[VIDEO] Konsert Duo Lagenda – Gandingan mantap Jamal dan M.Nasir

0
668

 

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

 

ADA ketikanya sewaktu menonton konsert penyanyi popular atau baru nak mencipta nama, hati kerap berkata bila nak habis persembahan.

Bila saya  berperasaan begitu, itu petanda pemilihan lagu tidak bersesuaian atau artis yang terlibat tidak ada aura untuk memikat penonton.

Perasaan kurang selesa sedikit pun tidak singgah di sanubari saya sewaktu menonton Konsert Duo Lagenda yang berlangsung di Istana Budaya semalam.

Kenapa? Sebabnya, Datuk Jamal Abdillah, 59,  dan Datuk M.Nasir, 61, yang menjayakan konsert pada pukul 9 malam itu ada kelebihan tersendiri yang tidak ada pada penyanyi lain. Memang bertepatan sekali persembahan selama tiga jam lebih itu dinamakan Konsert Duo Lagenda.

Saya suka kerana konsert yang akan bermula pada 20 hingga 23 Disember ini tidak ada acara ‘membebel’ daripada kedua-dua penyanyi.

Seperti gurau M.Nasir pada malam itu (malam prebiu untuk media), “Dia (Jamal) tak banyak cakap. Saya bisu, jadi kita nyanyi saja,” katanya sebelum mereka melabuh tirai persembahan dengan lagu Ghazal Untuk Rabiah.

Dek sikap tak banyak cakap dan ‘bisu’ itulah penonton dapat menghayati persembahan mereka dengan gembira.

Konsert yang dibawa khas oleh Shahpadu itu membuka tirai persembahan dengan segmen pengenalan menerusi dua lagu dendangan Jamal, Tangis dan Cinta, sebuah lagu yang terdapat dalam album pertamanya dan diikuti dengan lagu Bicara Cinta, ciptaan Datuk Seri Dr Ahmad Nawab.

Kemudian pentas diambil alih pula oleh M.Nasir, yang mendendangkan lagu untuk seorang wanita iaitu Keroncong Untuk Ana. Untuk lagu keduanya M.Nasir akui lagu Hijab Kekasih yang bergenre balada Melayu itu sukar untuk dibawa dek lenggoknya, namun penyanyi yang digelar Sifu Muzik itu berjaya menyampaikannya dengan penuh penghayatan.

Seterusnya, M.Nasir yang tidak lengkap ‘berpakaian’ seperti Jamal itu mendendangkan lagu popularnya, Mustika dan Apokalips.

Biar apa pun orang akan kata, Jamal tetap bangga sewaktu memperkenalkan anak sulungnya Osama Yamani, 17, untuk berkongsi pentas bersama bagi menjayakan segmen Rentas Zaman dengan beberapa medley lagu popularnya seperti Perjalananku, Kau Lupa Janji, Terharu dan Gadis Melayu.

Ternyata kemunculan Osama tidak ‘memalukan’ Jamal kerana pelajar Sekolah Seni Malaysia, Johor Bahru itu memang berbakat besar.

Selepas Osama, Jamal berpasangan pula dengan Cassidy Anderson menerusi lagu Sandarkan Pada Kenangan.

Ternyata pemilihan Jamal yang melihat bakat Cassidy menerusi YouTube tidak salah kerana wanita dari Australia itu mampu mendendangkan lagu bernada tinggi seperti Derita Cinta, lagu Jamal.

Konsert Duo Lagenda ini merupakan platform terbaik untuk Cassidy yang sudah dua tahun menetap di Malaysia untuk mencipta nama dalam bidang seni suara tempatan.

Malah dia juga berpeluang menyanyi bersama M.Nasir menerusi lagu Dua Insan yang merupakan lagu duet penyanyi itu dengan Yunizar Hussein pada era 80-an dulu.

Sebelum persembahan berehat seketika, Jamal kembali ke pentas bersama Osama memperdengarkan lagu Seniman Menangis. Lagu yang penuh bermakna untuk Jamal itu disampaikan dengan iringan petikan gitar oleh anaknya. Melihat persembahan Jamal dapat dikatakan bahawa lagu itu sukar disampaikan oleh penyanyi yang kurang berpengalaman.

Selepas berehat seketika M.Nasir tampil memperdengarkan lagu Hati Emas, Gerhana dan Perjuangan.

Seterusnya Jamal tampil dengan persalinan pakaian kedua iaitu sut merah menerusi lagu medley Cenderawasih, Kerlingan dan Senandung Kasih.

Sebelum Jamal berduet dengan M.Nasir untuk lagu Kiambang, Malam dan Kepadamu Kekasih serta Mantera Semerah Padi,  mereka sempat berkongsi lagu kegemaran masing-masing.

Menariknya, ramai sedia maklum Raja Pop dan Sifu Muzik ini jarang sekali menyanyikan lagu Inggeris di pertunjukan pentas. Malam itu M.Nasir memperdengarkan sebaris dua lagu

What I Gotta Do To Make You Love Me dendangan asal oleh Elton John dan Jamal pula menunjuk kebolehan dengan memperdengarkan lagu Honesty nyanyian Billy Joel. Biarpun hanya sebaris ayat tapi sedap didengar. Mungkin dilain ketika, mereka perlu selit sebuah lagu Inggeris dendangan  artis kegemaran masing-masing.

Bak kata Jamal, lagu-lagu dendangan M.Nasir ini seperti lagu Negaraku kerana semua orang hafal dan salah satu daripada Ghazal Untuk Rabiah yang merupakan penutup persembahan pada malam itu.

Konsert pada malam itu diiringi oleh 21 pemuzik profesional daripada Orkestra Simfoni Kebangsaan di bawah pimpinan pengarah muzik Raja Shah Raji Sari.

Konsert Duo Lagenda juga turut menampilkan isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah

Mohamad Ali pada malam 22 Disember ini. Beliau akan menggesek biola mengiringi Jamal dan M.Nasir mendendangkan lagu Gubahanku bagi mengumpul dana untuk Tabung Kasih Malaysia.

 

-BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here