SATU daripada kulit album Elly Kassim. / Kredit Reff's Studio.

Oleh Ahmad Abd Hamid

PADA awal pagi Rabu 25 Ogos, pukul 3.48 pagi waktu tempatan, Elly Kassim, penyanyi Minang tersohor Indonesia, pergi menyahut seruan Ilahi pada usia 76 tahun akibat komplikasi radang usus yang telah merebak ke organ lain. Hanya sebulan sahaja lagi Allahyarham bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke 77 pada 27 September.

Allahyarham meninggal di Pusat Perubatan Metropolitan (Metropolitan Medical Centre) atau MMC di Kuningan, Jakarta. Pemergian Elly adalah ibarat padamnya sebutir bintang seni, khususnya di Indonesia, juga di Malaysia.

Suami Allahyarham yang juga berdarah Minang, Nasif Bazir, terlebih dahulu menghadap Ilahi pada tahun 2020, hanya setahun lalu.

Nama Elly Kassim terpahat sebagai penyanyi lagu Minang yang tersohor bukan sahaja di Tanah Minang, Sumatera dan Indonesia keseluruhannya, tetapi juga di Malaysia. Lagu ‘Ayam Den Lapeh’ (Ayamku Lepas) nyanyiannya kekal popular sehingga kini, malah pernah dirakamkan oleh penyanyi tempatan seperti Anita Sarawak.

Elly yang dilahirkan di Tiku, Sumatera Barat pada 27 September 1944, muncul mencipta nama di zaman kegemilangan pop melanda Singapura, Malaysia dan Indonesia pada tahun 1960-an. Antara penyanyi seangkatan dengannya ialah Titiek Puspa, Lilis Suriani, Ernie Johan, Teti Kadi, Alfian dan Tia Ramon.

Mungkin kerana beliau adalah anak Minang, Allahyarham lebih menumpukan kepada lagu-lagu pop Minang. Penyanyi lain seperti Erni Johan juga ada merakamkan lagu Minang tetapi Elly dianggap ‘ratu’ lagu Minang.

Allahyarham menghasilkan dalam lingkungan 100 buah lagu Minang. Ini satu pencapaian sangat menggalakkan. Namanya terkenal dan nyanyiannya dinikmati di banyak negara Asean, termasuk Malaysia.

Penyanyi Indonesia memang tidak asing di Malaysia pada zaman kegemilangan pop. Kehadiran penyanyi negara itu diterima baik dan ramai artis seberang mengadakan persembahan di sini.

Antara gambar terbaharu Elly Kassim sebelum pemergiannya.

Lantaran itulah nama Elly Kassim juga bertapak Malaysia dan lagu-lagu Minangnya diminati bukan hanya sekadar di kalangan masyarakat Minang. ‘Ayam Den Lapeh’ dianggap lagu top yang tak kering dek panas tak lapuk dek hujan.

Elly bukan sahaja menjadi kebanggaan ahli keluarga dan sahabat handai seluruh kampung kelahirannya, tetapi juga menjadi legenda pujaan masyarakat Minang kerana bakti jasanya mengangkat martabat masyarakat tersebut ke persada antarabangsa melalui seni.

Memetik Kompas, persatuan Minang Diaspora Network Global menyifatkan Allahyarham Elly sebagai seorang legenda yang menjadi kebanggaan masyarakat Miang sedunia. Jasanya sangat besar dan kehilangannya sangat dirasai.

Menurut anak saudara Allahyarham, rasa bangga, kasih sayang dan ingatan warga kampung tidak pernah pudar terhadap Elly. Jika da sahaja majlis atau keramaian di kampung, pasti lagu nyanyian Elly akan kedengaran berkumandang.

Sebagai seorang artis yang berpandangan jauh, Elly tidak hanya bergiat dalam seni tetapi juga menceburkan diri dalam dunia perniagaan perancang perkahwinan atau wedding planner.

Kerana menguruskan perniagaan ini, Elly juga memilik kediaman di Jakarta di Pulogadung, Jakarta Timur, selain di kampung halaman di Sumatera. Ini untuk memudahkan Allahyarham menguruskan perniagaan di kota raya besar itu di mana pelanggannya lebih ramai.

Namun sekali lagi, seperti juga dunia seninya yang diwarnai lagu-lagu Minang, perniagaannya juga bertumpu kepada perancang perkahwinan cara masyarakat Minang. Jelas jiwa Minang sangat menebal dalam diri Allahyarham.

Kerana populariti namanya, perniagaan wedding planner Elly juga dikenali ramai, terutama di kalangan orang kenamaan atau VIP dan juga kelompok artis. Antara artis yang mendapatkan khidmatnya ialah Nikita Willy, Atar Halilintar dan Aurel Hermansyah.

Difahamkan, tugas terakhir Elly sebagai wedding planner ialah pada minggu lalu. Allahyarham menguruskan perkahwinan adat Minangkabau pasangan artis Lesti Kejora dan Rizky Billar.

Sekalipun Elly Kassim telah pergi, namanya tetap diingat, khususnya oleh peminat lagu Minang.  Lagu-lagunya akan tetap hidup subur untuk generasi kini dan akan datang sebagai khazanah seni yang sangat berharga.

Untuk rekod, selain lagu terkenal Ayam Den Lapeh, banyak lagi lagu Elly yang popular. Antaranya Mudiak Arau (Mudik Arau), Kasiah Tak Sampai (Kasih Tak Sampai), Tinggallah Kampuang (Tinggallah Kampung), Cinto Ka Uda (Cinta Pada Abang), Sansaro Badan (Sengsara Badan) dan Cogok Mencogok (Jenguk Menjenguk).

Khazanah peninggalan seni inilah yang akan menjadi kenangan berkekalan. Semoga Allah mencuri rahmat ke atas roh Allahyarham Elly Kassim dan diampuni dosa.

-BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply