Oleh Nafsiah Jani

10 September 2021, sahlah Adda Butterfly bergelar tunangan kepada Ewal atau nama sebenarnya, Ikhwal Hafiz Ismail,29,vokalis kumpulan Kristal. Jika tiada halangan kedua-duanya akan disatukan pada hujung tahun ini.

Adda atau nama sebenarnya, Nur Syuhada Baharuddin, 33, merupakan adik kepada Rodi Kristal yang sebelum ini pernah dua kali mengalami kegagalan berumah tangga. Melalui perkahwinan keduanya, Adda dikurniakan sepasang cahaya mata, Tisha Deandra, 7, dan Aydan Zafarel, 6.

Bercakap mengenai persiapan perkahwinan mereka pula, kata Adda,“Buat masa ini persiapan perkahwinan kami dah 70 peratus siap. Baju kami dari Azura Couture dan pelamin pula dari Ari Wedding. Sekarang ini waktu pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi, jadi majlis kami nanti akan dibuat kecil-kecilan untuk keluarga terdekat sahaja. Mungkin kami akan menikah pada bulan November atau Disember ini pula.”

Adda sudah mengenali Ewal sejak zaman remaja lagi kerana mereka sering mengadakan persembahan bersama-sama. Malahan keluarga kedua belah pihak juga sudah mengenali antara satu sama lain sejak dahulu lagi dan secara tidak langsung memudahkan lagi hubungan mereka untuk direstui kedua-dua keluarga.

“Lepas kahwin Ewal akan teruskan kariernya dan begitu juga dengan Adda. Adda tidaklah serius menyanyi kerana grup Adda Butterfly pun dah lama dibubarkan. Adda akan terus dengan bisnes online menjual kek tapak kuda, sambal pengantin dan beberapa menu baru yang akan Adda keluarkan bersama rakan. Mereka yang berminat nak rasa air tangan Adda bolehlah tengok Instagram Adda iaitu Dapo Adda.

“Lepas kahwin Adda akan tinggal bersama ibu mentua. Rasanya lebih baik Adda duduk rumah buat kek, meniaga ,jaga anak, jaga suami dan ibu mentua. Sebenarnya Adda ni jenis suka duduk rumah, suka memasak dan melayan tetamu yang datang,” ujar Adda lagi.

Bercakap mengenai anak pula, tambah Adda, mereka berdua tidak menetapkan untuk mempunyai berapa orang anak.

“Ada rezeki dapat anak cepat, Adda dan Ewal terima seadanya. Kami tak kisah berapa orang anak yang Allah nak bagi pada kami,’’

Menyentuh mengenai Ewal pula, kata Adda, dia tertarik dengan Ewal kerana keperibadiannya.

“Adda menyifatkan Ewal seorang lelaki yang bertanggungjawab, menghormati orang tua, berkeyakinan tinggi dan penyabar. Dia juga sangat matang berbanding usianya. Yang lebih membuat Adda terbuka untuk menerimanya kerana Ewal dapat terima anak-anak Adda.

“Ewal ni pelembut orangnya, berbudi pekerti dan seorang yang tenang. Adda pula macam jenis api, cakap banyak dan kuat membebel. Bila tengok muka Ewal rasa tenang dan sayu je dan rasa sayang yang teramat sangat. Adda memang betul-betul ikhlas sayangkan Ewal dan harap dialah lelaki terakhir dalam hidup sampai Adda tutup mata. Adda juga berharap hubungan dan rumah tangga kami berkekalan hingga ke Jannah.”

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here