Oleh Nafsiah Jani

Akibat pandemik Covid-19, ramai yang terkesan dengannya. Begitu juga dengan vokalis kumpulan XPDC yang sudah setahun lebih tidak bekerja kerana tiada tawaran untuk mengadakan sebarang persembahan.

Sudahlah tidak mempunyai pekerjaan serta pendapatan, lepas satu, satu ujian yang dihadapi penyanyi kumpulan rock XPDC, Ali. 26 Mac tahun lalu Ali atau nama sebenarnya Mohd Ali Ismail,53, terlibat dengan insiden disambar api ketika membakar sampah. Insiden itu menyebabkan Ali mengalami kecederaan serius dimuka dan tangannya melecur sebanyak 30 peratus.

Kemalangan itu juga menyebabkan Ali mengalami masalah pernafasan. Terkini Ali sekali lagi dimasukkan pula ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kerana mengalami masalah jantung.

“Dah setahun lebih saya tak bekerja dan tiada sebarang pendapatan. Sejak terlibat dengan insiden disambar api, kehidupan saya yang susah terus mendapat perhatian pihak zakat Selangor. Saya kini tergolong dalam golongan asnaf dan syukurlah pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) banyak membantu saya dan keluarga untuk meneruskan hidup.

“Saya juga bersyukur kerana rawatan saya kat PPUM ini turut dibiayai Zakat Selangor. Kalau nak harap saya memang tak ada duit nak membayarnya. Di kesempatan ini saya nak ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada pihak LZS dan pihak perseorangan yang banyak menghulurkan bantuan kepada saya. Sejak pandemik ini dah lama saya buang rasa malu untuk meminta bantuan kerana memang saya terdesak,” kata Ali bapa kepada lima cahaya mata yang semuanya masih belajar lagi.

Menyentuh mengenai dirinya yang kini ditahan di PPUM kerana masalah jantung, kata Ali,“Empat hari lepas saya mengalami semput yang teruk. Kerana tak tahan dengan semput ini saya pergi ke PPUM kononnya nak buat pemeriksaan semput kerana sebelum ini pun saya pernah dapatkan rawatan untuk semput. Lepas tu, semput saya dah baik.

“Kononnya nak datang cek semput dan tak sangka lain penyakit pula yang datang. Lepas diperiksa saya terus dimasukkan ke dalam wad kerana disyaki mengalami masalah jantung…jantung saya terlalu lemah. Esok (rabu) saya akan jalani pemeriksaan Magnetic Resonance Imaging (MRI). Tolong doakan saya dan keluarga saya semoga saya cepat sembuh.”

Ini bukanlah kali pertama dirinya diserang penyakit jantung, awal tahun ini Ali juga pernah dikejarkan ke sebuah hospital di Shah Alam akibat masalah yang sama.

“Saya memang ada masalah jantung dan darah tinggi. Doktor kata ia menjadi punca serangan itu melarat hingga mengganggu sistem pernafasan. Kesilapan ini mungkin berulang disebabkan saya tak jaga diri. Kini saya juga perlu mengurangkan pergerakan dan dapatkan rehat yang secukupnya.

“Saya pula jenis ambil mudah bila nak makan ubat dan selalu lupa mengambil ubat. Akibatnya inilah yang berlaku, sekali lagi saya kena serangan jantung ini,’’ ujar Ali yang kini menetap di Kampung Rantau Panjang, Klang.

Penyanyi yang popular dengan lagu, Aku dan Sesuatu ini menambah,“Saya diuji , itu tandanya Allah sayangkan saya dan saya reda dengan ujian ini. Kalau tak ada masalah dengan laporan MRI itu nanti, mungkin Khamis ini (9 September) saya boleh dibenarkan pulang ke rumah. Kalau ada masalah, nampaknya lama lagi saya ditahan bagi memudahkan doktor memantau keadaan saya.”

Bagi yang ingin membantu meringankan beban Ali bolehlah menyalurkan bantuan atau sumbangan ikhlas ke akaun beliau, Mohd Ali Ismail, Maybank 162106484056.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here