Oleh Ruhanie Ahmad

SESEBUAH parti pemerintah mempunyai jati diri politiknya yang tersendiri. Ia menjadi teras kepada gagasan negara (the idea of the state) dalam pembentukan dasar, memupuk perpaduan rakyat, memangkinkan kemajuan ekonomi, serta menjamin kelangsungan dan memelihara keselamatan nasionalnya.

Jati diri dan gagasan negara Kerajaan Perikatan pimpinan Tunku Abdul Rahman Putera al-Haj, sejak Merdeka pada tahun 1957 hingga tercetusnya konflik etnik pada tahun 1969, adalah berpaksikan prinsip setia kawan antara kaum, semangat kontrak sosial dan segala peruntukan mengenai jati diri nasional dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jati diri dan idea negara Kerajaan Perikatan mengiktiraf hakikat Peribumi sebagai bangsa watan dan Islam sebagai agama terbesarnya. Semua bangsa yang memperjuangkan kemerdekaan negara setia dengan ketentuan ini.

Ia menghasilkan perpaduan kaum, keharmonian agama, ketenteraman, keamanan dan keselamatan nasional hingga setahun selepas pembentukan Malaysia pada tahun 1963.

Mulai tahun 1964, jati diri dan idea negara Kerajaan Perikatan diancam oleh jati diri dan gagasan negara alternatif yang diperjuangkan PAP Singapura pimpinan Lee Kuan Yew serta parti politik sekutunya.

Lee Kuan Yew dan sekutunya memperjuangkan jati diri dan gagasan negara ini berasaskan konsep Malaysian Malaysia yang kini diperjuangkan DAP.

Jati diri dan gagasan negara Malaysian Malaysia jauh bezanya dengan jati diri dan gagasan negara Perikatan.

Pertama, jati diri dan gagasan negara Malaysian Malaysia menuntut kesamarataan hak yang diberikan kepada Peribumi dalam Perlembagaan Persekutuan. Maksudnya, keistimewaan yang dinikmati oleh Peribumi menerusi Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan perlu dikongsi dengan semua bukan Peribumi.

Kedua, seluruh agama hendaklah diberikan taraf yang sama dengan Agama Islam selaku Agama Persekutuan.

Ketiga, semua bahasa hendaklah diberikan taraf yang serupa dengan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Ketiga-tiga tuntutan ini dihuraikan dalam buku Jerangkap Samar Melayu: Malaysian Malaysia, tulisan Ghazali Ismail (1990) dan dalam kajian Abdul Halim Ramli dan Mohammad Redzuan Othman (2012).

Secara langsung atau sebaliknya, tuntutan di atas menyebabkan keresahan Peribumi dan mencetuskan dua konflik kaum di Singapura pada pertengahan 1964.

Tunku Abdul Rahman, pemimpin utama Perikatan dan menteri kanannya menyingkirkan Singapura dari Malaysia untuk mencegah sengketa kaum merebak ke seluruh negara.

Maka jelaslah, jati diri politik dan gagasan negara Perikatan adalah serasi dengan Malaysia selaku negara majmuk, sementara jati diri dan gagasan negara Malaysian Malaysia mencetuskan pertikaian kaum di Malaysia.

Malangnya, jati diri dan gagasan negara berasaskan Malaysian Malaysia kini diperjuangkan oleh DAP berdasarkan Deklarasi Setapak 1967.

Antaranya, Deklarasi Setapak menegaskan, kesamarataan etnik mesti dijadikan prinsip utama dalam pembentukan negara (nation-building) Malaysia. Berdasarkan prinsip ini, DAP menentang sekeras-kerasnya kewujudan Bumiputera dan bukan Bumiputera. Rujuk pautan https://dapmalaysia.org/en/about-us/vision-mission/party-declarations/setapak declaration/

DAP dan sekutunya menggunakan slogan Malaysian Malaysia dalam manifesto pilihan raya umum 1969 (PRU69). Secara langsung atau sebaliknya, PRU69 juga berakhir dengan rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Menurut Laporan Tragedi 13 Mei terbitan Majlis Gerakan Negara (Mageran, 9 Oktober 1969), rusuhan ini tercetus kerana segolongan parti politik telah mempersoalkan beberapa peruntukan mengenai jati diri nasional Malaysia dalam Perlembagaan Persekutuan.

Hal ini dihuraikan dalam  tulisan Leon Comber (2009), Tunku Abdul Rahman (2007), Abdul Rahman Ibrahim (2011), dan Abdul Halim Ramli dan Mohammad Redzuan Othman (2012).

