PENGGUNA tidak perlu bimbang jika lupa daftar keluar MySejahtera kerana ia akan dikemas kini apabila mendaftar masuk ke premis seterusnya. – Ihsan Kementerian Kesihatan
Oleh A. AMRI

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan menafikan kononnya ada denda sebanyak RM1,500 akan dikenakan kepada individu yang terlupa klik ‘check-out’ atau ‘daftar keluar’ MySejahtera.

Menurut Pasukan Respons Pantas, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, infografik yang tular mengenai perkara itu adalah tidak benar dan telah pun dinafikan oleh pihak berkenaan.

“Kementerian tersebut sudah menafikan kesahihan hantaran itu yang konon hukuman denda RM1,500 terhadap mereka yang tidak klik butang berkenaan,” katanya menerusi kenyataan.

Butang khas itu baru sahaja ditambah Kementerian Kesihatan dalam aplikasi MySejahtera lewat kelmarin sebagai indikator daftar keluar setelah individu meninggalkan lokasi atau premis.

Pasukan tersebut memaklumkan bahawa pihak kementerian berkenaan menjelaskan tiada pun denda RM1,500 sebagaimana disebar hantaran infografik yang tular melalui media sosial.

Sebaliknya, jika individu itu terlupa berbuat demikian, mereka tidak perlu bimbang kerana akan secara automatik didaftar keluar apabila mula mendaftar masuk di lokasi yang baharu pula.

Ia susulan ramai tidak sedar kedudukan butang ‘check-out’ diletakkan di kotak khas warna biru bahagian bawah yang akan terus muncul pada paparan status selepas berjaya ‘check-in’.

Justeru, pengguna disaran agar tidak berkongsi maklumat tidak sahih yang boleh mencetuskan kekeliruan masyarakat, tetapi buat semakan menerusi media rasmi kementerian terbabit.

Makluman mengenai kewujudan butang khusus itu turut dimuat naik menerusi laman sosial rasmi Kementerian Kesihatan dalam usaha menambah baik pengesanan kontak kes Covid-19.

Hantaran itu menerima reaksi luar biasa dalam kalangan warganet tempatan dengan meraih lebih 14,000 tanda suka selain dikongsi hampri 4,000 kali dan sekitar 2,400 komen netizen.

Khamis lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin telah memaklumkan ada beberapa lagi penambahbaikan dalam MySejahtera termasuk disediakan butang baharu untuk daftar keluar.

“Setelah meninggalkan sesuatu tempat, ingatlah untuk ‘check-out’ dengan anda hanya perlu tekan butang tanpa perlu imbas kod QR,” jelasnya menerusi ciapan dalam akaun Twitter.

MySejahtera dicipta tiga pegawai perubatan dari Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan sebelum dilancarkan menteri terdahulu, Datuk Seri Dr. Adham Baba pada 2020.

Aplikasi yang dibangunkan khusus untuk pengurusan wabak Covid-19 di negara ini turut memenangi kategori teknologi ketika sambutan Hari Inovasi kementerian itu pada 26 Mac lalu

Ia boleh dimuat turun mudah secara percuma daripada pautan Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia selain Apple App Store, Google Play Store dan dan Huawei App Gallery.

PEMAKLUMAN BERITA PALSU 4 SEPTEMBER 2021 SIARAN 9.00 MALAM

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here