Filem ini memaparkan tentang penduduk kampung yang melatah hingga menyebabkan keadaan tak terkawal.

Oleh Khadijah Ibrahim

KALAU ada kenduri kahwin, orang yang sering menjadi perhatian ramai selain pasangan pengantin adalah orang yang melatah. Orang melatah ini merupakan penghibur dan orang sekeliling tidak akan kering gusi ketawa melihat gelagat mereka.

Melatah sebenarnya sejenis sindrom budaya khusus, berlaku dalam kalangan penduduk di Asia Tenggara terutama Malaysia dan Indonesia. Ia bukan satu penyakit atau entiti penyakit, namun satu bentuk ‘penyakit rakyat’ yang dikaitkan dengan masyarakat, budaya atau kaum tertentu.

Latah tidak boleh sengaja dibuat kerana tindak balas yang berlaku disebabkan terkejut dan ia berbeza antara satu individu dengan individu yang lain.

Kalau ada seorang yang melatah pun, suasana menjadi meriah, cuba bayangkan kalau satu kampung didiami oleh penduduk yang melatah. Disebabkan ‘kelainan’ itulah penduduk kampung tersebut menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara kerana keunikan serta adat resam dan budaya Melayu yang masih kekal diwarisi.

Kampung Latah Kena Kuarantin pasti menggeletek hati penonton.

Pasti ada yang ingin berkunjung ke kampung tersebut, tapi di mana? Anda semua boleh mengenali insan-insan istimewa ini tanpa perlu pergi jauh, cukup dengan hanya melanggan saluran Astro First mulai 9 September ini untuk mengenali penduduk Kampung Latah Permai.

Astro Shaw membawakan sebuah filem komedi dengan celoteh lucu yang menjanjikan gelak tawa berterusan, menerusi filem Kampung Latah Kena Kuarantin, terbitan produksi Megapine (M) itu. Filem arahan Azizi Adnan itu, bakal menghiburkan anda semua yang sedang stres dengan menonton gelagat melatah daripada barisan pelakon yang melatah spontan dan bukan dibuat-buat.

Antara pelakon utama yang terkenal dengan latahnya adalah Azhan Rani, Nazia Mustafar, Ieda Moin, PS Mansur dan Din Latah. Selain itu, pelakon lain yang turut menjadi teraju utama adalah, Elisya Sandha, Joey Daud, Bell Ngasri, Ropie, Didie Alias, Azlee Senario dan Wanns Ahmad.

Ieda Moin sering menjadi mangsa usikan rakan-rakan kerana perangainya yang kuat melatah itu.

Filem ini diperhebatkan lagi dengan penampilan istimewa oleh bintang-bintang popular tanah air seperti Datuk Awie sebagai Dukun Palermo, AR Badul (Tok Ketua), Ustaz Syamsul Debat (Bro Aji), Riezman Khuzaimi (YB Hazil), Roy Azman (Pegawai Perubatan), Achong Sweet Child (Opera Cina) dan Mak Wan Latah (Mak Jenab).

Selain mengarah, Azizi juga merupakan penulis skrip untuk filem Kampung Latah Kena Kuarantin yang telah menjalani sesi penggambaran di sekitar Janda Baik, Pahang. Manakala, Hazil Izham Ismail dan Nazia Mustafar merupakan Penerbit dan cerita asal.

Sebagai penerbit Kampung Latah Kena Kuarantin, Hazil Izham, melahirkan rasa teruja apabila filem terbitan produksinya bakal menemui penonton dan berharap filem tersebut dapat menghiburkan orang ramai.

“Pihak kami sentiasa komited dalam mempersembahkan konten yang berkualiti dan lebih utama menawarkan naratif berbeza bagi menepati cita rasa penonton. Idea menghasilkan Kampung Latah Kena Kuarantin ini hadir apabila menyedari aksi melatah amat dekat dengan masyarakat Malaysia, malah aksi tersebut banyak menarik perhatian umum sehingga mewujudkan kelompok peminat tersendiri.

Wanns Ahmad, Bell Ngasri dan Joey Daud berlakon sebagai tiga sekawan dalam Kampung Latah Kena Kuarantin.

“Kami harap jalan cerita yang santai dan digabungkan dengan suasana gamat oleh barisan pelakon, mampu menghiburkan penonton seisi keluarga,” katanya penuh harapan.

Sementara itu, Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, Astro rasa berbesar hati apabila terus diberi kepercayaan daripada penerbit-penerbit tempatan untuk mempersembahkan filem di platform Astro First.

“Filem Kampung Latah Kena Kuarantin menawarkan jalan cerita segar dan padat dengan babak komedi. Bukan itu sahaja, filem ini turut memaparkan nilai budaya dan adat resam masyarakat melayu, seperti contoh berpantun, meminang, muzik, kepercayaan dan banyak lagi. Ini sedikit sebanyak mampu mengajak penonton untuk sentiasa menghargai dan berbangga dengan budaya kita.

“Jika sebelum ini gelagat latah banyak diketengahkan menerusi program-program televisyen popular seperti Punchline DAC, Opocot Melatah dan beberapa drama komedi, namun kali ini penonton dapat menyaksikan pula celoteh mencuit hati tersebut menerusi filem di platform Astro First.

“Ini merupakan salah satu usaha Astro dalam menyediakan variasi kandungan kepada penontonnya. Kami harap kehadiran filem ini mampu menyajikan penonton dengan pengisian menarik dan dapat membawa keluar seketika daripada tekanan dengan bergelak tawa menerusi hiburannya,” ujarnya.

Filem ini mengisahkan tentang sebuah kampung yang unik dan menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara kerana ia satu-satunya lokasi di dunia yang mempunyai kadar penduduk ‘melatah’ yang ramai.

Ajin (Azhan Rani) merupakan ketua pemandu pelancong untuk syarikat Latah Permai Travel & Tours, bersama rakan kongsinya, Jamilah (Nazia Mustafar), Eton (Ieda Moin) dan Din (PS Mansur). Gelagat mereka sering menceriakan penduduk kampung dan juga pelancong.

Dalam pada itu, Ajin menaruh perasaan terhadap Juanita (Elisya Sandha). Tetapi Apoi (Joey Daud) telah dahulu menghantar rombongan meminang Juanita dengan mengikut adat resam dan budaya Melayu, namun pinangan Apoi ditolak. Apoi bersama konconya Abon (Bell Ngasri) dan Anjang (Wanns Ahmad) melakukan sesuatu kerana tidak berpuas hati.

Selang beberapa hari kemudian, Kampung Latah Permai yang ceria, tiba-tiba dilanda sindrom melatah yang tidak terkawal sehingga menimbulkan pelbagai kes merbahaya seperti melatah sehingga koma, melatah sehingga meninggal serta melatah sehingga terbunuh rakan atau pasangan.

Keadaan kampung semakin membimbangkan dan menjadi isu besar sehingga Ketua Kampung terpaksa membuat mesyuarat tergempar bersama penduduk bagi mencari jalan penyelesaian. Berbagai teori dan cara menangani pandemik latah telah dibuat sehingga ada yang logik dan ada yang karut.

Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam secara berulang-ulang. Ikuti info dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here