Hanif Jamaluddin (kiri) dan Mohd. Taufik percaya pemasaran menerusi media sosial selain ejen membantu menaikkan jualan produk MadBean.

Oleh Khadijah Ibrahim

TIDAK mudah mengalah bila berhadapan dengan dugaan kerana kehidupan perlu diteruskan. Itulah prinsip yang dipegang oleh Mohd. Taufik Khairuddin, 30. Berkat usaha dan kesabaran, akhirnya Mohd. Taufik mampu tersenyum bangga dengan kejayaan yang diraih.

Bekas kakitangan syarikat penerbangan Rayani Air itu berkata, sebelum berjaya membentuk diri sebagai seorang usahawan, beliau pernah melakukan pelbagai pekerjaan.

Kini beliau telah temui ‘lubuk rezeki’ dan sebagai insan yang pernah melalui dugaan kehilangan pekerjaan, Mohd. Taufik mahu berkongsi rezeki dengan rakan-rakan dan mereka yang berminat dalam bidang perniagaan.

Pengarah Urusan MadBean Sdn. Bhd., (MadBean) itu berkata, beliau tak sangka dalam situasi ekonomi kurang stabil dek pandemik Covid-19, bisnes makanan yang diusahakan syarikatnya tidak terjejas dari segi permintaan.

Produk Mellow keluaran MadBean antara yang mendapat permintaan tinggi.

Sebaliknya, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu jualan produknya turut melonjak ke tahap luar biasa.

“Pada awal operasi iaitu dua tahun lalu, syarikat hanya mencatat jualan RM100,000 sebulan saja. Siapa sangka jualan syarikat naik mendadak sehingga permintaan tidak dapat dipenuhi walaupun negara berada dalam pelaksanaan PKP.

“Antara rangkaian produk yang mendapat permintaan tinggi adalah Mellow, Viscoff, The Vanilla Bean dan Thachos yang mencatat jualan RM2 juta sebulan pada bulan (Ogos) lalu.

“Kami bermula dengan hanya satu kilang untuk beroperasi dan kini MadBean memiliki enam kilang, manakala kakitangan pula ada seramai 150 berbanding hanya lapan orang pada awal operasi dulu.

“Lebih membanggakan, kami juga mempunyai 32 rakan kongsi berbanding lima rakan kongsi selain 12,000 ejen ketika ini berbanding 300 ejen sebelum ini. Melihatkan kepada permintaan semasa, MadBean yakin mampu mencapai sasaran 20,000 ejen pada akhir 2022 dengan pendapatan mereka antara RM3,000 ke RM5,000 sebulan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Cyberjaya, baru-baru ini.

Mohd. Taufik Khairuddin yakin setiap bidang yang diceburi pasti mendatangkan hasil jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

Berkongsi rahsia kejayaan syarikatnya, Mohd. Taufik memberitahu, sejak awal penubuhan MadBean, beliau berhasrat mahu membantu orang lain yang hilang punca pendapatan untuk menceburi bidang baharu bagi meneruskan kehidupan. Ternyata misinya untuk membantu orang lain dipermudahkan Allah.

Katanya, selain melakukan kerja amal hasil daripada rezeki yang diperolehi, kebajikan ejen juga menjadi keutamaan dengan memberi penghargaan kepada mereka yang membuat jualan tertinggi.

“Keunikan kami terletak pada cabang pemasaran kami yang mana rata-ratanya terdiri daripada mereka yang berpengalaman dalam bidang ini khususnya secara online dan kami lebih terdorong untuk muncul sebagai pencetus trend dan menjual jenama di pasaran.

“Selain ejen sistem, kami juga menggunakan konsep pemasaran menerusi 500 influencer dalam membina jenama MadBean kepada pengguna akhir.

“Pada masa sama, kami juga merancang untuk mengembangkan pasaran produk di luar negara di mana ketika ini Singapura dan Brunei sudah berjaya ditembusi.

Zombies Cookies antara produk MadBean yang dijual di 650 cawangan Watsons.

“Dalam masa terdekat, MadBean akan memasuki pasaran Indonesia cuma kekangan yang dihadapi adalah larangan rentas negara walaupun perbincangan sudah dilakukan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran MadBean Holdings, Hanif Jamaluddin berkata, pihaknya menyasar untuk memasarkan produk-produk di Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand dan beberapa negara lain. Produk berkenaan sepatutnya berada di negara berkenaan sejak tahun lalu namun kerana pandemik Covid-19, perancangan terpaksa ditunda ke tahun hadapan.

“Sepatutnya, kami sasar untuk menembusi pasaran negara luar pada tahun lepas namun disebabkan PKP, kita bawa rancangan ini ke tahun hadapan. Kita jangka mampu membuka kilang pada awalnya di Indonesia bagi menampung permintaan di sana nanti,” katanya.

Mohd. Taufik (kiri) dan Hanif Jamaluddin sewaktu sesi temu bual dengan pihak media di Cyberjaya, baru-baru ini.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here