ABDUL Azim Mohd. Zabidi (kanan) mencabar Mohd. Nazifuddin Mohd. Najib (dua dari kiri) dalam persaingan empat penjuru Setiausaha Agung MOM. - Foto MOM

TAN Sri Mohamad Norza Zakaria mempertahankan jawatan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi penggal 2021-2025 setelah diisytiharkan menang tanpa bertanding pada sidang akhbar di Wisma MOM, Kuala Lumpur, hari ini.

Menariknya ialah beliau akan mendapat ‘beregu’ baharu dengan kehadiran Datuk Hamidin Mohd. Amin selaku Timbalan Presiden MOM yang juga diumumkan menang tanpa bertanding oleh Pegawai Pemilihan MOM, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos.

Norza yang juga Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Persatuan Polo Diraja Malaysia (RMPA), mula menerajui MOM pada 5 Mei 2018 manakala Hamidin, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), akan menggantikan Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi.

Norza mendapat pencalonan oleh lima persatuan sukan kebangsaan selaku ahli biasa gabungan MOM iaitu BAM, Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA), Persatuan Skuasy Raket Malaysia (SRAM) dan Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC).

Hamidin pula yang baru-baru ini melepaskan jawatan Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), dicalonkan oleh FAM, Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM), Persekutuan Lawan Pedang Malaysia (MFF) dan Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM).

Azim kali ini akan mencabar Datuk Mohd. Nazifuddin Mohd. Najib yang menyandang jawatan Setiausaha Agung MOM sejak penggal 2018-2021, pada sesi pemilihan secara dalam talian sempena agenda ketujuh Perhimpunan Agung MOM di Wisma MOM, 4 September ini.

Nazifuddin dicalonkan dua ahli biasa gabungan MOM iaitu MTBC dan Taekwondo Malaysia (TM-WTF) sementara Azim mendapat pencalonan daripada Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM).

Turut berentap dalam persaingan empat penjuru jawatan berkenaan ialah Melvin Chia See Onn dan Megat Fairuz Khairuddin yang masing-masing dicalonkan oleh Persekutuan Gimnastik Malaysia (PGM) dan Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA).

Persaingan sengit juga dijangka berlaku bagi lima kerusi Naib Presiden MOM dengan satu sekurang-kurangnya bagi wanita apabila lapan calon dinamakan termasuk tiga penyandangnya, Datuk Paduka Mumtaz Jaffar, Prof. Datuk S. Shamala dan Tan Sri Mohamad Noor Abdul Rahim.

Antara yang menyaingi mereka ialah Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin; Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Shahrul Zaman Yahya dan Setiausaha Agung Persekutuan Karate Malaysia (Makaf), Datuk Paduka Nur Azmi Ahmad.

Lain-lain pencabar mereka termasuk Datuk Chong Kim Fatt dan Nik Razeen Adam Daud yang dicalonkan Makaf dan Renang Malaysia (Mas). Dua lagi penyandang Naib Presiden MOM, Datuk Ong Poh Eng dan Mahindra Vallipuram tidak dicalonkan semula.

Turut mempertahankan jawatan Penolong Setiausaha Agung Wanita dan Bendahari MOM secara tanpa bertanding ialah Moira Tan Siew See dan Datuk Ahmad Feisal Ahmad Tajuddin apabila hanya nama mereka yang diumumkan oleh Jahaberdeen.

Persaingan satu lawan satu pula bakal berlaku bagi Penolong Setiausaha Agung Lelaki MOM antara penyandangnya, Chan Foong Keong yang dicabar Syed Zainal Abidin Syed Zain manakala Penolong Bendahari MOM, Datuk Amarjit Singh Gill ditentang Datuk Mohd. Nasir Ali.

Foong Keong dicalonkan oleh Persatuan Pingpong Malaysia (TTAM), Zainal oleh Persekutuan Boling Padang Malaysia (PLBM), Amarjit oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan Nasir oleh Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM).

Kata Jahaberdeen yang dipetik daripada siaran langsung Facebook MOM, “kesemua 20 calon yang bertanding ini telah disemak dan dirujuk dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Insolvensi Malaysia (JIM).

“Sebanyak 34 persatuan sukan kebangsaan (bertaraf ahli biasa MOM) akan memilih pucuk pimpinan penggal 2021-2025 dalam Perhimpunan Agung MOM pukul 9.30 pagi 4 September secara dalam talian manakala ujian simulasinya terlebih dulu dibuat 2 September,” katanya.

List of Qualified Candidates

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here