GAMBAR: nstp.

Oleh Muhd. Nur Iman Ramli

HARI ini kita sudah mendengar golongan divaksin (vaccinated) dua dos lengkap bakal beransur-ansur diberikan kebebasan seperti yang dinikmati sebelum wujudnya COVID-19. Perdana Menteri Sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah mengumumkan tambahan kemudahan kepada penerima lengkap dua dos vaksin COVID-19, yang antaranya melibatkan aktiviti ‘dine-in’ di premis-premis jualan makanan yang kini dibenarkan bagi negeri-negeri fasa 1 PPN.

Manakala golongan tidak divaksin (unvaccinated) akan mula sedar mereka bakal berdepan pelbagai sekatan, walau pun untuk melakukan aktiviti semudah masuk ke pasar raya, apatah lagi untuk ke luar negara. Golongan tidak divaksin ini mungkin terdiri daripada mereka yang mahu divaksin, tetapi belum mendapat atau membuat janji temu vaksinasi atas sebab-sebab tertentu. Ada juga yang tidak mahu terus divaksin atas alasan seperti fobia terhadap jarum (trypanophobia) atau lebih membimbangkan, terkeliru dengan teori-teori konspirasi seperti golongan anti-vaksin.

Pada 19 Ogos 2021, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) mengeluarkan kenyataan, sebanyak 50.2%, daripada populasi dewasa negara telah menerima dua dos lengkap vaksin COVID-1. Manakala 75.3% daripadanya pula menerima sekurang-kurangnya satu dos. Atas kesedaran dan rasa tanggungjawab, golongan lengkap divaksin dua dos dilihat masih berhati-hati untuk menjalankan aktiviti di luar rumah kerana kes harian masih tinggi.

Semua data yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan pengambilan vaksin mampu mengekang jangkitan COVID-19. Mereka yang enggan divaksin, terutamanya golongan anti-vaksin mendedahkan diri kepada risiko besar dan berbahaya. Virus memerlukan manusia untuk dijangkiti supaya ia dapat membiak. Semakin ramai kelompok manusia yang lemah dan terdedah kepada jangkitan, lebih mudah untuk virus bermutasi.

Golongan ini juga didapati tidak begitu gerun dengan apa jua virus, justeru tidak berminat untuk mengambil sebarang jenis vaksin. Apa yang dibimbangkan adalah mereka tidak serius mengambil langkah berjaga-jaga pula, kerana tidak percaya akan bahaya virus COVID-19 itu sendiri.

Memang benar, tiada kesalahan dalam peruntukan Akta 342 akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi individu yang tidak mahu mengambil suntikan vaksin COVID-19. Vaksin diambil secara sukarela oleh rakyat Malaysia atas kesedaran dan tanggungjawab kepada diri, keluarga dan masyarakat.

Walau pun tidak boleh dipaksa, kita berharap golongan enggan divaksin tidak terlalu mementingkan diri sendiri. Mereka masih boleh menyumbang kepada usaha menurunkan kes penularan COVID-19, dengan cara mengamalkan sikap seperti mereka yang divaksin – jaga SOP dan hormati orang lain.

Walau apa jua dakyah golongan anti-vaksin, contohnya mengatakan betapa gerunnya jika vaksin-vaksin diragui disuntik ke dalam tubuh, kita khuatir suatu masa nanti mereka pula akan menjadi golongan yang ‘digeruni dan dihindari.’ Apa jadi sekiranya kita sudah hampir kepada sifar kes jangkitan, tetapi golongan enggan divaksin ‘merosakkan’ semuanya?

Oleh itu, akan wujud pelbagai sekatan untuk tidak membiarkan golongan tidak divaksin bergerak secara berleluasa. Keadaan tidak akan menjadi lebih mudah kepada golongan tersebut. Sebelum sebarang urusan harian biasa menjadi lebih ‘sukar, lambat dan mahal’, maka sebaiknya mereka mula memikirkan kepayahan yang lebih besar jika tidak divaksin, bukan hanya kepada diri sendiri, bahkan insan yang di bawah tanggungan mereka.

Seperti mana golongan anti-vaksin mahukan kebebasan menolak vaksinasi dan dilindungi undang-undang anti-diskriminasi, begitu jugalah golongan divaksin mahukan kebebasan daripada ancaman COVID-19, supaya mereka bebas semula mencari rezeki, bebas pulang menjenguk ibu bapa di kampung, dan bebas daripada ketakutan kehilangan nyawa sendiri dan keluarga angkara COVID-19.

Timbul persoalan, adakah akan munculnya era ‘kasta’ bentuk baharu yang akan mengasingkan atau mendiskriminasikan golongan tidak divaksin daripada yang divaksin? Mungkin ada yang bakal merungut apabila tempat-tempat tumpuan awam bakal memperkenalkan tempat duduk atau laluan VIP sahaja kepada golongan divaksin. Untuk menikmati kemudahan lorong hijau (green-lane), seseorang yang mahu ke luar negara mungkin akan diminta untuk mempamerkan sijil vaksinasi digital. Dengan itu, golongan tidak divaksin akan mendapati diri mereka semakin terpinggir dalam gerak usaha negara dan juga dunia, yang mahu segera keluar dari cengkaman COVID-19.

Untuk mengatakan ia suatu bentuk kasta baharu mungkin agak keras. Mana-mana pihak sekali pun tidak patut secara melulu mengambil sebarang langkah mendiskriminasikan golongan yang masih belum atau menolak vaksinasi. Penerangan dan pendidikan mengenai manfaat vaksinasi perlu diteruskan. Hak dan kebebasan setiap individu perlu dihormati dan dilindungi pada setiap masa.

Tetapi sekatan-sekatan mungkin tidak dapat dielakkan sekiranya negara mahu mencapai pemulihan maksimum. Mudah untuk mengenal pasti golongan perokok sejurus mereka menyalakan rokok. Yang tahu tanggungjawab dan menghormati orang lain akan terus menuju ke ruang merokok disediakan. Bagaimana pula kaedah mengenal pasti orang yang tidak divaksin sekiranya tiada sekatan dan pengasingan?

Kita masih belum merdeka dari cengkaman COVID-19. Dalam kehidupan ‘separa normal’ ini, norma-norma biasa yang kita anggap tidaklah begitu bermakna suatu masa dulu kini dirasakan begitu berharga. Nikmat kebebasan tersebut ‘dirampas’ sudah hampir dua tahun. Sempena Bulan Kemerdekaan ini, sebarang usaha untuk membebaskan negara dari COVID-19 seperti program vaksinasi seharusnya disambut baik seluruh rakyat Malaysia.

 

Muhd. Nur Iman Bin Ramli ialah Eksekutif Persidangan, IAIS Malaysia

 

 

 

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here