finalnya.

“Antara empat final menentang Singapura (termasuk 1976, 1979 dan 1981) itulah yang terbaik dalam karier saya. Satu epik bola sepak. Munculnya perlawanan Veteran Piala Sultan Selangor (sejak 2001), aura itu bagaikan hidup semula apabila berjumpa dengan ‘musuh lama’ di padang,” katanya.

Selangor membariskan Rashid Hasan sebelum digantikan R. Arumugam, Khalid Ali, (Datuk) Santokh Singh, Chin Aun, Kamarudin Abdullah, Reduan, Yip Chee Keong, John Engkatesoo, Rameli Junit, Mokhtar dan Abdullah Ali.

Mewakili Singapura ialah Edmund Wee, Syed Mutalib Haron, Jai Prakash, Hasli Ibrahim, S. Rajagopal, Samad Allapitchay, Zainal Abidin Manan, Hashim Hosni, Quah Kim Song, Mohamed Noh Hussein dan Dollah Kassim.

“Menewaskan Pahang 3-1 ialah satu lagi final Piala Malaysia yang turut masih berbekas dalam ingatan saya. Tahun 1984 itu juga Selangor muncul juara Liga dan Piala Sumbangsih Sultan Ahmad Shah, pembuka tirai musim berikutnya.

“Sebagai ganjaran kejayaan, pasukan Selangor dibawa melancong dan menyaksikan Sukan Olimpik Los Angeles 1984,” kata bekas penolong jurulatih Harimau Malaya dari 2014 hingga 2015 ini.

ERA kejaguhan Merah Kuning pada 1984 yang turut menjuarai Liga (trofi kiri). Reduan (depan, kiri).

Agak terkilan buat Reduan ialah kejaguhan Selangor di arena tempatan, tidak berpeluang untuk cuba dipertaruhkan ke peringkat lebih tinggi seperti saingan antara kelab Asia Tenggara mahupun Asia dalam era 70-an dan 80-an.

Dengan kualiti pemain yang setaraf pasukan kebangsaan Malaysia malah tanpa kebanjiran pemain berdarah kacukan, import atau naturalisasi, Merah Kuning ketika itu mungkin mampu mencapai lebih baik daripada yang dinikmati Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam Liga Juara Asia dan Piala AFC.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here