TANGKAP layar borang atas talian oleh agensi bernama FORCARE yang konon mengumpul maklumat anak kematian ibu bapa akibat wabak Covid-19.
Oleh A. AMRI

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyangkal konon ada pengumpulan maklumat mengenai anak kematian ibu bapa akibat kes Covid-19.

Demikian makluman daripada Pasukan Respons Pantas di Kementerian Komunikasi dan Multimedia susulan tular mesej berhubung perkara tersebut hari ini menerusi aplikasi WhatsApp.

“Pihak kementerian berkenaan juga menafikan kesahihan mesej dan borang Google dalam pautan https://forms.gle/3TcjC9f97fUtKC59 dilampirkan itu,” katanya melalui kenyataan di sini.

Hebahan palsu itu menyatakan konon ada sebuah badan yang dikenali sebagai FORCARE sedang membantu kementerian mengumpul data tentang anak yatim mangsa wabak tersebut.

Ia malahan mendakwa terdapat beberapa bentuk bantuan yang kononnya bakal disediakan oleh pihak kementerian serta memohon agar hebahan berkenaan dikongsikan secara meluas.

Mereka yang menelusuri borang atas talian itu akan diminta menjawab 19 soalan termasuklah nama waris, tempat kematian, nombor telefon, bilangan adik-beradik dan alamat kediaman.

Orang ramai ujar pasukan tersebut, disarankan supaya tidak mudah mempercayai atau pun berkongsi maklumat diterima itu daripada sumber luar yang tidak ditentusahkan kesahihannya.

Sebaliknya tambah kenyataan itu, para pengguna perlu sentiasa membuat semakan menerusi laman sosial rasmi kementerian terbabit bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan terkini.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here