PENGERUSI Jawatankuasa Bebas Pemilihan MOM, Jaharbedeen Yunoos dan Michael Tang (kiri) membuka sampul pencalonan di Wisma MOM, 25 Ogos 2021.

JELAS Abdul Azim Mohd. Zabidi sudah terkena perangkap dan terpaksa mengharungi ranjau dalam perhitungan merebut jawatan Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) apabila berhadapan tiga lagi pencabar dalam pemilihan sempena perhimpunan agung ke-40, 4 September 2021.

Cerita yang menyebut bahawa timbalan presiden sejak 2018 itu disokong bertanding dengan mandat memegang jawatan setiausaha agung adalah kepura-puraan sahaja. Penyandang jawatan itu Mohd. Nazifuddin Najib masih dikatakan mendapat sokongan ‘orang atasan’ untuk terus mempertahankan  jawatan. Yang pelik pula kenapa ada calon ketiga dan keempat?

Dua lagi calon ialah Melvin Chia See Oon dari Persekutuan Snuker & Biliard Malaysia dan Megat Fairuz Khairuddin (Pelayaran).

Ada pihak memberi dua anggapan; calon tambahan itu untuk memastikan Abdul Azim mendapat peratusan undi rendah berbanding Nazifuddin yang dikatakan masih dapat mengekalkan sokongan.

Ada pula lebih yakin bahawa calon ketiga atau keempat itu sengaja ditonjolkan agar Abdul Azim tidak ‘menang percuma’ jika unsur teknikal wujud kemudian memandangkan Nazifuddin buat masa ini berhadapan masalah dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

ABDUL AZIM MOHD. ZABIDI

Pada pemilihan Mei 2018, Abdul Azim menyingkirkan Megat Zulkarnain Omardin dari Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia dengan kelebihan 11 undi untuk menduduki jawatan timbalan presiden. Kemudian kedua-dua pesaing itu dikatakan bermasam muka.

Berdasarkan keadaan buat masa sekarang, Abdul Azim perlu menang untuk mengekalkan ‘kehadiran’ dalam pergerakan Olimpik kebangsaan; seterusnya berpeluang menghirup kedudukan lebih baik dalam perhimpunan akan datang.

Nazifuddin menumbangkan Low Beng Choo dengan satu undi dalam pemilihan 2018; itu pun banyak menerusi sokongan ‘orang berpengaruh’ termasuk bekas setiausaha berpengalaman dan dihormati, Sieh Kok Chi.

MOHD. NASIR ALI

Bagi naib presiden yang mengehendaki lima orang termasuk seorang wanita, lapan calon bersaing. Ia dilihat sebagai perhitungan terbuka tetapi apakah benar calon terdahulu masih relevan? Antara ‘orang lama: yang bertanding ialah bekas pegawai kanan kerajaan, Mohamad Noor Abdul Rahim, bekas pelari pecut 100 meter Mumtaz Jaffar dan Dr. Shamala Subramaniam (hoki). Mahinda Valllipuram (kriket) yang sibuk di luar negara dan bekas pegawai angkat berat Ong Poh Eng enggan bertanding.

Orang korporat, Mohd. Nasir Ali (angkat berat) mencuba nasib sebagai penolong bendahari menentang penyandang Amarjit Singh Gill dari basikal. Sebagai individu berpengalaman dalam perniagaan serta ekonomi, Nasir boleh menang lebih-lebih lagi khidmat nasihatnya dalam tabung amanah bagi atlet dan pelbagai pelaburan MOM kelak.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here