Lantaran itu, Perikatan pun dijenamakan semula oleh Tun Abdul Razak Hussein pada tahun 1973 sebagai Barisan Nasional (BN). Ini membolehkan anggota Perikatan diperbesarkan menerusi keahlian parti baharu termasuk PAS, Gerakan, PPP serta parti politik dari Sabah dan Sarawak.

Namun jati diri politik dan gagasan negara BN tetap berteraskan jati diri politik dan gagasan negara Perikatan. Hakikat ini berterusan sehingga BN tewas dalam PRU14.

Bagaimanapun, BN tewas bukan kerana jati diri politik dan gagasan negaranya ditolak oleh pengundi Malaysia. Ia tewas kerana tuduhan mengenai skandal 1MDB, salah guna kuasa dan rasuah.

Ini disebabkan isu ketelusan dan kebertanggungjawaban (transparency and accountability) menjadi fokus pengundi di abad ke-21.

Namun begitu, Bersatu yang mewarisi dan menghayati jati diri politik dan gagasan negara Perikatan-BN menjadi tersepit dan terhimpit ketika berada dalam Kerajaan PH.

Sementara PKR dan Amanah kelihatan selesa dengan jati diri dan gagasan negara Malaysian Malaysia yang seolah-olah meminggirkan Peribumi dan Islam; Bersatu dicengkam dilema akibat perkara ini.

Lantas, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, Bersatu tidak akan berkompromi dengan sesiapa dalam memperjuangkan nasib Bumiputera dan Muslim yang disifatkan sebagai kehilangan pembelanya di era PH.

Sebab itu juga Tan Sri Muhyiddin Yassin mendesak Majlis Presiden PH untuk mengiktiraf perjuangan membela Peribumi dan Islam sebagai agenda nasional yang perlu diperjuangkan oleh Kerajaan PH.

Namun pendirian Dr Mahathir dan Muhyiddin ini seakan-akan dibenci lain-lain komponen PH, terutamanya DAP. Lantas ada pembesar DAP menggelar Dr Mahathir sebagai “harimau kertas” kerana kononnya mahu menjadikan Bersatu sebagai UMNO 3.0 dan PH sebagai BN 2.0. Bersatu juga disindir supaya keluar meninggalkan PH.

Bersatu meninggalkan PH dan sekali gus meruntuhkan pemerintahan Kerajaan PH, atas cita-cita mewujudkan kembali kerajaan Peribumi yang menghayati jati diri politik dan gagasan negara Perikatan-BN.

Hasilnya, terbentuklah Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang turut dianggotai UMNO, PAS serta kaum kerabat BN di Sabah dan Sarawak.

Hakikat ini berlaku buat pertama kalinya dalam sejarah politik Peribumi Malaysia. Ia juga menjadikan PH khuatir akan masa depan politiknya dalam PRU15. Ini kerana Bersatu mengetahui segala corak jati diri politik dan gagasan negara PH yang didakwa sebagai berteraskan perjuangan Malaysian Malaysia.

Malangnya, UMNO kelihatan gagal membaca seluruh niat Bersatu di atas. Kepimpinan Muhyiddin pun diganggu gugat dan difitnahkan sebagai gagal. Ini berlaku kerana segelintir pembesar UMNO seolah-olah tidak menyedari hakikat bahawa Bersatu membentuk PN untuk mengembalikan jati diri politik dan gagasan negara yang diasaskan oleh Perikatan-BN.

Sebaliknya, Kerajaan PN diugut dan sokongan beberapa Ahli Parlimen UMNO dijadikan senjata untuk meranapkan kerajaan tersebut. Maka, PH pun menangguk di air keroh untuk memecahbelahkan jati diri politik Peribumi yang ditebus maruahnya menerusi pengkelanaan Bersatu dari PH.

Lantas, jika kini UMNO menguasai jawatan Perdana Menteri Malaysia seperti di zaman sebelum PH, kuasa ini berada di tangan UMNO bukan kerana perjuangan UMNO yang tewas dalam PRU14. Ini adalah hasil perjuangan Bersatu yang meranapkan Kerajaan PH.

Kesimpulannya, waima Perdana Menteri Malaysia berada di tangan Bersatu atau UMNO, kuasa Peribumi dalam kerajaan ini perlu diperkukuhkan oleh semua pihak.

Ini kerajaan Peribumi yang perlu dipertahankan untuk menjamin kemenangan dalam PRU15. Sesiapa yang menyemaikan adu-domba dan perpecahan dalam kerajaan ini mesti ditentang habis-habisan jika Peribumi mahu terus selamat dan kekal berkerajaan selepas PRU15 kelak.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here