Oleh Ruhanie Ahmad

Bersatu wajar berperanan penting dalam membentuk wacana dan naratif politik Peribumi dan politik nasional yang berwibawa, membina dan berkesan di semua peringkat kepimpinannya, demi keselamatan dan kelangsungan Malaysia dan rakyat jelatanya.

Bersatu mampu melaksanakan tanggungjawab ini. Ia mempunyai pucuk pimpinan yang luhur, warga pejuang yang dedikasi, budaya politik yang tulus,  semangat juang yang pantang berputih mata, dan iktikad perjuangan yang sentiasa menjauhi segala kemungkaran yang pernah meruntuhkan kuasa Peribumi sebelum ini.

Perkembangan politik nasional kebelakangan ini sedang menduga seluruh ciri-ciri murni Bersatu di atas. Jangan sekali-kali mengaku kalah demi kebenaran yang sangat dirindukan rakyat jelata pada ketika ini.

Namun Bersatu tidak mampu bertindak keseorangan. Jemaah perjuangannya bersama PAS serta lain-lain anggota Perikatan Nasional wajar diperkukuh dan dirapikan. Segelintir pembesar UMNO yang sedang penasaran wajar disantuni seadanya dan sepadanya.

Keluarga besar PN dan keanggotaan ahli  bersekutu Bersatu yang berbilang kaum wajar segera diperbesar dan diperkasa.

Dalam perjuangan pada hari ini tidak ada sesiapa yang berpangkat abang atau bertaraf adik. Keluarga Malaysia hanya memerlukan satu wadah perjuangan bersama secara lurus dan berpaksikan lunas-lunas kemakrufan.

Rakyat selaku tunggak negara usah diabaikan dan warga perkhidmatan awam selaku tunggak institusi pemerintahan jangan dipinggirkan. Jalinan perjuangan dengan dua kumpulan ini wajar sentiasa bercorak aur dengan tebing.

Pendekatan atau strategi perjuangan, dasar dan program politik Bersatu dan PN perlu menjurus ke arah kesejahteraan, kemakmuran dan keselamatan bersama rakyat Malaysia seluruhnya.

Golongan angkuh, bongkak dan sombong yang sedang dilanda sindrom mementingkan diri, wabak tamak kuasa, dan penyakit gila nombor perlu disergah atau disanggah, jika dan bila perlu, supaya mereka kembali waras dan siuman demi keselamatan politik Peribumi dan seluruh rakyat Malaysia berbilang keturunan.

Kabilah talam dua muka, anasir gunting dalam lipatan dan elemen musuh dalam selimut harus didedahkan. Kelompok hasad dengki, penabur fitnah, pemeras ugut dan pengadu-domba wajar ditumpaskan.

Generasi muda Malaysia mesti didampingi secara berterusan supaya mereka sudi bersama dalam perjuangan nasional selaras dengan cita rasa mereka.

Namun mereka juga harus dibelai, dilenturkan serta dibimbing untuk menginsafi jati diri mereka sebagai anak Malaysia supaya tidak hanyut dalam arus politik kesejagatan atau siasah universal yang boleh meruntuhkan tatacara perjuangan nasional Malaysia.

Golongan pemikir dan cerdik pandai wajar didampingi supaya menyumbang bakti kepada proses pembentukan negara-bangsa. Dorong mereka mengkaji keperluan nasional pelbagai bidang seperti dilaksanakan oleh Tun Abdul Razak Hussein selepas rusuhan kaum pada 13 Mei tahun 1969.

Menggalakkan mereka membuat kajian terperinci terhadap segala aspek kehidupan rakyat, kekuasaan, kenegaraan dan kemakmuran bersama untuk dijadikan perisian kepada dasar kesejahteraan dan keselamatan nasional jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang.

Tidak dilupakan adalah sumbangan serta peranan warga serta pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) serta aktivis masyarakat yang sentiasa unggul dengan kesukarelaannya.

Oleh itu, Bersatu dan sekutu perjuangannya dalam PN jangan leka dan usah alpa. Kekuatan politik Peribumi selaku tonggak politik nasional Malaysia sentiasa digeruni pihak neo-imperialis dalaman dan luaran.

Ia juga sentiasa dimusuhi oleh pelbagai anasir yang memang tidak mahu kuasa politik Peribumi sentiasa mantap, berwibawa, bersatu padu dan perkasa.

Jika kekuatan politik Peribumi terhakis, golongan ini akan bangkit dan bermaharajalela dengan agenda jahatnya, baik untuk kepentingan neo-imperialis dalaman atau luaran.

Kekuatan politik Peribumi yang rapuh boleh menyebabkan Peribumi lenyap buat selamanya di abad ke-21. Lantas carilah kaedah berhemah untuk menggunakan kebijaksanaan dan wibawa yang tinggi dalam menangkis seluruh fenomena ini menjadi kenyataan.

Perayaan ulang tahun penubuhan Bersatu yang kelima kali ini perlu dijadikan langkah permulaan ke arah memantapkan perjuangan nasional PN menerusi naratif dan wacana yang bermanfaat untuk semua.

Waspadalah, kita semua sedang berperang dengan pandemik Covid-19 yang mengancam serba-serbi kehidupan rakyat dan kelangsungan nasional mengikut kaedah norma baharu.

Peperangan ini entah bila akhirnya. Jadi, ketepikan kemelut politik nasional dan bina semula semangat perjuangan berasaskan norma baharu, tuntutan baharu dan realiti baharu menerusi azam, iktikad dan pendekatan yang juga serba baharu.

Hakikatnya demikian kerana Bersatu dan PN adalah pejuang Peribumi, pejuang Islam dan pejuang Malaysia di abad ke-21.

Perjuangan ini memerlukan kekuatan semangat dan iktikad luar biasa, berbeza dengan kelompok politik duluan yang biasa-biasa coraknya, dan terlalu amat materialistik  bentuknya, mutakhir ini. Selamat berjuang dan selamat maju jaya!

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here