Oleh Yusoff Ahmad Shariff

T. GOPALA Krishnan yang dianggap sebagai perintis dunia filem iklan komersial Malaysia meninggal dunia pada Rabu (25 Ogos).

Beliau berusia 80 tahun.

Kematian disahkan oleh anak lelakinya, Robbie Krishnan, lapor The Star.

Menurut Robbie keluarganya hanya menyedari mendiang menghidap kanser pada Sabtu dan kemudian meninggal dunia pada Rabu.

Gopala terkenal dengan puluhan filem komersial terkemuka pada era 1970 hingga 1990an dengan sentuhan emas membentuk imej popular pelbagai jenama, termasuk Malayan Banking, Mild Seven, Dunhill, Benson & Hedges dan Proton Saga.

Robbie mengimbau sebuah filem iklan 1980an yang memaparkan seorang wanita berjalan bersama seekor harimau memasuki bank. Filem komersial itu dihasilkan oleh ayahnya dan sepanjang durasi pembikinan mereka sekeluarga terpaksa berkongsi rumah dengan harimau tersebut.

Gopala juga bertanggungjawab menghasilkan sebahagian besar daripada filem komersial rokok, selain filem iklan Proton Saga yang pertama.

Mendiang telah menghasilkan ratusan filem komersial sepanjang kariernya.

Gopala memulakan kerjayanya di RTM pada 1960an sebelum melanjutkan pelajaran dalam perfileman dan kemudian menceburi lapangan pengiklanan TV pada 1970an.

Syarikat pengeluar filem pertama diusahakan oleh rakyat Malaysia di negara ini dikendalikan oleh Gopala ketika hampir semua yang lain diterajui oleh warga asing, terutama kaum kulit putih.

Bagi penggiat sektor pengiklanan terkemuka Harmandar Singh, nama T. Gopala Krishnan sinonim dengan segala yang terbaik dalam lapangannya. Beliau meletakkan mendiang sebagai pengarah filem iklan terunggul di negara ini pada zamannya.

Gopala meninggalkan seorang isteri, Elizabeth Krishnan, dua anak lelaki, seorang anak perempuan dan lima cucu.

-BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply