GAMBAR: NSTP.

Oleh Razak Rashid Ghows

PELANTIKAN Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) menunjukkan kerajaan kembali semula ke era pentadbiran lama era bekas perdana menteri itu.

Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub mengekalkan sebahagian besar anggota kabinet lama dan melantik tiga pemimpin parti sebagai duta khas bertaraf menteri.

Kesemua pelantikan tersebut tidak mencerminkan pembaharuan dalam pentadbiran beliau.

Sepatutnya Ismail memberi nafas baharu kepada barisan kepimpinan negara berikutan kegagalan kerajaan PN di bawah Muhyiddin.

Semua pihak termasuk Muhyiddin hendaklah memberi keyakinan sepenuhnya kepada Ismail untuk melakukan perubahan demi kepentingan negara dan rakyat.

Dua isu utama yang perlu ditangani meliputi usaha untuk menangani kes Covid-19 dan pemulihan ekonomi.

Kedua-dua isu berkenaan didapati gagal ditangani dengan efektif oleh kerajaan PN pimpinan Muhyiddin.

Justeru tidak wajar bagi pentadbiran baharu ini mematah balik kepada pentadbiran lama dengan melantik orang sama yang gagal ke jawatan penting.

Seeloknya orang baharu yang ada visi dan tidak mempunyai kepentingan politik dilantik agar tindakannya lebih objektif, tanpa bersandarkan agenda tertentu.

Sebelum ini bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menyatakan hasrat untuk mengetuai majlis pemulihan negara bagi membantu kerajaan memulihkan ekonomi dan mengurangkan kes Covid.

Malah Dr Mahathir juga dengan rela hati sanggup keluar dari politik bagi memberi jasanya membantu MPN.

Tindakan melantik Muhyiddin sudah pastinya menimbulkan tanda tanya daripada pelbagai pihak.

Semalam Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail yang mempersoalkan pelantikan Muhyiddin, berkata ia akan menambahkan lapisan birokrasi yang tidak perlu kepada usaha pemulihan negara.

Saifuddin juga menyoal sekiranya langkah ini bertujuan semata-mata untuk memastikan kelangsungan politik Ismail Sabri.

Tegasnya, dasar Muhyiddin ketika menjadi perdana menteri jelas gagal membendung wabak Covid-19.

Beliau bimbang ada kecenderungan mantan PM akan cuba mempertahankan legasinya dan bukan menilainya secara objektif.

Ismail sebelum ini pernah menawarkan pembangkang untuk menjadi anggota MPN tetapi
Pakatan Harapan masih belum membuat keputusan mengenai perkara itu, tetapi para pemimpin individu telah menyatakan keterbukaan untuk menyertai MPN, hanya jika ia bukan sekadar ‘pak turut’.

Pelantikan Muhyiddin mungkin merencatkan usaha mendapatkan sokongan bipartisan terhadap MPN.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here